Selasa, 24 November 2020

Tahniah dan Selamat Bertugas di Tempat Baharu

 Assalamualaikum wbrt, 



Tahun 2020 ini merupakan tahun yang meninggalkan pelbagai sejarah yang tak dapat dilupakan oleh seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga, bagi kami warga SMK Seri Tasik, tahun ini ibarat tahun kesedihan kerana beberapa orang daripada rakan guru kami telah meninggalkan sekolah atas sebab pertukaran dan kenaikan pangkat. 


Serius, bagi saya sendiri, satu demi satu berita pertukaran ini sangat menyedihkan kerana kami semua telah bekerja bersama sejak sekian lama. Pelbagai memori suka dan duka alam pekerjaan kami telah lalui bersama, kadangkala gembira ketawa, kadangkala sedih menangis. 


Masih ingat kenangan pada 5 tahun yang lalu semasa saya mula menjejakkan kaki ke SMK Seri Tasik. Pada hari pertama saya tiba di sini, Puan Hajah Siti Liah, pengetua pada waktu itu memberi arahan untuk saya bertegur sapa dengan semua warga guru di sini. Saya perlu mengambil senarai nama semua orang, dan saya perlu bertegur sapa dan mendapatkan tandatangan bukti saya telah menemui semua orang. Pada waktu itu, saya agak merasa lucu, kerana belum pernah lagi diberi arahan begitu. Yelah kan, saya pun kiranya baru menjejakkan kaki ke dua buah sekolah sejak bergelar guru tetap. Hikmah daripada peristiwa itu, saya hampir mengenali semua orang. Kalau sebut nama pun, saya dah boleh imagine siapa. Setelah beberapa tahun bekerja bersama, boleh dikatakan saya kenal dengan semua orang dan hati budi mereka. Manakan tidak, kami sentiasa diberi tugasan berkumpulan untuk menyelesaikan satu-satu tugasan. Semua itu menjadikan kami selesa bekerja bersama, saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Sebab itu, bila mendapat khabar pertukaran seorang demi seorang, sayu rasa hati. Tapi, insha Allah terbaik untuk mereka. 


Bermula dengan  khabar pertukaran Puan Pengetua, Pn. Hajah Faizah binti Hassan dan K Shahizan pada pembukaan lembaran tahun 2020. Sepanjang bekerja bersama Pn. Pengetua, saya sangat selesa dan mudah berbincang, terutama apabila menjadi guru PSS, Pn. Pengetua banyak membantu saya dan mengambil cakna soal penyelenggaraan PSS. Apabila berjumpa, beliau banyak memberi nasihat sebagai ibu dan berkongsi pengalaman sebagai pendidik yang telah lama berada dalam dunia pendidikan. Orangnya lembut, nasihatnya menusuk hati. Sungguh mengejutkan, hari kami tahu pertukaran beliau, hari itu juga kami mendapat ganti pengetua baharu. Dahsyat. Manakala, K Shahizan atau k Izan pula, merupakan jiran sebelah bilik kerana Pusat Sumber dan Bilik Muzik bersebelahan sahaja. K Izan seorang pendengar setia kerana selalu sahaja datang bersembang di PSS sambil makan aiskrim Malaysia. K Izan jarang bersembang di bilik guru kerana beliau seorang yang sangat komited bekerja dan berdedikasi. Jadi, masa yang betul-betul beliau lapang akan dihabiskan dengan datang ke PSS dan bersembang sehingga lewat petang. Beliau adalah geng stayback sebab memang akan habiskan masa sehingga lewat petang untuk melatih budak muzik. Petang saya tak kesunyian di PSS kerana akan ditemani oleh lagu-lagu yang dimainkan oleh anak-anak murid k Izan yang sedang dilatih di bilik sebelah. Rasa respect dan kagum saya terhadap beliau cukup padu. Rasanya saya pun tak mampu nak mencontohi kesungguhan beliau terhadap pekerjaan. Kehilangan kedua-dua insan ini cukup saya rasai kerana mereka adalah sahabat rapat saya.

Sayu 😢


Kenangan majlis perpisahan Pn. Faizah & Pn. Norshahizan. 
2 Februari 2020


Majlis kecil-kecilan dari warga ZPT.


Seterusnya, setelah bermulanya sesi persekolahan selepas PKP, kami dikejutkan pula dengan berita pertukaran Pn. Mazira (K Mas) & persaraan Pn. Maizarah  (K Mai). Kedua-dua ini merupakan pegawai kewangan dan kerani yang terlalu banyak membantu dan mempermudahkan kerja kami dalam urusan pengkeranian. Mereka ni kawan baik, nama pun dekat-dekat. Kadang-kadang tertukar. 😁 Selalu akan ke kantin bersama. Saya banyak berurusan dengan K Mazira berkaitan hal pembelian dan program. K Mazira seorang yang peramah tetapi tegas. Biasalah, bila melibatkan urusan kewangan. Tetapi, beliau cukup sabar dengan kerenah cikgu-cikgu. Kadang dah pernah buat belian, tapi masih lupa step. Beliau sabar je melayan pertanyaan yang dah 1000 kali. Sebab itu beliau sangat disayangi. Lagi satu, orangnya kemas, bergaya dan lawa sangat. Kalau pergi ke tempat dia, dahsyat, kemasnya ya Allah. Bab tagging, filing memang tip top. Campaklah ke lautan manapun, memang jadi pulau. Rasa kehilangan tak terungkap.. T__T. K Maizarah pula seorang yang lembut, suka senyum, kalau bab surat menyurat ni, memang akan hantar tepat atas meja setiap orang. Tidak pernah merungut dengan kerenah cikgu-cikgu.   

Majlis perpisahan Pn. Mazira dan Pn. Maizarah
22 Jun 2020

Sebulan selepas itu, kami menerima pula berita pertukaran dan kenaikan pangkat dua lagi rakan sekerja kami iaitu Datin Che Zaviah, Penolong Kanan Hem dan Pn. Norinda. Kedua-dua ini, bertukar atas kenaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan Guru Kanan. Datin Che Zaviah, saya agak kurang rapat memandangkan, saya tidak bekerja di bawahnya. Tetapi, apa yang boleh saya katakan ialah, beliau seorang yang peramah. Kami selalu berjumpa di kantin pada kebanyakan waktu. Manakala, K Norinda juga hampir sama, kami tidak banyak berurusan bersama, kerana bidang kami berbeza. Tetapi, kalau bab sukan, memang kepimpinannya sangat menonjol. K Norinda sorang yang sangat komited bekerja, tegas dan berdisiplin. Arahannya jelas, kerjanya kemas tersusun. Tetapi, nampak sahaja begitu, ketawanya boleh memecahkan suasana menceriakan hari sukan kami. 😆


