Sabtu, 3 April 2010

1st October In My LIfe


Tanggal 1 Oktober 2009 merupakan detik bersejarah dalam kehidupan saya, walaupun saya telah meraikan 1 Oktober selama 18 tahun, tetapi saya merasakan kenangan manis hari ini begitu berharga dalam kehidupan, inilah saat di mana saya memahami erti ukhuwah Islamiyah yang sebenarnya. Ukhuwah yang telah dibina di atas dasar cinta kerana Allah swt.


Bermula pada hari Rabu, orang pertama yang menghantar sms iaitu Masitah Mahmad seorang sahabat yang telah lama tidak menghubungi saya menghantar ucapan Hari Lahir. Pada ketika itu hati saya berbunga . Antara ungkapan emas beliau yang amat terkesan di hati saya,


“Kuntum cinta rabithah ini akan terus berbunga & tumbuh segar, sesegar kuntuman nailofar, ia berputik di sini , akan berbunga & bersemi di sana, Ya Allah satukanlah hati kami, moga jelas fikrah di jiwa, untuk merebut keredaan Allah, Selamat hari lahir”



Betapa terharunya saya menerima kalam ukhwah ini. Diikuti hadiah cinta dari Izzah Zaa’ba, seorang yang sangat prihatin dengan sahabatnya.


“ Ukhuwah yang dibina di atas dasar cinta kerana Allah tidak akan mengharapkan balasan apabila memberi, tetapi akan selalu berkongsi air mata di kala suka dan duka. Kesedihan temannya bagai hilang permata termahal di dunia. Itulah sunnah ukhuwah perjuangan agama, Selamat Hari Lahir, semoga setiap saat dalam hidupmu dirahmatinya ,Uhibbuki fillah.”


Tiba-tiba pipi saya dibasahi oleh kehangatan air mata. Sungguh kata-kata izzah ini sangat menyentuh di sudut kecil hatiku dan mengingatkanku saat kami di Matri , sama-sama bergembira dan menangis, masing-masing saling faham memahami antara satu sama lain, tidak pernah rasa kekok untuk mengatakan:


Saya Menyayangi Kamu Kerana Allah”


(tetapi ada yang malu berbicara bahasa Melayu,jadi menyatakannya dalam bahasa Arab dan English). Pada ketika itu, saya ingin sekali memeluknya. Tetapi sayang seribu kali sayang, pelukan itu hanyalah impian semata, kerana izzah tiada di depan mata.


Mesej seterusnya daripada A’tiyah yang sangat skema ,tidak mudah untuk memahami dirinya pada mulanya tetapi setelah 5 tahun bersahabat, kami seperti saudara kandung. Suka dan duka dikongsi bersama. Rupa-rupanya A’tiyah ini sekiranya mengenali dengan dekat, beliau mempunyai jiwa yang sungguh lembut dan matang. Bersyukur sekali dapat menjadi teman A’tiyah. Saat bersamamu akan ku simpan di dalam memoriku . Orang yang paling saya suka untuk dekati adalah orang yang bagi pandangan orang lain dia seorang yang susah untuk bergaul tetapi bagi saya, dialah target utama saya untuk saya jadikan dia sahabat saya kerana di sebalik sifatnya itu, ada keistimewaan dalam dirinya yang ingin saya terokai dan teladani.


“ Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka(orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua kekayaan yang ada di muka bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh Dia Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana.”(Surah Al-Anfal:63)


Tidak lupa kepada sahabat karib saya, saudara kembar, Ijlal dan Ijmal. Mereka adalah insan yang tidak pernah melupai hari lahir saya, sejak dari awal perkenalan kami. Mereka amat jujur dalam kata-kata dan perbuatan sehingga saya tidak pernah sedikit pun terguris hati (lama). Sekiranya ada perselisihan faham, pasti tidak berpanjangan, dan kami tidak pernah rasa malu atau berat untuk meminta maaf antara satu sama lain. Merekalah sahabat yang telah ditakdirkan Allah untuk bersama saya sehingga di Kolej Matrikulasi Kedah, sama-sama gembira dan menangis menghadapi arus duniawi yang tidak direlai oleh hati. Jiwa kami telah diikat dengan tali Allah, sehingga kami sentiasa ada ketertarikan antara satu sama lain. Besarnya kuasa Allah Yang Maha Penyayang yang telah mengumpulkan hati-hati kami dengan kasih sayangNya. Merekalah anugerah yang tidak ternilai dari Allah buat saya. Semoga perhubungan kita kekal ke syurga Allah. Syukur pada Allah.





