Sunday, May 27, 2012

Musafir Penuh Makna

Bismillahirrahmanirrahim...



Segala puji hanya bagi Allah, Rabb Yang Maha Mengatur setiap langkahan kehidupan hamba-hambaNya, selawat dan salam utusan rohani buat Rasul Teladan Umat, Rasulullah saw, serta ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya yang unggul.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dari lubuk ragaku, mengatur zikir pujian kepadaNya yang telah menghidupkan daku, memberi daku peluang untuk bernafas buat sehari lagi, serta dengan nikmat nafas ini, Dia (ALLAH), telah menyusun segala aktiviti kehidupanku buat hari ini. Moga-moga, memori indah yang cukup manis telah kulalui semalam bersama sahabat-sahabatku yang kucintai Lillahitaala, terus segar dan tersemat di hati sanubari kami, serta menjadi pedoman buat meniti hari-hari seterusnya dalam hidup kami. Amin.


Dalam permusafiranku menuju ke Kuala Kangsar, Perak kali ini, untuk menghadiri majlis walimatul urus sahabatku, Nur Hidayah Azir bersama pasangannya, Wan Mohd Azim, sangat memberi erti dalam hidupku sehingga ke saat ini. Entah mengapa, hatiku begitu berbunga-bunga, dalam permusafiran kali ini, kerana merasakan perjalanan ini penuh dengan pengajaran, penuh dengan hikmah, serta dalam setiap langkahanku ditemani dengan doa yang berterusan sehingga pulang semula ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan ini, daku sedaya upaya menggunakan waktu yang terluang di atas bas, untuk berfikir dan berzikir, agar tidak sesaatpun daku persiakan dengan angan-angan yang tidak berpenghujung. Lalu, lembaran buku "Zero To Hero" daku bacakan satu persatu,diselang seli dengan alunan kalimatullah serta nasyid-nasyid peringatan kepada Allah. Sebuah kata-kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi tiba-tiba telah mengetuk pintu kesedaranku yang ingin sekali daku kongsikan bersama sidang pembaca yang dirahmati Allah swt,


" Orang yang melewati satu hari dalam hidupnya tanpa ada suatu hak yang ia tunaikan, atau satu fardhu yang ia lakukan atau kemuliaan yang ia wariskan atau kebaikan yang ia tanamkan atau ilmu yang ia dapatkan, maka ia telah durhaka kepada harinya dan menganiayai dirinya sendiri."

Jangan ada kekosongan dalam hidup kita, kerana kekosongan bisa membinasakan, ada tiga macam kekosongan yang harus sentiasa kita waspadai,

1-Kekosongan Aqal
2-Kekosongan Hati
3-Kekosongan Jasad

Rujukan : Buku 'Zero To Hero" karangan Solikin Abu Izzuddin. Halaman 115.

Subhanallah, satu ketukan yang hebat telah menyerap ke dasar hatiku, sememangnya, apabila ada kekosongan iman dalam diri kita, ia pasti terisi oleh nafsu yang melalaikan. 

" Ya Allah, Rahmatilah waktu kami"

Pada mulanya, hatiku menjadi keliru apakah wajar menghadiri majlis ini atau tidak, berdasarkan musim peperiksaan hampir tiba, hatiku mula gundah gulana. Sememangnya, pada hari yang sama juga, ada 3 jemputan kenduri di negeri yang berlainan. Namun, melihatkan kepada tuntutan kewajiban bagi yang berkemampuan untuk menghadiri jemputan, daku cuba memujuk hati dan mencari keikhlasan, agar perjalananku tidak sia-sia. Subhanallah, sehingga satu ketika, Allah swt mengurniakan daku kelapangan hati untuk menghadiri majlis ini, hatiku merasa begitu tenang dan tenteram untuk bermusafir lagi. Lalu, daku bulatkan tekad untuk pergi dan bersama sahabat-sahabatku yang telah sekian lama tidak ketemu. 

" Manusia merancang, Allah juga merancang, namun, Allah-lah sebaik-baik Perancang"