Majlis Perpisahan Datin Che Zaviah & Pn. Norinda
22 Julai 2020


Senyuman manismu sentiasa dalam ingatan kami kakakku...😢


Setelah beberapa bulan sunyi dari berita-berita berpindah, pada 30 September 2020, sekali lagi kami mendapat khabar sedih bahawa ketua panitia Pendidikan Seni Visual, Pn. Norshahrizan (K Izan) bakal bertukar atas kenaikan pangkat. Rasa down pun ada mengenangkan jiran tepi dan bawah saya bertukar. K Izan ni kalau nak diceritakan soal komited kerjanya, memang panjang. Tapi cukuplah saya katakan, hampir semua pelajar seni berjaya dengan cemerlang di bawah kepimpinannya. Seorang guru seni yang cukup kreatif, semua tema dan hiasan majlis-majlis besar sekolah kebanyakannya diketuai oleh K Izan. Saya kalau dengan cikgu-cikgu yang komited bekerja ni agak jarang bersembang, kerana biasanya mereka banyak berada di bilik-bilik khas. Tapi kalau sekali kami berjumpa, sampai ke sudah tak habis bercakap. Begitulah gambarannya dengan persahabatan saya dengan K Izan. K Izan kalau sekali pandang nampak garang, tapi bila dah kenal rapat, peramah orangnya. Bab kerja memang tip top. 


Majlis Perpisahan Pn. Norshahrizan 
30 September 2020


Warga SMK Seri Tasik yang sporting...


Selamat maju jaya di tempat baharu K Izan...😂


Sebenarnya, setakat yang saya kenal rakan-rakan guru sekolah saya, bab bekerja memang terbaik, tetapi dalam bidang kepakaran yang berbeza. Semuanya ada bakat dan suka bekerja. Saya pula memang jenis yang suka rapat dengan rakan-rakan yang lebih senior kerana suka dengan cara kerja mereka dan suka mencedok idea mereka, suka berbincang dan mengambil pengalaman daripada mereka. Pada saya, untuk perkembangan kerjaya, kita kena banyak belajar dari mereka yang lebih senior, mereka yang rajin bekerja, mereka yang komited bekerja, mereka yang lebih berpengalaman. Kita akan seronok jadi cikgu. Kita tak akan rasa menyesal jadi cikgu, kita tak ada rasa malas, kita tak rasa nak merungut dengan arahan yang belbagai-bagai, sebab bila perhatikan mereka yang senior ni, mereka sangat matang dalam berfikir, sangat berhati-hati menutur kata, mereka cukup bersungguh dan cemerlang ketika bekerja dan mereka sangat ikhlas. Melakukan pelbagai pengorbanan tanpa minta dibalas. Biar apapun kecaman ke atas warga pendidik hari ini, mereka abaikan sahaja kerana mereka lebih tahu apa yang mereka buat. Guru baharu kena banyak belajar. Tetapi yang saya sayang sangat sekolah ini, junior senior semua boleh masuk dan bekerja bersama. Sebenarnya, adab bekerja memang begitu. Kalau kita nak seronok bekerja, kita kena jadikan pekerjaan itu ladang pahala dan syurga bagi kita, barulah kita gembira hari-hari nak bekerja. Sesungguhnya perjalanan ini masih panjang...... Pilihlah apa sahaja yang membahagiakan kita dan buat yang terbaik. Ingat, niatkan semuanya kerana Allah. Moga-moga jadi kebaikan untuk kita di akhirat nanti.  


"Patah tumbuh hilang berganti", setiap yang pergi pasti ada gantinya. Alhamdulillah, setiap yang pergi, Allah gantikan kami dengan rakan-rakan baharu. Tetapi ukhuwah yang terbina akan tetap terus bersemi. Begitulah hidup ini, bertemu dan berpisah adat dunia. Sebab itu, dalam kita menjalinkan ukhuwah, kita perlu buat yang terbaik dalam persahabatan. Bersikap jujur, jangan ada dengki, jangan ada yang tidak berpuas hati. Sudah pastinya, perselisihan faham pasti akan berlaku dalam apa jua keadaan, tetapi meraikan persamaan dan menghormati perbezaan itu lebih baik. Yang penting, bersahabatlah kerana Allah, kita sendiri perlu beri yang terbaik yang kita mampu, dan jangan sesekali fokus atau terlalu banyak melihat sisi yang negatif. Jangan kita lepaskan masa-masa bersama dengan perkara yang negatif, kelak, kita pasti akan merasa kosong dan sunyi bila sahabat kita pergi jauh meninggalkan kita.  Dan suatu saat, kita juga akan meninggalkan. Tinggalkanlah memori yang indah-indah untuk dikenang. Saya banyak belajar dari pengalaman-pengalaman yang saya telah lalui dan saya sangat menghargai persahabatan. Wallahua'lam.  


Senandung Ukhuwah




Penawarhati90

25 November 2020

9.00 am

Selangor








Khamis, 1 Oktober 2020

Menjelang Usia 30-an

 

Bismillahirrahmanirrahim..... 

Alhamdulillah, tanggal 1 Oktober 2020, maka, genaplah usiaku yang kini memasuki era 30-an. Syukur alhamdulillah, kerana sehingga hari ini, Allah masih memberi peluang untukku memperbaiki diri ini, memperbetulkan kesilapan-kesilapan selama 30 tahun sebelum ini, sebagai persiapan untuk kembali kepadanya. Sebenarnya, bila usia semakin meningkat, kita semakin kembali menyedari siapa diri kita, apa tujuan kita di dunia ini, dan ke mana kita akan kembali. Oleh itu, perlu banyak membuat koreksi diri, dan merancang masa hadapan yang lebih jauh. Masa yang berlalu amat pantas sekali, oleh yang demikian, manfaatkan sebaiknya dan jangan sia-siakan. Perbanyakkan amal-amal yang membuahkan pahala yang lebih besar dan berganda-ganda. 


Untuk saya sendiri, dalam 30 tahun ini, pelbagai perkara suka duka, susah senang, jatuh bangun telah saya lalui, ada yang saya kesali, dan ada yang saya syukuri. Walau apapun, jauh di sudut hati, saya sangat bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan sepanjang usia ini. Dalam ujian pun tersimpan pelbagai rahmat jika dinilai sedalam-dalamnya. Ada banyak perkara yang telah berjaya saya selesaikan, namun, masih banyak perkara yang menanti di depan sana. Saya suka apabila hidup saya ada perancangan, ada perkara yang saya ingin lakukan, dan matlamat itu jelas. Oleh itu, saya sentiasa tanamkan dalam hati, tiada rehat, tiada malas. Semoga Allah sentiasa bersamaku menuntunku ke jalan yang diredhaiNya. Semoga masa yang ada benar-benar dimanfaatkan untuk mencari keberkatan hidup. Amin. 