Saya sangat terharu kerana pada hari lahir saya kali ini, sambutan ucapan sangat menggalakkan, saya sangat teruja kerana tidak pernah mendapat ucapan Hari Lahir seramai ini. Bukanlah hadiah yang saya harapkan ( buat yang memberi, amat saya hargai), tetapi ingatan sahabat terhadap diri ini membuktikan cinta yang selama ini lahir di hati kami benar-benar dibina di atas dasar cinta kerana Allah, cinta itulah yang telah menguatkan memori kami untuk mengingati latar belakang sahabat kami sehingga tarikh lahirnya pun kami ingat.


Bayangkan, sahabat-sahabat Matrikulasi yang sudah lama tidak bersua muka turut memberi ucapan, pada mulanya saya sangat terkejut, rupanya orang yang selama ini saya rasakan tidak rapat, mengingati tarikh lahir saya, bukan sekadar mesej, malah menalifon, merekalah Husna, Najihah, Huda ,Asma, dan yang lain. Pada waktu itu hati saya benar-benar terharu dan ingin sekali menitiskan air mata. Sedikit yang mampu saya lakukan adalah berdoa kepada Allah,


” Ya Allah, indahnya perhubungan ini, peliharalah hubunganku dengannya, aku ingin sekali bersama mereka ke syurga Mu. Berilah hidayah Mu ke dalam hati mereka, sentuhlah jiwa mereka dengan sentuhan Mu”

Inilah doa yang selalu meniti sanubari ku…











Buat sahabat-sahabat Universiti Sains Malaysia, insan-insan yang pertama kali ku temui, kalian adalah insan yang hebat. Rupa-rupanya dalam pertemuan yang singkat itu mereka sangat prihatin terhadap sahabat mereka, saya sangat terharu. Nak dengar cerita ?

Pada malam itu, saya tertidur (lama) dan mengunci pintu, sebabnya Suriati

(ex-roomate) ada perjumpaan Kelana, saya ambil kuncinya, jadi dua-dua kunci bilik ada pada saya. Saya tidak pernah tak sedar sekiranya tertidur ada panggilan talifon atau ketukan pintu, Tetapi pada malam itu sangat aneh, saya langsung tak mendengar miscall Suriati dan ketukan pintu yang sangat lama, bayangkan hampir 2 jam (12 pg-2 pg) lebih kurang, tiba-tiba saya terbangun tapi itu juga dalam keadaan separuh sedar, terus membuka pintu, rupa-rupanya semua jiran saya juga turut membantu mengetuk pintu. Sebenarnya niat mereka nak ucap hari lahir ramai-ramai tetapi lain pula jadinya, kesian sangat. Sampai mereka fikir saya ada penyakit atau apa-apa perkara tidak baik berlaku. Tak sangka boleh jadi begitu, amat pelik tetapi saya sangat bersyukur dan terharu sebab mereka sanggup berkumpul di tengah malam semata-mata nak ucapkan Selamat Hari Lahir. Rupanya ada berbelas-belas miscall dari Suriati dan banyak ucapan hari lahir dari orang lain termasuk jiran-jiran tadi. Memang saya sangat menyayangi jiran-jiran usm saya (Suriati ,Zuriana ,Natasya , Nazrah, Wan, Fiza), sebab mereka sangat pentingkan persahabatan, bilik orang lain yang hangit mereka yang risau. bayangkanlah. Indahnya ukhuwah ini..

Satu perkara yang saya pelajari dari persahabatan bersama mereka adalah sebuah persahabatan yang benar adalah persahabatan di atas dasar cinta kerana Allah dan tidak dicemari oleh niat-niat yang lain. Ini akan menambahkan rasa kasih kita kepada saudara tidak kira siapa pun mereka dan bagaimanapun mereka. Saya selalu memandang sahabat-sahabat saya dengan penuh rasa kasih. Setiap pandangan saya terhadap mereka sentiasa disusuli dengan doa. Setiap kali saya berhadapan dengan mereka, saya akan berdoa,

“Ya Allah, ampuni lah insan yang aku temui setiap saat dan setiap waktu, peliharalah hubungan ku bersama mereka kerana harapan ku pada persahabatan ini hanyalah satu, ingin bersama insan ini hingga ke syurga Mu.”





Dengan izin Allah saya dapat menukar bilik, tetapi saat bersama mereka sangat segar di ingatan, doaku untukmu wahai sahabatku tidak pernah pudar dalam ingatan tika sujudku, inilah tanda kesyukuranku buat Illahi, diberi kesempatan memiliki teman sebaik kalian.

Buat sahabatku, di utara , selatan, timur, dan barat, ketahuilah bahawa doaku sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan kalian. Kenangan manis bersama kalian akan ku simpan di lembaran kamus kehidupan sedalam-dalamnya. Harapanku pada perhubungan ini hanyalah satu, ingin bersamamu ke syurga Illahi. Jazakumullahukhoiran kasira untuk segala-galanya..




“Tidak beriman seseorang daripada kamu selagi kamu tidak mencintai saudaramu , sepertimana kamu mencintai diri kamu sendiri.”