Dengan bertawakkal kepada Allah swt, dan meminta bantuan daripada sahabat-sahabat untuk memberi maklumat perjalanan, dengan pertukaran beberapa stesen, alhamdulillah, akhirnya tiba juga ke destinasi yang ingin ditujui. Perasaan pada mulanya terasa begitu kekok kerana sudah lama tidak 'travel' berseorangan. Tetapi, alhamdulillah, setiap perjalananku merasa begitu tenang, dan ditemani olehNya. Akhirnya, bisa juga daku menatap satu persatu wajah sahabat-sahabatku. Ada yang masih sama seperti dulu, dan pastinya ramai yang sudah berubah menjadi semakin matang. Hatiku sangat bahagia menemui mereka, terasa seperti iman sedang di cas, walaupun hanya memandang. Subhanallah, itulah panahan sahabat-sahabat yang solehah. Terasa diri ini sudah begitu jauh larut dengan keseronokan dunia, berbanding mereka yang masih berpegang kepada prinsip Islam. Ya Allah, semoga perjalanan ini, memperolehi keampunan dariMu. Pelbagai-bagai cerita yang dikongsi bersama, cerita mengenai perkembangan sahabat-sahabat lain, dan pastinya tidak lekang dari isu perkahwinan. Ya, selalunya isu itu yang acapkali dibincangkan oleh para remaja. Namun begitu, mereka yang sentiasa ditarbiyah dengan didikan Ilahiyah, akan sentiasa menjadikan sesuatu isu yang biasa itu menjadi luar biasa dengan sembang-sembang tarbawi. Bersyukur dan gembira mendengar perkembangan sahabat-sahabat lain, ada yang sudah bertunang, ada yang sedang merancang untuk bertunang, ada yang telah berkahwin, dan yang pasti ramai yang masih 'single n available'. Saya tumpang gembira dan bersyukur dengan kegembiraan mereka. Bagi diri saya, alam perkahwinan itu masih samar-samar dan masih begitu jauh untuk dikecapi kerana di hadapan saya, masih berbukit tanggungjawab dan amanah yang perlu saya tunaikan, jadi, alam perkahwinan itu masih menjadi alam yang begitu asing dalam pemikiran saya dan beberapa orang sahabat saya. Semasa sedang menyiapkan sedikit cenderamata buat raja sehari, Hidayah & Azim, saya membaca beberapa lembar helaian buku, "Di Atas Jalan Dakwah Aku Menikah", yang pernah saya baca dahulu, lalu, mata saya tertumpu kepada sebuah kata-kata saudara Cahyadi Takriawan,

Allah swt menggambarkan ikatan yang terjadi dalam akad nikah adalah sebuah Ikatan mitsaqaan ghalizhaa-perjanjian yang kuat. Akad nikah bukanlah sekadar kata kata yang terucap dari mulut lelaki, atau sekadar formalitis untuk mensahkan hubungan suami dan isteri, atau bahkan adat yang menjadi kebiasaan pernikahan. Sama sekali tidak. AKAD NIKAH adalah sebuah perjanjian yang sakral yang ikatannya amat KUKUH & KUAT. Akad Nikah telah mengikat suami dan isteri dalam sebuah perjanjian syar’e, di mana perjanjian itu wajib dipenuhi hak-haknya. Perjanjian agung yang menyebabkan halalnya kehormatan diri untuk dnikmati pihak lainnya. Perjanjian kukuh yang tidak boleh dicenderai dengan ucapan dan perbuatan yang boleh menyimpang dari hakikat perjanjian itu sendiri." 


Perkahwinan itu sebuah amanah yang besar, oleh itu, untuk memasukinya, perlulah mempunyai persediaan yang mantap. Terdapat 3 kunci yang harus dimiliki oleh mereka yang ingin memasuki alam perkahwinan,

(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup.
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting &  
      ramai yang terlepas pandang).
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri.


Melihatkan diri saya yang masih mentah dalam memiliki ketiga-tiga kunci tersebut, menjadikan perkahwinan itu sebuah mimpi yang masih jauh dalam perjalanan saya. Tanpa memiliki kunci tersebut, dibimbangi, saya hanya akan menzalimi bakal pasangan hidup saya, serta makna perkahwinan itu sendiri. Namun begitu, ia juga merupakan satu tuntutan dalam hidup saya, dan saya akan terus bergerak dan bergerak memenuhi tuntutan itu setelah saya memenuhi tuntutan yang lebih awla. Insha'Allah.


Setelah lama berjalan sambil berzikir melihat keindahan sekitar Kuala Kangsar, dan berbicara bersama sahabat-sahabat, kami pun bergerak menuju ke UPSI, di mana sahabat-sahabat karib saya tinggal. Kami terpisah semasa pemilihan ke IPT, alhamdulillah, Allah swt telah merancang IPT yang terbaik bagi kami, namun, harap-harapnya kami akan bersatu semula ketika melanjutkan pelajaran ke Sarjana nanti. Insha'Allah, dalam perancangan. ^_^


Alhamdulillah, perjalanan kali ini sungguh bermakna bagiku, terasa seperti ada satu kekuatan yang baru, dengan keazaman yang baru untuk melangkah pada hari yang baru. Melihat senyuman kasih sayang dari sahabat-sahabatku, dengan pengorbanan dan keperihatinan mereka bertanya pada setiap perjalananku, menguatkan lagi rasa cinta kerana Allah, menguatkan lagi ukhuwah Islamiyah yang terbina, semoga ukhuwah ini akan terus kekal menuju ke syurga firdausi. Amin Ya Robbal Alamin. 

Alhamdulillah, menghilangkan kepenatan dengan hiking di kaki Bukit Jambul bersama kakak-kakak yang dicintai fillah. Sayangi kalian Lillahitaala. ^_^

Rasulullah saw bersabda: ‘Seseorang yang ketika waktu pagi menjadikan dunia sebagai tujuan besarnya, maka dia tidak akan mempunyai kedudukan apa pun di sisi Allah SWT. Dia juga akan memberi empat perkara dalam hatinya; kesedihan yang tidak pernah berakhir, kesibukan yang tiada waktu lapang, kefakiran yang tidak pernah mencapai kekayaannya dan angan-angan yang tidak pernah mencapai tujuannya.’ ( HR Tabrani )


p/s: insha'Allah, permusafiran seterusnya, memenuhi tuntutan keluarga ke Putrajaya. Menggunakan masa bersungguh2 untuk bertelaah. amin. 