Terima kasih suami dan sahabat-sahabatku untuk hari ini... 


ZPT yang sentiasa ceria, penguat semangat menempuhi cabaran alam pekerjaan, menyerikan warna warni perjalanan ini.... 



Kakak merangkap sahabatku yang sangat disayangi... Sentiasa bersama dan saling menghargai.. Semoga persahabatan kami kekal hingga ke syurga sana... Pelajar pertama kak Ej ialah batch SPM 2007 yang merupakan batch saya. Bermaksud, pangkat kak Ej adalah sama macam guru saya... Kamilah adik kakak, kamilah sahabat sejati... Penyeri dan penyokong perjalananku sebagai pendidik... Moga Allah merahmatimu....

 

Keluarga kecil kami..Tulang belakangku...
Semoga kami terus bersama hingga ke syurga..



Kek Marble by K. Ej




Terima kasih En. Shuben



Terima kasih untuk semuanya......
Terima kasih atas doa dan ucapan semuanya....
Terima kasih Ya Allah...
Terima kasih semua....





Penawarhati90
01 Oktober 2020
11.58 pm

Cheras, KL





  



Sabtu, 26 September 2020

Majlis Anugerah Cemerlang 2020 selesai!

 Bismillahirrahmanirrahim...


Tanggal 26 September 2020, berakhir sudah tugasan sebagai pengacara Majlis Anugerah Cemerlang anak-anak SMK Seri Tasik, bagi tahun 2020. Ini kali pertama, saya ditugaskan sebagai pengacara majlis untuk majlis besar sekolah. Kali pertama menjadi pengacara majlis ialah pada tahun lepas, hanya untuk program dalaman iaitu program di bawah Pusat Sumber saya sendiri. Jadi, bila didapati nama saya tersenarai untuk majlis besar sekolah pada kali ini, macam-macam konflik dalaman yang berlaku dalam diri ini. Pertanyaan biasa adalah : "ish, kenapa aku pulak ni?", "diorang silap letak nama ke? takkan cikgu matematik boleh jadi mc kot? cikgu bahasa takde ke yang boleh jadi (sebab biasanya tugas-tugas melatih budak bercakap ni guru bahasa)?". Macam-macam persoalanlah yang timbul, sambil rasa down sangat. Waktu saya tahu tu, baru je balik kerja, nak lelapkan mata kejap sebelum pergi ambil anak. Terus tak boleh lelap dan mesej penyelaras tanya, kenapa saya?. Jawabnya : "Insha Allah, yang terbaik". "Yelah tu kan". 😁 


Dan hari itu pun tiba.... 26 September 2020. 

bergandingan bersama adik junior, Safwan. Dua-dua Utagha mari.... 


Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah. Dapatlah kami mengacarakan majlis dengan lancar dan tamat sebelum waktunya. Syukur, alhamdulillah. 

"Haza min fadhli Rabbi"


Boleh kata, saya ni selalu ditakdirkan untuk menerima tanggungjawab-tanggungjawab baharu dan penting-penting sedangkan kalau ikutkan pangkat DG41, saya ni boleh dikira sebagai guru baharu dan perlu dibimbing untuk 8 tahun pertama. Masih ingat lagi, sewaktu saya baru sahaja mendapat berita pertukaran, dan saya menghubungi pengetua sekolah baharu (sekolah saya kini) pada waktu itu, katanya, sekolah kami ada lebihan guru, dan saya sama ada ditempatkan sebagai Guru Pendidikan Khas ataupun akan dipostingkan ke sekolah lain. Waktu itu, berdebar juga saya sebab tak pernah lagi mengajar pendidikan khas dan memang pengetahuan saya zero. Tetapi, setelah seminggu saya dipostingkan, saya diminta untuk dikekalkan ke aliran perdana sebagai guru BM dan Sejarah. Alhamdulillah la, semua arahan itu tak menjadi. Maka, kekallah saya di aliran perdana dan di sekolah yang sama pada hari ini, cuma subjek dan posisi sahaja yang berubah, apabila saya dikekalkan sebagai guru mata pelajaran Matematik (memang ada sedikit background dan saya suka), dan fokus tugas saya banyak di bahagian pengurusan iaitu Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (tugas yang sangat mencabar dan tidak disukai oleh mereka yang seangkatan dengan saya). Alhamdulillah, Allah Maha Baik, tetapi saya sangat sukakan tugasan dan posisi saya sekarang kerana pengurusan Pusat Sumber adalah sesuatu yang saya memang minat dan ada sedikit bakat yang Allah bagi, saya juga berminat pada kerja-kerja kesetiausahaan. Tetapi, semestinya saya masih belajar untuk mahir tentang semua itu, kerana saya masih guru yang perlu dibimbing, DG41. Tetapi apabila kita belajar perkara yang kita minat dan ada bakat, sudah tentu kita happy dan bersedia untuk belajar. 


Berbalik kepada cerita Emcee tadi, maka, bersyukur sangat, dengan bergandingan dengan junior seangkatan, kami dapat kendalikan majlis dengan baik. Alhamdulillah. Maka ada sesuatu pengajaran yang mungkin boleh saya kongsikan untuk renungan diri saya sendiri: 


1) Dari kecil, saya banyak berdikari. Antara semua anak, saya antara anak yang paling banyak bersama ibu ayah saya, merasai kesusahan kehidupan mereka. Saya anak peniaga nasi lemak. Banyak perkara yang mencabar yang saya lalui, antaranya, naik motor pukul 4 pagi, pergi hantar kuih dengan mak dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya sendiri merasai dan mengalami cabaran kesusahan bersama ibu ayah. Sampailah remaja. Saya sudah terbiasa dengan perkara-perkara yang mencabar, sama ada fizikal ataupun mental. Mungkin disebabkan oleh cabaran-cabaran itu, menjadikan jiwa kental. Sakit sikit-sikit, jarang sekali saya melayan sakit itu. Asbab kepada kehidupan yang penuh cabaran dan ujian, apabila saya berhadapan dengan perkara-perkara mengecewakan dan perkara-perkara yang menguji saya, saya memang akan kecewa, kecewa sangat, lost n down, tetapi selepas itu, saya akan cuba bangun dari kesedihan. Saya akan cuba handle perasaan itu, supaya saya boleh hadapi dengan baik. Contohnya, apabila saya mendapat tugasan yang diluar jangkaan seperti MC ini. Tambahan pula, barulah saya sedar, semua ujian yang saya lalui rupanya sangat bernilai untuk saya menyelami kehidupan pelajar-pelajar pada hari ini yang juga mengalami episod-episod yang sangat menyedihkan dalam kehidupan mereka. 


