Isnin, 28 Mei 2012



"Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMU cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu. Juga cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu.

Ya Allah! Jadikan aku mencintaiMu dengan sepenuh hatiku dan redha kepadaMu dalam segala usahaku.

Ya Allah! Setiap apa yang aku perolehi dari apa yang aku cintai, jadikanlah ia kekuatan yang Engkau redhai. Setiap yang Engkau singkirkan daku dari apa yang aku cintai, jadikanlah ketenangan dalam hatiku.

Ya Allah! Jadikanlah cinta ku kepadaMu menguasai seluruh yang aku cintai.
Dengarlah permohonan hambaMu wahai Yang Maha Mendengar. Amiin."

Ahad, 27 Mei 2012

Musafir Penuh Makna

Bismillahirrahmanirrahim...



Segala puji hanya bagi Allah, Rabb Yang Maha Mengatur setiap langkahan kehidupan hamba-hambaNya, selawat dan salam utusan rohani buat Rasul Teladan Umat, Rasulullah saw, serta ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya yang unggul.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dari lubuk ragaku, mengatur zikir pujian kepadaNya yang telah menghidupkan daku, memberi daku peluang untuk bernafas buat sehari lagi, serta dengan nikmat nafas ini, Dia (ALLAH), telah menyusun segala aktiviti kehidupanku buat hari ini. Moga-moga, memori indah yang cukup manis telah kulalui semalam bersama sahabat-sahabatku yang kucintai Lillahitaala, terus segar dan tersemat di hati sanubari kami, serta menjadi pedoman buat meniti hari-hari seterusnya dalam hidup kami. Amin.


Dalam permusafiranku menuju ke Kuala Kangsar, Perak kali ini, untuk menghadiri majlis walimatul urus sahabatku, Nur Hidayah Azir bersama pasangannya, Wan Mohd Azim, sangat memberi erti dalam hidupku sehingga ke saat ini. Entah mengapa, hatiku begitu berbunga-bunga, dalam permusafiran kali ini, kerana merasakan perjalanan ini penuh dengan pengajaran, penuh dengan hikmah, serta dalam setiap langkahanku ditemani dengan doa yang berterusan sehingga pulang semula ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan ini, daku sedaya upaya menggunakan waktu yang terluang di atas bas, untuk berfikir dan berzikir, agar tidak sesaatpun daku persiakan dengan angan-angan yang tidak berpenghujung. Lalu, lembaran buku "Zero To Hero" daku bacakan satu persatu,diselang seli dengan alunan kalimatullah serta nasyid-nasyid peringatan kepada Allah. Sebuah kata-kata Dr Yusuf Al-Qaradhawi tiba-tiba telah mengetuk pintu kesedaranku yang ingin sekali daku kongsikan bersama sidang pembaca yang dirahmati Allah swt,


" Orang yang melewati satu hari dalam hidupnya tanpa ada suatu hak yang ia tunaikan, atau satu fardhu yang ia lakukan atau kemuliaan yang ia wariskan atau kebaikan yang ia tanamkan atau ilmu yang ia dapatkan, maka ia telah durhaka kepada harinya dan menganiayai dirinya sendiri."

Jangan ada kekosongan dalam hidup kita, kerana kekosongan bisa membinasakan, ada tiga macam kekosongan yang harus sentiasa kita waspadai,

1-Kekosongan Aqal
2-Kekosongan Hati
3-Kekosongan Jasad

Rujukan : Buku 'Zero To Hero" karangan Solikin Abu Izzuddin. Halaman 115.

Subhanallah, satu ketukan yang hebat telah menyerap ke dasar hatiku, sememangnya, apabila ada kekosongan iman dalam diri kita, ia pasti terisi oleh nafsu yang melalaikan. 

" Ya Allah, Rahmatilah waktu kami"

Pada mulanya, hatiku menjadi keliru apakah wajar menghadiri majlis ini atau tidak, berdasarkan musim peperiksaan hampir tiba, hatiku mula gundah gulana. Sememangnya, pada hari yang sama juga, ada 3 jemputan kenduri di negeri yang berlainan. Namun, melihatkan kepada tuntutan kewajiban bagi yang berkemampuan untuk menghadiri jemputan, daku cuba memujuk hati dan mencari keikhlasan, agar perjalananku tidak sia-sia. Subhanallah, sehingga satu ketika, Allah swt mengurniakan daku kelapangan hati untuk menghadiri majlis ini, hatiku merasa begitu tenang dan tenteram untuk bermusafir lagi. Lalu, daku bulatkan tekad untuk pergi dan bersama sahabat-sahabatku yang telah sekian lama tidak ketemu. 

" Manusia merancang, Allah juga merancang, namun, Allah-lah sebaik-baik Perancang"