5.47am
28 Mei 2012
Hamna, P. Pinang.


Sunday, May 6, 2012

Ya Allah, Ya Allah


Ya Allah, Ya Allah
Don’t let me go astray ’cause I need you
By my side, I wish to be close
Close to You throughout my life
Ya Allah, oh Allah!
Be with me all the way
Day by day passes
And I think that my time could be near
So I pray: O God let this world be in my hands
And not in my hear
‘Cause soon I’ll have to leave it X2
Allah, Ya Allah
Guide me all the way to your Jannah
Ya Allah, Ya Allah
Don’t let me go astray ’cause I need you
By my side, I wish to be close
Close to You throughout my life
Ya Allah, oh Allah!
Be with me all the way
Guide me all the way
Don’t let me go astray.

-With Every Difficulty, There is Relief-



''So, verily, with Every Difficulty, there is Relief. Verily with Every Difficulty there is Relief.'' [Qur'an 94:5-6]


Ya Allah help us :'(
ya Allah solve our problems :'(
ya Allah don't break our hopes :'(
ya Allah accept our prayer :'(
ya Allah bring happnies in our life :'(
... ya Allah you are our only, hope help us :'(
ya Allah yo know our problems help us solve them ;'(
ya Allah make it easy for us :'(




Thursday, May 3, 2012

Pergantungan Kepada ALLAH swt


Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh,

-Tanda-tanda kebesaran Allah buat hamba yang berfikir dan berzikir-

Bismillahirrahmanirrahim, ku mulai dengan asma’ Allah swt yang Maha Indah. Sesungguhnya hanya dengan mengingati dan berbicara serta bertaqarrub denganNya, jiwa-jiwa akan memperoleh ketenangan yang luar biasa serta tidak bisa diperolehi melalui wasilah-wasilah lain. Pasti dan Pasti.

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Agung dan Maha Memelihara, dengan keizinan dan kesudian dariNya, Dia dengan segala kemurahan Kasih SayangNya, masih sudi memberi hamba pendosa ini peluang dan ruang, untuk bertaubat dan memperbaiki diri menjadi yang lebih baik dari sebelumnya, melalui kurniaan nafasNya. Sungguhlah, hari ini merupakan peluang untuk dimanfaatkan bagi menyediakan bekalan kembali kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah swt mendefinisikan kesuksesan sebagai ‘terhindar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga’ . Itulah kecemerlangan sebenar bagi seorang insan bergelar muslim dan mukmin. Tidak bermakna semua kejayaan, andai tidak dapat membantu kita menghindarkan diri dari azab Allah swt yang Maha dahsyat, serta berjaya melangkah memasuki syurga Allah swt, diraikan oleh Pencipta Yang Maha Agung dengan ucapan ‘Salam Sejahtera’.

“ Sesungguhnya penduduk syurga pada hari itu , bersenang-senang dalam kesibukan mereka (55) mereka dan pasangan-pasangan mereka bersuka ria di tempat yang teduh, sambil duduk berteleku di atas pelamin. (56) Mereka beroleh di dalam syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki.  (57) Mereka juga beoleh ucapan “Salam Sejahtera” dari Rabb Yang Maha Mengasihi” (58)

Alhamdulillah, kehidupan ini merupakan satu Tarbiyah Ilahiyah. Inilah yang dapat saya gambarkan dengan beberapa peristiwa yang berlaku beberapa hari yang lalu. Beberapa hari yang lalu, kehidupan saya disinggahi dengan pelbagai episod kesibukan yang dahsyat, keletihan, kesakitan, ketakutan dan pelbagai perasaan lagi. MasyaAllah, ketika itu, hanya Allah Yang Maha tahu, pelbagai macam bisikan yang menyinggah di hati ini, seperti kemarahan, kesedihan.  Namun, Alhamdulillah, dengan sedikit kefahaman dan kesedaran daripada Allah swt, Dia menyedarkan daku bahawa bisikan ini daripada syaitan, menyebabkan setiap kali perasaan itu hadir, Allah swt telah mentarbiyah diri ini sebelum ini akan erti sabar serta erti pergantungan hanya kepadaNya. Dengan didikan Allah swt ini, serta usaha-usaha untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan tazkiyatun nafs, Allah swt memberi kesabaran kepada lidah ini dari mengeluarkan perkataan yang buruk walaupun terpaksa bertahan, dan menahan gerak-geri ini dari melangkah melakukan dosa. Subhanallah, indahnya kehidupan apabila berada dalam pemeliharaan Allah. Tidak dapat daku bayangkan bagaimana jika Allah swt tidak memberi nikmat Iman dan Islam, apakah yang akan daku lakukan apabila menerima ujianNya?

Sepanjang minggu yang lalu, saya mula belajar tentang satu hakikat yang selalu saya dengari dalam majlis-majlis ilmu, tetapi, mungkin baru minggu lepas Allah swt membukakan hikmahNya kepada saya,  tetapi sehingga ini saya masih lagi cuba menghayati, memahami dan mendalaminya, iaitu hakikat PERGANTUNGAN  KEPADA ALLAH. Sebelum ini hanya hanya tahu mendefinisikan erti pergantungan kepada Allah swt, tetapi saya sendiri juga tidak faham sehinggalah saya sendiri mengalami suatu peristiwa yang sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada saya akan erti Pergantungan Kepada Allah.