Masa itu sangat bernilai. Hidup kita sangat tidak lama di dunia ini, jangan persiakan. Manfaatkan dengan baik dan buat yang terbaik yang kita boleh. Beri yang terbaik jika kita diperlukan. Jangan buat sambil lewa. 


2) Sebagai guru, kita adalah contoh. Kalau kita bukan guru, kita mungkin sebagai ibu. Kalau kita bukan ibu, kita mungkin seorang manusia. Jadi, kita kena jaga sifat keperibadian kita. 

"The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires".-William Arthur Ward


Sebagai guru, kita bukan sahaja jadi motivasi, tetapi inspirasi kepada para pelajar. Kita perlu lebih mahir, lebih kental, lebih tabah daripada mereka. Bukan untuk kita banggakan, tetapi untuk kita beri contoh kepada mereka. Jika mereka perlukan khidmat kita, berilah semampu mungkin. Beri nasihat dan tunjuk ajar serta bantuan dalam batas seorang guru dengan seorang pelajar. Berilah sebanyak mana kita boleh membantu dengan penuh hikmah dan ikhlas. Kita perlu kuat dan kita perlu kental. Semua kerja adalah cabaran. Tidak kira apa cabaran pendidikan hari ini, kita kena tahu tugas hakiki kita. Di mana limitasi kita. Bawa peribadi yang baik di hadapan murid, ibu bapa, sesama rakan sekerja dan pentadbir. Bersikap profesional. Kita kena tahu apa yang kita boleh luahkan, apa yang kita perlu simpan. Cuba terima apa sahaja tanggungjawab, walaupun baru bagi kita, cuba belajar untuk handle dengan tenang, sabar, gembira, banyak pujuk diri. Kalau kita bawa diri kita yang positif, hasilnya pun akan jadi positif. Tetapi, kalau kita bawa diri kita yang negatif, tugasan tetap kena jalankan, tetapi, hasilnya akan negatif. Itu hakikat yang kita kena sedar. Apapun, yang bestnya tentang kerja guru ni, semua dalam team. Mesti manfaatkan teamwork. Insha Allah seronok. 


Sebagai ibu, kita adalah contoh kepada anak-anak. Jangan biarkan mereka melihat kelemahan kita. Cuba jadi sempurna di mata mereka. Biarkan kita selalu jadi superhero dan superheroin pada mereka. Macam mana caranya? Kena jaga emosi kita, marah dan sayang, letak pada tempat dan masanya. Jangan berhenti berkongsi dan memberi nasihat, berkawan dan ambil berat semua tentang mereka. Moga Allah tutup keaiban kita, dan anak-anak akan terus respect dan sayang kita kerana Allah, jadi tempat rujuk mereka untuk mereka memahami asam garam kehidupan dunia. Dalam hidup kita, kita mungkin pernah buat silap semasa masa lalu kita. Yang penting, muhasabah di mana kesilapan kita dahulu, apa punca kesilapan kita. Banyak bermunajat memohon ampun kepada Allah, dan jangan biarkan anak-anak kita mengulangi kesilapan kita, bantu mereka mencari arah kehidupan yang betul, diredhai Allah, dan membawa ke syurga yang hakiki. Begitu juga kita bantu diri kita sendiri. Selalu ambil pengajaran, supaya kita belajar dari kesilapan. Nasihat Tuan HSK sangat saya sukai.  


"Orang yang pandai, belajar dari kesilapan diri sendiri, tetapi orang yang bijak, belajar dari kesilapan orang lain"-Tuan Haji Samsuddin Kadir.


3) Sayangi diri kita. Jika kita tidak menyayangi diri kita sendiri, tak ada orang yang akan sayangkan kita. Jadi, jagalah diri kita sebaiknya. Buatlah yang terbaik dalam hidup kita. Nikmati kehidupan ini dalam tanggungjawab-tanggungawab yang tergalas di bahu kita. Bila kita mendapat cabaran atau masalah, cuba belajar bagaimana nak selesaikan masalah. Cuba kita tenangkan diri dan cuba positif dengan cabaran itu, selesaikan satu persatu, rungkaikan satu persatu dengan sebaiknya. Dan kita akan dapati, insha Allah, ujian itu akan jadi rahmat pula untuk kita. Tetapi, bila kita kata kita sayangkan diri kita, kita kena banyak berhati-hati supaya kita dapat aware dengan segala rintangan-rintangan yang ada di depan, dan kita tidak tersilap langkah. Hati-hati dengan diri kita sendiri supaya kita tidak masuk dalam perangkap diri kita sendiri. Besederhana dalam apa juga perkara. Insha Allah, Allah akan jaga kita. 


Antara doa yang terkesan di hati ini yang diungkapkan oleh Tuan Haji Samsuddin Kadir untuk dikongsikan, 

 "Ya Allah, jadikanlah diri aku kecil di mataku sendiri, tetapi besar di mata orang lain." 


Sesungguhnya, kita hanyalah manusia biasa, tiada apa yang kita perlu banggakan dengan diri kita, tetapi perlu hargai diri kita sebaiknya. Namun, biarlah diri kita selalu menjadi motivasi dan contoh kepada orang lain, maka kita perlu berakhlak dengan akhlak yang terpuji. Insha Allah, semampunya. Amin. 


Sekian untuk perkongsian kali ini. 


Sekitar Majlis Anugerah Cemerlang SMKST 2020.... 


Perarakan tetamu kehormat masuk ke dewan.... 


Sekitar majlis berjalan...


Pelajar Cemerlang SPM 2019


Pelajar Cemerlang PT3 2019



Persembahan Dikir Barat oleh anak-anak PPKI


Persembahan Aliran Perdana


Wajah-wajah terharu dan gembira guru-guru cemerlang mata pelajaran (Ramai lagi tak masuk gambar). Syukur, tanda penghargaan untuk diri sendiri. 



Bersama Bonda Pengetua yang sentiasa menjadi inspirasi kami para guru... Guru menjadi inspirasi murid, pengetua pula menjadi inspirasi para guru. Begitulah perbadinya, Alhamdulillah..Saya kagum... 




Tidak dilupakan, geng ZPT yang sentiasa menceriakan suasana...