Dengan bertawakkal kepada Allah swt, dan meminta bantuan daripada sahabat-sahabat untuk memberi maklumat perjalanan, dengan pertukaran beberapa stesen, alhamdulillah, akhirnya tiba juga ke destinasi yang ingin ditujui. Perasaan pada mulanya terasa begitu kekok kerana sudah lama tidak 'travel' berseorangan. Tetapi, alhamdulillah, setiap perjalananku merasa begitu tenang, dan ditemani olehNya. Akhirnya, bisa juga daku menatap satu persatu wajah sahabat-sahabatku. Ada yang masih sama seperti dulu, dan pastinya ramai yang sudah berubah menjadi semakin matang. Hatiku sangat bahagia menemui mereka, terasa seperti iman sedang di cas, walaupun hanya memandang. Subhanallah, itulah panahan sahabat-sahabat yang solehah. Terasa diri ini sudah begitu jauh larut dengan keseronokan dunia, berbanding mereka yang masih berpegang kepada prinsip Islam. Ya Allah, semoga perjalanan ini, memperolehi keampunan dariMu. Pelbagai-bagai cerita yang dikongsi bersama, cerita mengenai perkembangan sahabat-sahabat lain, dan pastinya tidak lekang dari isu perkahwinan. Ya, selalunya isu itu yang acapkali dibincangkan oleh para remaja. Namun begitu, mereka yang sentiasa ditarbiyah dengan didikan Ilahiyah, akan sentiasa menjadikan sesuatu isu yang biasa itu menjadi luar biasa dengan sembang-sembang tarbawi. Bersyukur dan gembira mendengar perkembangan sahabat-sahabat lain, ada yang sudah bertunang, ada yang sedang merancang untuk bertunang, ada yang telah berkahwin, dan yang pasti ramai yang masih 'single n available'. Saya tumpang gembira dan bersyukur dengan kegembiraan mereka. Bagi diri saya, alam perkahwinan itu masih samar-samar dan masih begitu jauh untuk dikecapi kerana di hadapan saya, masih berbukit tanggungjawab dan amanah yang perlu saya tunaikan, jadi, alam perkahwinan itu masih menjadi alam yang begitu asing dalam pemikiran saya dan beberapa orang sahabat saya. Semasa sedang menyiapkan sedikit cenderamata buat raja sehari, Hidayah & Azim, saya membaca beberapa lembar helaian buku, "Di Atas Jalan Dakwah Aku Menikah", yang pernah saya baca dahulu, lalu, mata saya tertumpu kepada sebuah kata-kata saudara Cahyadi Takriawan,

Allah swt menggambarkan ikatan yang terjadi dalam akad nikah adalah sebuah Ikatan mitsaqaan ghalizhaa-perjanjian yang kuat. Akad nikah bukanlah sekadar kata kata yang terucap dari mulut lelaki, atau sekadar formalitis untuk mensahkan hubungan suami dan isteri, atau bahkan adat yang menjadi kebiasaan pernikahan. Sama sekali tidak. AKAD NIKAH adalah sebuah perjanjian yang sakral yang ikatannya amat KUKUH & KUAT. Akad Nikah telah mengikat suami dan isteri dalam sebuah perjanjian syar’e, di mana perjanjian itu wajib dipenuhi hak-haknya. Perjanjian agung yang menyebabkan halalnya kehormatan diri untuk dnikmati pihak lainnya. Perjanjian kukuh yang tidak boleh dicenderai dengan ucapan dan perbuatan yang boleh menyimpang dari hakikat perjanjian itu sendiri." 


Perkahwinan itu sebuah amanah yang besar, oleh itu, untuk memasukinya, perlulah mempunyai persediaan yang mantap. Terdapat 3 kunci yang harus dimiliki oleh mereka yang ingin memasuki alam perkahwinan,

(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup.
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting &  
      ramai yang terlepas pandang).
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri.


Melihatkan diri saya yang masih mentah dalam memiliki ketiga-tiga kunci tersebut, menjadikan perkahwinan itu sebuah mimpi yang masih jauh dalam perjalanan saya. Tanpa memiliki kunci tersebut, dibimbangi, saya hanya akan menzalimi bakal pasangan hidup saya, serta makna perkahwinan itu sendiri. Namun begitu, ia juga merupakan satu tuntutan dalam hidup saya, dan saya akan terus bergerak dan bergerak memenuhi tuntutan itu setelah saya memenuhi tuntutan yang lebih awla. Insha'Allah.


Setelah lama berjalan sambil berzikir melihat keindahan sekitar Kuala Kangsar, dan berbicara bersama sahabat-sahabat, kami pun bergerak menuju ke UPSI, di mana sahabat-sahabat karib saya tinggal. Kami terpisah semasa pemilihan ke IPT, alhamdulillah, Allah swt telah merancang IPT yang terbaik bagi kami, namun, harap-harapnya kami akan bersatu semula ketika melanjutkan pelajaran ke Sarjana nanti. Insha'Allah, dalam perancangan. ^_^


Alhamdulillah, perjalanan kali ini sungguh bermakna bagiku, terasa seperti ada satu kekuatan yang baru, dengan keazaman yang baru untuk melangkah pada hari yang baru. Melihat senyuman kasih sayang dari sahabat-sahabatku, dengan pengorbanan dan keperihatinan mereka bertanya pada setiap perjalananku, menguatkan lagi rasa cinta kerana Allah, menguatkan lagi ukhuwah Islamiyah yang terbina, semoga ukhuwah ini akan terus kekal menuju ke syurga firdausi. Amin Ya Robbal Alamin. 

Alhamdulillah, menghilangkan kepenatan dengan hiking di kaki Bukit Jambul bersama kakak-kakak yang dicintai fillah. Sayangi kalian Lillahitaala. ^_^

Rasulullah saw bersabda: ‘Seseorang yang ketika waktu pagi menjadikan dunia sebagai tujuan besarnya, maka dia tidak akan mempunyai kedudukan apa pun di sisi Allah SWT. Dia juga akan memberi empat perkara dalam hatinya; kesedihan yang tidak pernah berakhir, kesibukan yang tiada waktu lapang, kefakiran yang tidak pernah mencapai kekayaannya dan angan-angan yang tidak pernah mencapai tujuannya.’ ( HR Tabrani )


p/s: insha'Allah, permusafiran seterusnya, memenuhi tuntutan keluarga ke Putrajaya. Menggunakan masa bersungguh2 untuk bertelaah. amin. 

5.47am
28 Mei 2012
Hamna, P. Pinang.