Pergantungan kepada Allah swt adalah kita meletakkan sepenuh tawakkal dan takdir kehidupan kita hanya kepada ALLAH swt, dan kita meyakini bahawa, mudharat atau maslahat itu semuanya akan berlaku dengan keizinan Allah swt. Dalam masa yang sama, kita telah berputus asa dan putus harapan, dan tidak ada sedikitpun meletakkan harapan dan pergantungan kepada manusia, sedikitpun tidak ada harapan kepada makhluk. Dengan keyakinan sepenuhnya kepada ALLAH swt ini, Allah swt akan sentiasa membantu kita menyelesaikan dan mempermudahkan segala urusan kita, walau sebesar manapun urusan itu.

Apabila kita meletakkan walau sedikitpun kebahagiaan, atau berharap makhluk dapat membantu kita, walau sedikitpun, ia akan meninggalkan satu kekecewaan yang begitu mendalam, begitu mendalam dalam jiwa kita. Dan kekecewaan serta kegagalan akan sentiasa menjadi tetamu hati kita.

Cuba anda bayangkan, di saat kalian berada di antara hidup dan mati, dan tidak ada siapapun yang bisa membantu anda pada waktu itu? Sudah pasti dan pasti, kalimah pertama yang akan meniti di bibir kalian adalah “YA ALLAH” / Oh My God dan nama-nama lain, yang menuju kepada ALLAH swt. Namun begitu, sedikit ilmu yang baru sahaja saya cuba memahami adalah, pergantungan kepada Allah swt ini HARUS menjadi perkara PERTAMA dan UTAMA dalam memulakan sesuatu urusan, bukanlah apabila kita telah kecewa dengan pertolongan makhluk.

Apabila kita meletakkan pergantungan kepada ALLAH swt sebagai perkara pertama dalam melakukan apa sahaja urusan, sama ada perkara kecil atau besar, sambil kita mulainya dengan bacaan basmalah, insha’Allah, dengan keizinan dari Allah swt, segala urusan kita walaupun sukar menjadi mudah, seperti ada satu kekuatan di dalam diri kita yang menolak kita melaksanakan sesuatu urusan yang begitu sulit, kerana ada suatu suara yang kuat membisikkan ke dalam diri kita, iaitu suara Illahi, Rabb Yang Maha Kuat Lagi Maha Memelihara. Dengan itu jiwa kita akan sentiasa tenang, rasa selamat, dan meyakini bahawa walau apapun yang terjadi sama ada ia perkara baik ataupun buruk, semuanya dengan izin Allah. Jiwa kita juga akan dihampiri dengan perasaan “ Muraqabatullah” iaitu merasai kehadiran Allah swt dalam apa sahaja yang kita lakukan.

Jadi,  Apakah kita tidak boleh meminta tolong kepada makhluk?

Pertolongan  manusia itu hanyalah sebagai satu ikhtiar, setelah kita telah meminta kepada Allah swt terlebih dahulu, dengan penuh tawakkal. Jadi, kita akan sentiasa tahu bahawa, manusia  itu hanyalah satu bentuk pertolongan Allah swt untuk mempermudahkan urusan kita. Tetapi yang menyelesaikan itu adalah Allah swt. Dalam masa yang sama, apabila mereka membantu kita, mereka juga memperoleh ganjaran oleh Allah swt. Apabila kita memahami bahawa manusia itu hanyalah sebagai satu ikhtiar, apabila mereka tidak bisa membantu kita, bermakna, pertolongan Allah swt tidak hadir melalui mereka, dan Allah swt ingin mendidik kita erti Muraqabatullah, merasai keberadaan Allah swt, dan ia akan hadir dalam bentuk yang lain.

Bersyukur kerana Allah swt telah menyelamatkanku dari kesulitan yang membahayakan, serta mendidikku akan hakikat ini. Walaupun sehingga kini, masih merawat hati ini kerana kesilapan meletakkan harapan kepada manusia, tetapi, yang pasti, insha’Allah, ia tidak akan berulang lagi, kerana semua ini benar-benar satu didikan. Ini hanya ujian yang kecil-kecil, sedangkan Rasulullah dan para sahabat menerima ujian yang jauh lebih besar, namun, tidak sedikitpun ada suara keluhan dari mereka, kerana mereka meyakini konsep Pergantungan Kepada Allah. Sungguh kehidupan ini satu tarbiyah Ilahiyah, untuk menuju ke negeri abadi.  Wallahua’lam.

"Kenalilah Allah saat senang, nescaya Dia akan mengenalimu saat susah" 

Penawarhati90
7.32 p.m
3 Mei 2012
Desasiswa Saujana

Sunday, April 22, 2012

-Hari Minggu Yang Indah Bersama Sahabat-

Bismillahirrahmanirrahim,

Segala puji hanya bagi Allah swt, Rabb Yang Maha Menciptakan Seluruh Alam Buana, Maha Memiliki setiap dari jiwa hamba-hambaNya, tidak ada suatupun yang terlepas dari pengetahuan Dia Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, hatta sehelai daun yang berguguran pun semuanya dapat pengetahuanNya.