Penawarhati90
27 September 2020
2.34pm
Cheras, KL



 


Rabu, 23 September 2020

IBRAH DARI KISAH SAFIYYAH


 

Terpesona dengan keindahan lirik lagu ini. Bait-baitnya merupakan gambaran sirah keperibadian seorang wanita bernama Safiyyah di zaman Rasulullah SAW. Setiap kali mendengar lagu ini, cukup menusuk jiwa ini, dan untuk diri saya, ia sebuah motivasi dan doa agar saya terus diberi kemampuan untuk terus berdiri seteguh Safiyyah sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Sungguh amanah sebagai khalifah ini begitu berat, ada kalanya terasa tidak kuat untuk menggalasnya, tetapi itu hanyalah suara dan bisikan. Jiwa mesti kental, dunia hanyalah sebuah persinggahan, bukan pengakhiran, perjalanan perlu diteruskan, jadikan sirah pedoman untuk terus membakar semangat diri agar bisa tiba ke destinasi impian. Insha Allah. Amin, 


Penawarhati90

5.29pm

23 September 2020

Cheras, Kuala Lumpur

Ahad, 20 September 2020

Bangkit dari Kekecewaan

 Bismillahirrahmanirrahim....


Pernahkah kita melihat anak-anak kecil bermain dan berlari-lari kesana kesini? 

Melihat anak-anak kecil ini pasti membuatkan kita merindui zaman kanak-kanak kita. Bermain, berlari riang gembira, tanpa memikirkan apa akan berlaku, tanpa memikirkan tanggungjawab yang perlu dipikul. Hidup mereka sentiasa happy, tak ada rasa sedih dan tak kenal erti kecewa, sentiasa tersenyum, gembira, walaupun kena marah, tak kenal rasa marah dan dendam. Sekali sekala terdetik rasa ingin kembali ke masa itu. Rindunya...


Tetapi, lumrah kehidupan, kita takkan selamanya menjadi budak. Kita akan melalui fasa-fasa peningkatan usia, begitu juga dengan kematangan dan kebijaksanaan. Ini terjadi apabila kita berhadapan dengan komitmen demi komitmen yang menuntut idea dan tindakan. Begitu juga kita akan mengalami fasa jatuh bangun, berjaya dan gagal dalam perjalanan kehidupan kita.


Adakah anda pernah rasa kecewa dalam hidup ini?


Kalau ditanya kepada sesiapapun, jawapannya pasti PERNAH. Sebagai manusia yang melalui kedewasaan sehari-hari, sudah pasti kita pernah bertemu dengan kekecewaan. Saya sendiri pun pernah melalui kekecewaan demi kekecewaan. Masih terbayang macam mana saya menangis teresak-esak bila saya perlu mengalami beberapa peristiwa yang mengecewakan. Waktu itu saya dah tak dapat mengekang air mata dan membiarkan diri betul-betul menangis, bersungguh-sungguh menangis supaya lepas itu saya akan rasa lebih lega. 


Sebenarnya, perasaan kecewa itu adalah buah dari kegagalan kita mendapatkan apa yang kita inginkan. Tetapi, setelah melalui fasa kegagalan itu, banyak perkara yang kita belajar sebenarnya. 


Pertamanya, kita akan mula hilang "sifat keakuan". Nama manusia itu sendiri berasal dari perkataan 'na-si-ya' yang dimaksudkan dengan 'pelupa'. Bermaksud, sebagai manusia ini, kita selalu melupakan siapa diri kita. Yang sebenarnya, kehidupan kita ini adalah sebuah pinjaman. Pemilik diri kita ialah Allah swt. Oleh itu, bukan kita yang mentadbir diri kita sendiri malah kita tidak layak untuknya, sebab kita tidak sempurna dan kita memang tidak tahu apa yang akan berlaku, walaupun di belakang leher kita sendiri pun kita tak nampak. Tetapi, apa yang kita buat? Dalam diri kita selalu terbit rasa yang kehidupan ni milik kita, dan kita selalu berfikir apa yang kita inginkan itu terbaik untuk diri kita. Jadi, kadang-kadang Allah 'gagalkan' perancangan kita yang mana kita tidak dapat miliki apa yang kita mahukan supaya kita kenal erti kecewa dan kita kembali mempunyai jiwa hamba. Lama kelamaan, apabila kita ditubi, ditubi, ditubi dengan kekecewaan, barulah timbul kesedaran yang diri kita bukan milik kita, tetapi Allah. Selalu kan kita dengar kata-kata yang "Allah tidak akan memberi apa yang kita inginkan, tetapi Allah akan beri yang terbaik" dengan pilihan yang kita buat. Sebab itu, kita sangat perlukan Allah dalam kehidupan kita dan kita kena selalu doa supaya Allah lorongkan kita ke jalan yang diredhaiNya dan jangan biarkan kita keseorangan di jalan ini, sebab kita sememangnya tidak berdaya mentadbir diri kita sendiri. 


Keduanya, kalau perasan, bila kita mengalami rasa kecewa demi kecewa, kita akan menangis dan menangis sungguh-sungguh orang kata "with all of my heart". Tetapi, lepas itu, kita akan merasa sedikit lega dan tidak terus membiarkan diri kita dalam rasa sedih itu. Lama kelamaan, kita akan bangun semula. Jadi sebenarnya, kecewa itu adalah titik permulaan untuk kita menjadi lebih baik dari sebelumnya. Oleh itu, apabila kita lalui beberapa episod kekecewaan dalam hidup kita, kita akan menjadi lebih matang dalam berfikir dan bertindak sehingga satu masa kita akan dapat merasakan perubahan sama ada pada fizikal dan akhlak keperibadian kita, cara kita bercakap, cara kita bertindak. Daripada situ, barulah kita dapat lihat hikmah pada rasa kecewa dan bersyukur pula dengan rasa itu setelah kita melalui fasa yang perit itu. 


Begitulah warna-warni kehidupan. Kalau dalam hidup ini, kita tidak diuji, hidup kita akan berlalu macam itu saja. Satu tona sahaja, tidak mencabar dan rasa bosan. Berbalik kepada kisah budak-budak tadi yang riang ria bermain tanpa ada sebarang rasa, sebab itu mereka belum matang, tetapi kalau sampai ke tua macam tu, tidak seronok juga kan, sampai ke tua tak matang-matang dan semua orang nak kena tolong fikir untuk dia kan. Jadi, bila diuji dengan kegagalan, kecewa, sedih, sebenarnya kita akan lebih matang jika dan hanya jika kita cuba bangun dan lalui cabaran itu dengan jiwa yang tabah. Jika kita terus-terusan kecewa, ingatlah, hidup kita singkat sahaja untuk kecewa yang melampau, untuk habiskan masa dengan kecewa. Hidup kita ni sekejap sangat, sebab itu kena manfaatkan sebaiknya, untuk apa? Untuk mencari keredhaan Allah dalam setiap amal kebaikan yang kita buat, cari bekalan ke negeri yang kekal abadi, manfaatkan betul-betul setiap denyut nadi yang Allah pinjamkan. Kalau kecewa, biarkan air mata mengalir deras sampai kita betul-betul lega, kemudian selepas itu, bina balik diri kita, teruskan langkah, teruskan berlari mengejar syurga tertinggi. Kecewa itu lumrah semua orang lalui, cuma dalam peristiwa yang berbeza-beza. Biarkan diri dan hati kita menikmati rasa tenang, rasa puas, rasa bahagia untuk detik yang hanya seketika cuma.