" Ya Allah, kurniakanlah kepada jiwa kami rasa Cinta, Takut dan Harap, hanyalah kepadaMu"

Alhamdulillah, di hari yang indah lagi mempesonakan ini, Allah swt masih sudi menganugerahkan hamba pendosa ini peluang, dan ruang waktu untuk terus berusaha memenuhi ciri seorang hamba, walau acapkali hamba ini, tersasar dari landasannya, Dia masih sudi memberikan daku peluang demi peluang untuk menjadi hamba Rabbani. Hari ini juga merupakan satu amanah untuk dipergunakan semaksima mungkin untuk melaksanakan "amar maaruf, nahi mungkar", dan setiap satu saat yang dipergunakan terutamanya di alam keremajaan, semuanya akan menjadi satu dakwaan di sisi Allah, di hari yang tiada naungan melainkan naunganNya.  Sesungguhnya hari-hari yang daku lalui adalah kesempatan dariNya untuk daku memperbaiki semua kondisi hati ini, dan untuk menyemak semula bagaimana keadaannya,apakah ia sedang sihat, sakit ataupun mati. Nauzubillahimin zalik.

[1] Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang;[2] Dan bulan apabila ia mengiringinya;[3] Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata;[4] Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita),[5] Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaanNya);[6] Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya);[7] Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);[8] Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;[9] Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),[10] Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah As-Syams :1-10)

Alhamdulillah, Allah swt telah melancarkan segala urusan saya sepanjang percutian hujung minggu pada kali ini. Diberi peluang oleh Allah swt untuk bermusafir bersama sahabat yang dikasihi Lillahitaala, semoga Allah merahmatinya atas pengorbanan waktu dan tenaganya untuk menemaniku sepanjangan permusafiran ini. Alhamdulillah, segala urusanku di sana juga berjalan dengan baik. Antaranya, bisa bertemu ibu dan bapa angkatku, makcik Azizah dan Pakcik Ghusran yang dirindui , guru-guru serta sahabat-sahabat yang disayangi kerana Allah. Pulang ke Ma'had At-tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), madrasah didikanku yang telah melahirkan ramai kader-kader penggerak Dakwah & Tarbiyah, menjadikan hatiku begitu berbunga, serta merasakan di situ umpama kampung halamanku di mana pergi sahaja ke sana, beberapa insan yang begitu peka dalam meraikan tetamu mengajak kami bermalam di rumah mereka. Subhanallah, indahnya ukhuwah Islamiyah. Melihat para pemuda pemudi harapan Islam, dan wajah mereka yang bersih menjadikan diri ini mengingati saat-saat manisku berada di MATRI. Semuanya telah berlalu, serta semua itu telah menjadi masa laluku, yang tidak mungkin akan daku dapatkan kembali. Tetapi, semoga masa laluku itu menjadi pedoman untukku melalui kehidupan mendatang, barulah ia akan bermakna, dan akan terus segar dan terpahat dalam kamus  kehidupanku sehingga ke akhir waktu. 

" Ya Allah, rahmatilah keluargaku, sahabat-sahabatku, dan murobbi-murobbiku sama ada yang masih hidup ataupun yang telah kembali ke hadiratMu"


Mengamati keindahan & kesegaran embun pagi di Tasik Melati, subhanallah, alhamdulillah masih dihidupkan, dan masih diberi kesihatan yang baik. Sangat merindui kehidupanku yang lalu 
- Sabtu (21 April 2012)


Alhamdulillah, pada hari ini juga diberi peluang bertemu sahabat-sahabatku yang menghadiri mini konvokesyen USM. Mabruk buat kalian. Saat indah bersama mereka walaupun untuk seketika, meninggalkan kesan yang mendalam dalam hatiku ini. Antara perkara yang menjadi satu kesedihan saya adalah apabila saya perlu berpisah dengan insan-insan yang telah tersemat di dalam hati saya, yang telah membina memori indah bersama saya, bersama-sama bekerja di atas jalan DNT dan bersama-sama berusaha di dalam akademik. Amat berat hati ini melepaskan mereka pergi. Namun begitu, sudah menjadi adat kehidupan, bertemu dan berpisah itu satu ketentuan dan sesuatu yang pasti. Disebabkan kita bukan makhluk yang kekal, maka, pertemuan dan perpisahan itu akan sentiasa bertandang dan pergi. Semua ini adalah untuk menyedarkan kita bahawa hanya ada satu sandaran sahaja yang tidak pernah dan tidak mungkin akan hilang, iaitu sandaran dan pergantungan kepadaNya, Allah swt yang Maha Kekal, Yang Maha Esa, Yang Mha Hidup. Walaupun berat sekali hati ini melihat sahabat-sahabat seperjuanganku melangkah pergi meninggalkan alam IPT, namun, hatiku tenteram melepaskan mereka, sesungguhnya mereka milik Allah, Allah swt telah menentukan takdir bagi kehidupan mereka di luar sana, yang harus mereka jalani dan perjuangkan. Semoga mereka berjaya di dunia dan di akhirat. Jauh di sudut hati berdoa, semoga akan dipertemukan lagi, jika bukan di dunia, di akhirat sana kekal dan abadi. Indahnya persahabatan dalam Islam.  Bertemu dan berpisah hanya kerana Allah dan meyakini akan ada pertemuan yang lebih kekal di sana nanti. Mari sama-sama berusaha menjadi hamba Rabbani, barulah akan bertemu dan tergolong bersama mereka yang berjaya melangkah ke syurga hakiki. Amin.