Tetapi janganlah pula kita berfikiran bahawa, aku tidak perlu rancang kehidupan, asyik kecewa saja. Salah pulak macam tu kan. Perancangan perlu ada, mimpi perlu ada, dan kita berusaha untuk jadikan realiti. Berkat doa, usaha, tawakkal, biasa dengar D.U.I.T kan. Kalau apa yang kita rancang, berjalan seperti yang kita inginkan, alhamdulillah, maka kita akan buat dengan lagi baik akan datang. Tetapi jika tidak menjadi seperti yang kita rancangkan, dan kita kecewa dengannya. Janganlah berlama-lama dalam rasa itu dan itu bukan pengakhiran kehidupan. Belajar dari kesilapan. Muhasabah semula di mana silapnya, berfikir itu mematangkan. Betul tak?. Yang penting, belajar dari kesilapan /kegagalan/ kekecewaan dan perbaiki. Belajar untuk melepaskan kekecewaan kita, jangan ada dendam, jangan ada sesuatu yang tidak selesai dalam hati kita. Barulah kita akan rasa tenang dan lega. 

Bila Allah sayangkan kita, Allah datangkan fasa-fasa jatuh dalam kehidupan kita, untuk menegur kita tentang sesuatu. Jika Allah biarkan kita dalam kemaksiatan, dalam kesombongan, dalam lagak kita, itu bahaya. Sangat bahaya. 


Teringin saya kongsikan sedikit titipan hasil perkongsian Bonda Pengetua sebagai motivasi untuk diri saya sendiri dalam memegang amanah-amanah yang tergalas di bahu saya : 



MOTIVASI DIRI

 

Tidak ada

"orang baik"

yang tidak punya

"masa lalu",

 

Dan tidak ada

"orang  jahat"

yang tidak punya

"masa depan".

 

Setiap orang memiliki

"kesempatan"

yang sama untuk

"berubah menjadi lebih baik".

 

Bagaimanapun masa lalunya dahulu, sekelam apa lingkungannya dulu, dan seburuk apa perangainya di masa lampau..

 

Berilah kesempatan seseorang untuk

"berubah".

 

Kerana,

"seseorang yang hampir membunuh Rasul pun"

kini terbaring di sebelah makam beliau. :

"Umar bin Khattab".

 

Jangan melihat seseorang dari masa lalunya..

"Seseorang yang pernah berperang melawan agama Allah pun"

akhirnya menjadi pedangNya

Allah :

"Khalid bin Walid"

 

Jangan memandang seseorang dari

"status" dan "hartanya",

kerana

sepatu emas "fir'aun" berada di neraka,  sedangkan

terompah "Bilal bin rabah" terdengar di syurga.

 

Intinya,

 

Jangan memandang

"remeh"

seseorang karena

"masa lalu"

dan

"lingkungannya",

karena

bunga teratai

tetap

mekar cantik

walaupun tinggal di air yang kotor.

 

Maka untuk jadi

"hebat"

yang diperlukan adalah

"kuatnya tekad".

 

Tak perlu pusingkan masa lalu,

tak perlu malu dengan tempat asalmu.

 

Jika kau mahu,

Kau bisa menjadi laksana

bunga teratai

yang tinggal di air yang kotor namun tetap mekar mengagumkan.

 

"Berubah"

dan

"bangkit"

jauh lebih

"indah"

dari pada

"diam"

dan hanya "bermimpi"

tanpa melakukan tindakan apapun.

 

INGATLAH !!!

 

Jika semua yang kita

"kehendaki"

terus kita

"miliki",

dari mana kita belajar "Ikhlas"...?

 

Jika semua yang kita

"impikan"

segera

"terwujud",

darimana kita belajar

"Sabar"...

 

Jika setiap

"do’a"

kita terus

"dikabulkan",

bagaimana kita dapat belajar

"Ikhtiar"...

 

Seorang yang dekat dengan

"Allah",

bukan bererti tidak ada

"air mata"...

 

Seorang yang tekun

"berdo’a",

bukan bererti tidak ada

"masa² sulit"...

 

Biarlah

"Sang Penyelenggara Hidup"

yang berdaulat sepenuhnya atas kita,

kerana hanya

"Dia-lah/ ALLAH SWT"

yang tahu waktu dan kondisi yang tepat untuk memberikan yang

"Terbaik"..

 

Tetap

"SEMANGAT"…

Tetap

"SABAR"…

Tetap

"IKHLAS"…

Tetap

"SYUKUR"...

Tetap

"BERDOA"...

Kerana kamu sedang kuliah di UNIVERSITI KEHIDUPAN...

 

Orang yang

"Hebat"

tidak dihasilkan melalui

"Kemudahan",

"Kesenangan",

dan

"Kenyamanan"...

 

Mereka dibentuk melalui

"KESUKARAN",

"TENTANGAN",

"HINAAN"

dan bahkan

"AIR MATA"

 

Gantungkan hidup kita sepenuhnya hanya kepada

ALLAH AZZA WA JALLA

Serta Kebenaran & Memperbaiki  Diri Kita

Semoga jadi renungan kita bersama





  

Penawarhati90

2.55pm

21 September 2020

Cheras, KL

 

Khamis, 17 September 2020

Happy Birthday Malaysia ke-63


Kek sebagai Gimik Perasmian Penutup Bulan Patriotik oleh Kak Rosmaryza Razak. 
 

Alhamdulillah, tanggal 15 September 2020, berakhir sudah sambutan Penutupan Bulan Patriotik Peringkat Sekolah bersamaan sambutan Hari Pembentukan Malaysia yang ke-63. Memang tak disangka, sambutan bulan patriotik pada tahun ini sangat meriah, tidak pernah lagi berlaku di sekolah ini sambutan yang sangat menggalakkan, komitmen yang tidak berbelah bahagi sama ada dari warga guru mahupun anak-anak pelajar dalam setiap pertandingan yang dijalankan. Mungkin kelainan sedikit kerana hadiah yang lumayan dan guru-guru juga terlibat dalam beberapa pertandingan yang dipertandingkan. 

 

Seperti biasa, nama saya tidak pernah terlepas sebagai ajk dalam mana-mana program sekolah. Pada kali ini, terpilih pula sebagai Ketua AJK Gimik Perasmian Penutup Bulan Patriotik bagi tahun 2020. Nak katanya, bila tengok nama berada di atas, terus rasa down sebab, satu, nama saya memang jarang sekali jadi ahli utk satu-satu jawatan, boleh kata sentiasa jadi ketua, dua, sebab saya kenal diri saya yang sebenarnya tidak berseni dan idealistik sangat untuk lancarkan gimik yang gah. Satu malam tak dapat tidur memikirkan apa akan terjadi dengan saya sebagai ketua perlu fikirkan idea yang bombastik. Dan dalam fikiran saya yang sedang celaru ini tidak berhenti memikirkan : "kenapa aku?", "ish, kenapa aku lagi ni?", satu malam tak berenti tanya diri, kenapa? dan kenapa? (Pertanyaan standard setiap kali nama kena jadi ketua).


Pada hari esoknya, saya teringat satu perkongsian dari Mufti Menk :

“Life can be difficult if all you see is everything that’s wrong. Start focusing on what’s right, what’s good, what’s constructive. No matter what you’re facing, if you choose a positive mindset, you’ll emerge the winner. So if you want to feel better, you’ve got to think better!


Dalam menjalani kehidupan ini, saya kerap sekali dilorongkan kepada sesuatu yang saya sebenarnya tidak berapa suka. Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya, kenapa?. Contohnya dalam jawatan-jawatan yang seringkali ditugaskan kepada saya. Tetapi itulah yang nak kena positifkan balik. Suka atau tak suka, kita tetap kena jalankan tugas. Tetapi kalau sekiranya kita asyik melihat semua itu dari sisi negatif, kita memang tak akan dapat jalankan dengan baik, hasilnya juga negatif. Jadi, kita kena pujuk diri kita supaya kita boleh memandang semua itu dari sudut positif. Adalah sesuatu yang  Allah nak latih kita, dan Allah nak kita belajar sesuatu. Jadi, kena ambil masa tenangkan diri, cuba cari apa kekuatan yang kita ada contohnya team rakan-rakan ajk yang memang superb, dan jalankan tugas kita sebaik mungkin. Masa-masa kritikal dan stres tu akan berlalu. 


Hasilnya, alhamdulillah, syukur sangat, semuanya dengan pertolongan Allah, "haza min fadhli Rabbi", semua orang gembira dengan idea kami. Rasa nak terduduk menangis terharu, Allah lancarkan semuanya, dan majlis berjalan dengan sangat meriah. Alhamdulillah, terima kasih Allah. 😊


Sebak menatap gambar ini, sebab anak-anak didikku ini bakal meninggalkan kami selepas SPM 2020, dan mereka melakukan dengan sangat terbaik. 



Perarakan dari barisan Frontliners


Acara memotong kek HB Malaysia oleh YDP PIBG, Puan Pengetua dan PK1



AJK Gimik yang cukup memberi komitmen dan sokongan dalam menjayakan majlis


Bersama barisan Frontliners masa hadapan. Insha Allah.


bersama pemenang pakaian tema patriotik terbaik


Selamat Hari Malaysia ke-63 dari warga SMK Seri Tasik


Tidak dilupakan kawan-kawan ZPT yang sentiasa ceria dan gembira, dan selalu memberi sokongan dalam apa jua keadaan. 


Ini Zon Barat pula. Banyak betul zon Utara, Selatan, Timur, Barat. Itulah cikgu. 



Apapun, alhamdulillah, terima kasih Allah, yang mengizinkan persembahan kami berjalan dengan lancar dan semua orang berpuas hati dengan gimik ini. Akhirnya, bolehlah saya melelapkan mata dengan tenang. 😊


Penawarhati90
17 September 2020
Cheras, KL




Ahad, 13 September 2020

Ulangtahun Ke-6 FaSya

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, 

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana memberi kesempatan ruang dan kesempatan untuk saya mencoret sedikit kenangan kisah kehidupan setelah sekian lama rasanya tidak diizinkan diri ini  menulis dengan pelbagai alasan. Tetapi, apabila usia hampir mencecah 30-an, saya kembali berfikir, saya memerlukan platform untuk mencoret peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ini sama ada untuk peringatan diri saya sendiri sehingga suatu saat peristiwa itu mungkin akan hilang dari ingatan ini apabila usia telah semakin bertambah, ataupun sebagai satu kenangan yang mungkin akan dibaca semula oleh anak dan cucu apabila saya tiada lagi. Semoga coretan ini akan menjadi kenang-kenangan dan rindu-rinduan buat para pembaca. Jadi, bermula saat ini, saya ingin terus menulis selagi termampu. Insha Allah. 😊


Saya merupakan seorang yang sangat teliti dalam mengingati tarikh-tarikh penting yang berlaku setiap tahun. Manakan tidak, setiap satu peristiwa itu ada makna dan nilainya yang harus diingati dan dihargai serta diambil iktibar. Tanggal 13 September 2020 merupakan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-6. Rupanya dah 6 tahun berlalu dan rasanya masih baru. Tiada lafaz yang lebih mulia dari rasa syukur, alhamdulillah, kerana sehingga saat ini, kami masih diizinkan untuk bersama. 


Masa berlalu sangat pantas, tanpa disedari kami telah melepasi fasa 5 tahun pertama perkahwinan dan kini memasuki usia yang ke 6. Alhamdulillah tsumma alhamdulillah. Namun begitu, betul seperti diperkatakan oleh ramai orang, setiap hari adalah pelajaran. Walaupun 10 tahun kita berkahwin, belum tentu kita benar-benar mengenali pasangan kita sendiri. Setiap hari adalah proses untuk belajar. Banyak perkara perlu belajar. Belajar untuk mengenali diri kita sendiri, belajar untuk mengenali pasangan kita yang totally bukan kita, belajar untuk memberi dan menerima, belajar untuk mengimbangi, belajar untuk sabar, belajar untuk saling menasihati, belajar untuk bertindak lebih baik, belajar untuk berkomunikasi dengan lebih hikmah. Saya rasa, untuk diri saya sendiri, perkahwinan ini banyak mematangkan diri tentang kehidupan itu sendiri. Merawat sifat kebudak-budakan saya dan rasanya diri saya sangat berbeza dari awal-awal perkahwinan dahulu.


Kalau diikutkan dulu, saya seorang yang agak skema kata orang, mungkin disebabkan saya dibesarkan dalam kehidupan begitu, dan saya kurang boleh menerima perbezaan. Rasanya semua orang sama kut. Hehe. Saya juga telah terbiasa dengan peribadi seorang guru yang hidupnya berperaturan, atau mudahnya ikut step. Tetapi, dijodohkan pula dengan seorang programmer yang budaya kerjanya dengan robot/komputer, cara fikirnya, tindakannya, masyaAllah. Di situ ada pertembungan yang sangat hebat antara kehidupan manusia dan robot. Tahun-tahun pertama perkahwinan pada saya, sangatlah menguji kesabaran, kerana itu adalah proses mengenali pasangan dan mengetahui perbezaan. Tetapi tahun demi tahun berlalu, alhamdulillah, dengan kehadiran Ahmad Faqih, subhanallah, pelengkap kehidupan. Pada waktu itu, saya mula cuba untuk merendahkan keegoan diri dan cuba memahami suami. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kami mula mencapai keseimbangan. Tetapi, nak katanya, setiap hari adalah proses belajar. Belajar untuk menjadi pasangan terbaik tanpa membandingkan pasangan kita dengan sesiapapun. Belajar untuk menerima seadanya. Banyak lagi fasa yang perlu dilalui selepas ini.   