Hari Ahad  (22 April 2012), sejak pagi berusaha menyiapkan rancangan pengajaran Fizik. Merasa sedih kerana tidak dapat memberi komitmen yang baik di dalam pengajaran hari ini, hampir pitam kerana tidak bersarapan. Namun, melihat raut wajah harapan pelajar-pelajarku, umpama satu sokongan rohani buatku, menyebabkan aku mahu melakukan yang terbaik walau kaki rasanya sudah tidak berpijak tanah seusai tamatnya pengajaran. Alhamdulillah, mereka pelajar-pelajar yang pintar, baik dan soleh-solehah, sentiasa bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan juga saling berkongsi ilmu. Gembira dan bersyukur kerana bisa menjadikan mereka sahabat, dan apabila cuba merendahkan pemikiran mengikut tahap pemikiran mereka. (Ice Breaking). Semoga Allah swt  sentiasa memelihara iman, ilmu dan amal mereka walau di mana sahaja mereka berada.


Kerja kami ketika ketiadaan K Za (Hehe...)

Jazakumullahukhairan kathira buat sahabat-sahabatku yang telah menyediakan makanan ini, sementara daku berusaha menyiapkan rancangan pengajaranku. Ya Allah, Terima kasih kerana mengurniakan daku sahabat-sahabat yang solehah dan sentiasa berkongsi ilmu bersama, duniawi dan ukhrawi. Saya amat suka berada di rumah sahabat saya ini dan bersama sahabat-sahabat yang lain. Mereka sentiasa menjaga kebersihan pemakanan dari sebarang perkara syubahah, ataupun boikot dan sentiasa memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan kemas walau sesibuk manapun. Apabila bersama mereka di rumah ini, kami sentiasa diprogramkan dengan didikan secara tidak formal. Solat mesti berjemaah, matsurat pagi dan petang, masa lapang dihabiskan dengan membaca buku di mini library, perkongsian rohani, makan bersama, dan juga berhibur, tetapi hiburan itu sentiasa tarbawi. Semua ini, tidak dilakukan secara terpaksa, tetapi lahir dari kesedaran dan keinsafan dalam diri yang Allah swt beri. Itulah keberkatan bersama sahabat-sahabat yang soleh, apabila kita melihat wajahnya, kita sentiasa mengingati Allah, dan apabila kita mendengar kata-katanya, bertambah kecintaan kita kepada Allah swt, kerana setiap masa mereka sentiasa menghidupkan sunnah nabawiyah. 




Akhir sekali, satu kejutan buatku hari ini, mendapat cenderamata berharga dari mereka yang dicintai Lillahitaala. Buat sahabat-sahabatku yang memberi hadiah ini, jazakillahukhairan kathira, semoga Allah swt merahmati dan memurahkan rezekimu di atas segala pemberianmu ini. Salah seorang pemberi hadiah ini sedang diuji dengan kesakitan akibat kemalangan. Mendengar namanya yang memberi hadiah ini, daku menjadi sungguh sebak, kerana dalam kesakitannya, beliau masih tetap mengingati sahabatnya ini, walaupun kami tidak terlalu rapat kerana jarak yang memisahkan. Namun begitu, hati ini sentiasa merasa dekat dengannya. Semoga Allah swt memberi kesabaran kepadanya mengharungi ujian ini serta menyembuhkannya. Buat sahabatku yang menghadiahiku dengan tasbih, terima kasih, kerana memahami keperluan hatiku. Subhanallah, di saat daku menghajatinya, Allah swt telah menghantar jawapannya melalui sahabatku ini. Alhamdulillah, semoga rahmat, keberkatan dan kasih sayang Allah swt sentiasa menaungi kehidupan kalian. 


“ Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal salih).” 
(Surah Az-Zukhruf:67)



Tidak dilupakan buat ibu bapa dan ahli keluargaku yang dikasihi Lillahitaala, semoga Allah swt sentiasa menyampaikan salam rinduku buat kalian. Sentiasa daku syukuri nikmat mempunyai keluarga. Ibu bapaku adalah ibu bapa terbaik bagi hidupku. Walaupun punya ibu bapa angkat, sentiasa daku doakan, semoga kasih sayangku ini tidak dibahagi-bahagikan. Masing-masing mempunyai hak yang sama untuk mengasihi dan dikasihi Lillahitaala. Hargailah nikmat memiliki keluarga, walau sejauh manapun kesibukan terhadap urusan-urusan DNT ataupun akademik dan kerjaya, namun, tanggungjawab sebagai seorang ahli keluarga tidak boleh sama sekali dilalaikan. Jangan sampai nikmat itu hilang, barulah ingin sesali akan kehilangannya. Pada waktu itu, tidak bergunapun penyesalan. Marilah sama-sama kita melakukan yang terbaik dalam apa sahaja. Sebagai seorang hamba Allah, Umat Rasulullah, Anak Soleh/ah. Adik/Abang/ Kakak yang soleh/ah, Pelajar yang Soleh/ah, Pekerja yang soleh/ah, Penggerak DNT yang soleh/ah, ahli mesyarakat yang soleh/ah, isteri/suami yang  soleh/ah dan ibu/ayah yang soleh/ah dsb. Apabila kita menyenaraikan begitu banyak tanggungjawab kita yang harus dilaksanakan sebaik mungkin, sudah tentu timbul di dalam hati kita, "Aku tidak boleh berlengah lagi", lalu bergerak menjalankan tanggungjawab dengan penuh kesungguhan. Apabila kehidupan kita disibukkan dengan pembangunan rohani, jasmani dan akhli, sudah tentu kita tidak akan ada masa untuk kemalasan dan bertangguh.

" Aku akan duduk di sebuah tempat yang tidak kuberikan sedikit pun tempat untuk syaitan" 
(Umar Abdul Aziz)


Wallahua'taala a'lam.

p/s: mahu melabuhkan diri memberi hak kepada jasad setelah berjaya menyiapkan 90% rancangan pengajaran fizik. Walaupun rasa seperti ingin demam, terubat kembali melihat hasil kerja, subhanallah. alhamdulillah.


Penawarhati90,
2.05 a.m
23 April 2012
Desasiswa Saujana
















Wednesday, April 18, 2012

-Allah Maha Mengetahui-

Jangan sesali apa yang sudah pergi..

Jangan tangisi apa yang sudah tiada..

Tetapi bangkitlah dan bina kembali apa yang telah hilang dan pergi..

Tetapkan kesabaran bila menghadapi ujian,

Telanlah kepahitan dengan kesabaran

Hilangkan kebimbangan dengan tawakkal

Pecahkan dengkimu dengan syukur

Padamkan kekecewaan dengan kerahmatan

Tutuplah sejarah hitam,

melangkahlah ke arah Ar-Rahman

Sesungguhnya ALLAH SWT LEBIH TAHU APA YANG TERBAIK BUAT KITA...

★ ♥ IÑSYÄÄLLÄH ★ ♥

【ツ】Sèñyüm
【ツ】Syükür
【ツ】SèlÃ¥lü
【ツ】SÃ¥häbätkü

*p/s: mungkin sesuatu ujian itu diduga untuk mengingatkan kembali seseorang hamba akan perhambaannya kepada Yang Maha Pencipta, kerana sifat ujian itu adalah untuk mengembalikan kesedaran dan keinsafan diri, bukan sebagai balasan atas kealpaan. Kadangkala, apabila kita diuji, kita benar-benar tidak jumpa jalan keluarnya, memikirkan cara itu dan ini, tetapi masih sahaja tidak temui. Ini kerana, pemikiran kita ini ada keterbatasannya, sehingga suatu saat barulah kita tahu bahawa, sesungguhnya kita adalah hamba yang tidak mampu, dan hanya ALLAH sahaja punya jawapan sebenar-benarnya. Kita tidak mampu menyelesaikan sesuatu apapun , melainkan semuanya dengan kehendak dan bantuan Allah swt. Dari situ, barulah kita belajar sedikit demi sedikit akan erti pergantungan dan perhambaan, dan kesungguhan dalam mencapai darjat seorang hamba Rabbani. Dan ujian itu juga mengajar kita menjadi seorang yang lebih peka terhadap urusan Ibadah, sensitif dan berwaspada terhadap dosa dan kelalaian, kerana merisaukan jika ada satu saat kita terlalai, maka, tipu daya syaitan akan mengisi jiwa kita, dan menuntut ruang waktu kita.

"We need ALLAH all the time, but He doesn't need us at all"

* merindukan ibu bapaku, keluargaku dan ibu bapa angkatku, dan sahabat-sahabat serta sanak saudaraku di seluruh pelosok dunia. Moga hidayah dan petunjuk Allah sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan kita, kerana tanpa cahayaNya, kita umpama manusia yang buta, dan umpama mayat yang hidup.

Penawarhati90
11.32 p.m
18 April 2012
Desasiswa Saujana
USM

Monday, April 16, 2012

Sibuk Oh Sibuk

Sibuk sebagai alasan. Jika alasan ini diberikan untuk BEBERAPA KALI mungkin boleh diterima. Tetapi, bila alasan ini diberikan SETIAP KALI, maka sebenarnya pemberi alasan itu tidak bersedia untuk menerima/melakukan/meninggalkan sesuatu.

Dan pemberi alasan itu telah menutup pintu hatinya untuk melakukan/menerima/ meninggalkan sesuatu.

Saya yakin, semua orang setuju jika saya kata semua orang di dunia ini sibuk. Siapa yang tidak sibuk???

Jika sibuk menjadi alasan untuk tidak hadir usrah, rehlah tarbawi, tamrin dan yang sewaktu dengannya, maka dia menghalang dirinya untuk mendapat hidayah Allah. Dia menghalang dirinya untuk mendapat sentuhan tarbiyah yang meransang IMAN. Dia menghalang dirinya untuk iman subur meningkat.

Akhirnya, Dia menghalang dirinya dari menjauhi azab Allah. Dia menghalang dirinya dari menuju syurga Allah.....


ASTAGFIRULLAHAL AZIM...