Ujian adalah lumrah kehidupan. Ketika kita bujang, kita juga diuji. Ketika kita berkahwin, kita juga akan diuji. Setiap orang ada ujian yang berbeza. Tiada perkahwinan yang tidak diuji. Tetapi semuanya berbalik kepada kesedaran diri kita sendiri, sama ada, kita hendak melayan perasaan / kehendak kita, ataupun kita hendak selamatkan perkahwinan kita. Ada masanya kita perlu luahkan apa yang terpendam untuk kebaikan bersama, ada masanya kita perlu telan mengelakkan mudharat, dan biarkan masa mengubati, barulah ada keseimbangan. Tetapi perlu kita sedar, bukan kita yang memberi bahagia atau derita, semuanya dari Allah. Hubungan Dengan Allah itu penentu segala. Dalam kehidupan berumahtangga ini, hubungan dengan Allah adalah yang paling utama. Allah pemberi kebahagiaan. Sentiasa bergantung kepada Allah dalam apa sahaja.  


Saya tertarik dengan perkongsian seseorang di FB yang saya rasa ingin simpan di sini nasihatnya sebagai iktibar untuk diri sendiri supaya saya selalu bersyukur dengan pasangan :


"Aku salah sorang yang tak update pasal Mira Filzah kahwin. Kita yang dah kahwin ni takda teruja sangat bila artis dah kahwin.


Biasa yang up pasal suami dia dok tenung muka Mira Filzah tu ramai yang belum kahwin. Korang tahu tak makna romantik sebenar walaupun suami korang jarang-jarang tenung korang.


Suami romantik bila..


1. Dia bagi duit belanja tiap-tiap bulan. Belanja personel okey bukan termasuk belanja rumah. Belanja rumah tu dah memang tanggungjawab suami. Ini sah memang paling romantik.


2. Dia rajin tolong basuh baju, sidai baju, angkat baju, basuh pinggan, cuci bontot anak berak, tolong mandikan anak, tolong jaga anak masa kau tengah sibuk buat kerja.


3. Dia sabar melayan segala karenah birokrasi dan isu politik dalam keluarga yang penuh suka duka.


4. Dia jadi pak turut je bila kita nak ke sana sini, melayan kehendak nak shopping baju, shopping handbag, shopping kasut, masuk kedai emas sebab dia faham nafsu orang perempuan ni macam mana. Kadang kalau online shopping minta OTP/TAC akaun bank suami.


5. Dia kadang tak beli apa pun untuk diri sendiri. Beli pun setahun sekali sehelai dua baju dan seluar. Pakai barang buruk, benda lama kadang masih pakai yang koyak-koyak lagi sebab seronok berkorban duit belikan isteri dan anak-anak barang berjenama.


6. Dia tak pernah soal bila kau membeli kat Shopee sampai bertimbun parcel setiap bulan. Tak tanya pun barang-barang lain masih guna ke tak tapi asyik membeli je.


7. Dia sanggup berkorban masa rehat drive jauh-jauh dua hingga tiga jam ke rumah untuk berjumpa dengan kau dan anak-anak tiap minggu.


8. Ada suami yang buat 2-3 kerja sebab nak senangkan hidup isteri dan anak-anak sebab sedar gaji pun tak banyak so kena buat kerja lain.


9. Dia bagi kau pakai kereta yang dia bayar bulan-bulan sedangkan dia tak guna pun kereta yang dia bayar supaya senang nak pergi ke mana-mana. Ada yang pakai motor je pegi keje berhujan berpanas.


10. Dia tak kisah dulu kau size XS sekarang dah XXL pun dia tak kisah dan terima je sebab semua itu normal dan jarang nak tegur atau komen sebab takut kau kecik hati.


11. Dia tak pernah kata tak sedap bila kau masak walaupun kau rasa masakan kau tak sedap pon dia cakap sedap sebab menghargai usaha isteri memasak.


12. Dia selalu ajak jalan-jalan pada hujung minggu sambil belanja makan luar sebab tak nak kita letih memasak. Selalu suruh isteri yang pilih tempat makan walaupun hakikatnya dia nak makan biasa-biasa je. Biasa isteri nak makan tempat-tempat best western food bagai.


13. Dia lagi suka menghabiskan masa dengan isteri dan anak-anak berbanding lepak dengan member dia.


Itulah definisi romantik buat ramai wanita yang telah berkahwin. Lagi satu yang ditenung tu Mira Filzah. Mira Filzah dik.


Masa aku kahwin dulu laki aku tak tenung aku macam Emir tenung Mira pon. Sebab aku Mitta Arfita. Kahkah. Tapi yang aku tahu laki aku praktis lafaz akad nikah dan khatam semua buku-buku pendidikan Islam lagi-lagi bab munakahat sebelum nikah. Sekali tok kadi tak tanya soalan apa pon terus akad nikah. Siap bawa buku yang kita dapat masa kursus kahwin tu pi Sabah. Nampaklah effort dia tu. Haha


Moga kita dapat jodoh yang baik-baik yang sanggup berkorban susah senang bersama. Saling memahami dan saling melengkapi.

Paling penting punya sifat redha terhadap pasangan masing-masing. Bila kita ada sifat redha inshaa Allah akan sentiasa bahagia. Saling menerima kelebihan dan kelemahan masing-masing."


Saya rasa, setiap senarai semak yang disebut tu, sudah cukup untuk saya syukuri. Apa lagi yang kita hendakkan dalam hidup ini. Banyak rumahtangga yang rosak kerana kita tidak mensyukuri pasangan kita dan kita sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya kita nak dalam hidup ini. Kita kena selalu semak diri kita sendiri, cukupkah apa yang kita telah beri untuk kita dapat apa yang kita mahukan. Sama ada suami atau isteri, sama-sama kena sentiasa muhasabah diri dan perbaiki diri untuk mencapai kebahagiaan bersama di dunia dan di akhirat. Insha Allah. 




Titipan ini adalah untuk peringatan diri sendiri supaya selalu bersyukur dan memperbaiki diri serta memberi yang terbaik untuk keluarga. Insha Allah. Amin. 



-13 September 2020-
Teh Tarik Place

Penawarhati90
14 September 2020
12.59am
Cheras, KL