Sebuah perkongsian yang amat terkena pada diri. Semakin hari, semakin banyak urusan duniawi membelenggu diri, dan menuntut masaku. Namun begitu, menjadi satu kebimbangan bagiku seandainya kesibukanku terhadap urusan dunia menjadi alasan bagiku untuk mengenepikan urusan akhiratku.

" Barangsiapa yang tidak menyibukkan diri dalam kebaikan niscaya ia akan disibukkan dalam keburukan"

Bagaimana kita menguruskan jangka masa hayat?

Kata Imam Al-Ghazali, kalau orang umurnya 60 tahun- rata-rata- dan menjadikan 8 jam sehari untuk tidur, maka dalam 60 tahun ia telah tidur 20 tahun. Ada 3 hal yang kita tidak mungkin peroleh kembali jika kita melepaskannya:

1. Kata yang telah diucapkan.

2. Waktu yang telah lewat.

3. Momentum yang diabaikan.


Rasulullah saw bersabda lagi :

"Ada 2 nikmat di mana banyak orang tertipu dengannya iaitu nikmat sihat dan nikmat kelapangan waktu" (Hadis Bukhari dari Ibnu Abbas)


Waktu adalah momentum untuk berprestasi. Demi masa, demikian Allah bersumpah. Bukan main-main tentunya, kerana Allah menegaskan setelah bahawa sesungguhnya manusia pasti akan merugi kalau tidak memperhatikan waktu, kecuali 4 golongan:

1-Orang yang beriman

2-Orang yang beramal soleh

3-Orang yang menasihati dalam kebenaran

4-Orang yang menasihati dalam kesabaran


Akhir kata, ingat 5 perkara sebelum 5 perkara,

1-Sihat sebelum sakit

2-Kaya sebelum miskin

3-Muda sebelum tua

4-Lapang sebelum sempit

5-Hidup sebelum mati.


Sambungan perkongsian : http://my.opera.com/azmibhr/blog/sibuk


Subhanallah, semoga kesibukan kita tidak melalaikan kita dalam ibadah. Sesungguhnya apabila kita menjadikan kesibukan mengerjakan perkara-perkara kebaikan, ia akan sentiasa menjadi satu ibadah yang mendekatkan diri kita kepada Allah swt. Persoalannya adalah, apakah setiap kesibukan kita sehari-hari mendekatkan diri kita kepada Allah? Tepuk dada, tanya iman.

" Sesungguhnya solat adalah kerehatan bagi seseorang mukmin"


Apakah solat kita benar-benar menjadi satu kerehatan bagi kita untuk mengasingkan diri dari kesibukan dunia? Jika tidak, di manakah silapnya?


" Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu"


Pernah dengar ungkapan emas ini? Seandainya kita sedaya upaya menjaga urusan kita dengan Allah, atau menjaga hak Allah ke atas diri kita, insha'Allah, Allah swt pasti dan pasti akan menyempurnakan urusan kita. Sesungguhnya Dia Maha Kaya tidak memerlukan sedikitpun daripada kita, dan kitalah yang amat perlu kepadaNya.

" We need Allah all the time in our life, but Allah doesn't need us at all"

p/s : harus bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai, supaya dapat bermusafir ke perlis hujung minggu dengan persediaan rohani, jasadi dan emosi. Merindui mak ayah dan keluarga, juga merindui ibu dan ayah angkatku, serta semua sahabatku yang dicintai kerana Allah swt. Semoga Allah swt sentiasa merahmati waktu kita, dan menjadikan hari-hari yang kita lalui bermakna buat iman dan akhirat.

Sepanjang hari mengalami kesakitan kepala yang dahsyat. Mungkin jadual tidurku telah lari. Harus menunaikan hak diri, hanya untuk sebentar, hanya untuk sebentar, agar dapat memaksimumkan penggunaan waktu menyiapkan kerja.


Sedang asyik membaca buku " Zero To Hero" , karya Solikin Abu Izzudin. Subhanallah. Sememangnya buku ini bukan sekadar "buku cerita" tentang prestasi manusia. Bukan sekadar hiburan pelepas kepenatan. Bukan semata kumpulan dan nukilan. Kami gali dari khazanah yang terpendam, merangkai yang tercecer, menyusun yang terbengkalai, merawat yang dianggap remeh, dan menyuguhkannya menjadi sebuah "kekuatan dahsyat" untuk menggugah dan mengubah diri menjadi peribadi yang luar biasa.-Solikin Abu Izzuddin.


Sehingga kini....masih dalam usaha mengubat hati. Kadangkala ia tenteram, kadangkala ia keliru. Semuanya dalam kadar yang tidak pasti. Namun, kesedihan dan kebimbangan tidak mampu mengubah apa-apa, melainkan menyerahkan semuanya kepada Yang Maha Membahagiakan. Hanya harapan kepada Illahi menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan langkah-langkah menusuri hari-hari dalam hidupku.

Wallahua'lam. Bingkisan sebelum melelapkan mata sebentar untuk meneruskan kerja. Tak sabar untuk bermusafir, kerana doa ketika bermusafir adalah antara doa-doa yang mustajab. Insha'Allah.


Penawarhati90

10.32pm

16 April 2012

Desasiswa Saujana

USM