Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt, kerana memberi kesempatan ruang dan kesempatan untuk saya mencoret sedikit kenangan kisah kehidupan setelah sekian lama rasanya tidak diizinkan diri ini menulis dengan pelbagai alasan. Tetapi, apabila usia hampir mencecah 30-an, saya kembali berfikir, saya memerlukan platform untuk mencoret peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ini sama ada untuk peringatan diri saya sendiri sehingga suatu saat peristiwa itu mungkin akan hilang dari ingatan ini apabila usia telah semakin bertambah, ataupun sebagai satu kenangan yang mungkin akan dibaca semula oleh anak dan cucu apabila saya tiada lagi. Semoga coretan ini akan menjadi kenang-kenangan dan rindu-rinduan buat para pembaca. Jadi, bermula saat ini, saya ingin terus menulis selagi termampu. Insha Allah. 😊
Saya merupakan seorang yang sangat teliti dalam mengingati tarikh-tarikh penting yang berlaku setiap tahun. Manakan tidak, setiap satu peristiwa itu ada makna dan nilainya yang harus diingati dan dihargai serta diambil iktibar. Tanggal 13 September 2020 merupakan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-6. Rupanya dah 6 tahun berlalu dan rasanya masih baru. Tiada lafaz yang lebih mulia dari rasa syukur, alhamdulillah, kerana sehingga saat ini, kami masih diizinkan untuk bersama.
Masa berlalu sangat pantas, tanpa disedari kami telah melepasi fasa 5 tahun pertama perkahwinan dan kini memasuki usia yang ke 6. Alhamdulillah tsumma alhamdulillah. Namun begitu, betul seperti diperkatakan oleh ramai orang, setiap hari adalah pelajaran. Walaupun 10 tahun kita berkahwin, belum tentu kita benar-benar mengenali pasangan kita sendiri. Setiap hari adalah proses untuk belajar. Banyak perkara perlu belajar. Belajar untuk mengenali diri kita sendiri, belajar untuk mengenali pasangan kita yang totally bukan kita, belajar untuk memberi dan menerima, belajar untuk mengimbangi, belajar untuk sabar, belajar untuk saling menasihati, belajar untuk bertindak lebih baik, belajar untuk berkomunikasi dengan lebih hikmah. Saya rasa, untuk diri saya sendiri, perkahwinan ini banyak mematangkan diri tentang kehidupan itu sendiri. Merawat sifat kebudak-budakan saya dan rasanya diri saya sangat berbeza dari awal-awal perkahwinan dahulu.
Kalau diikutkan dulu, saya seorang yang agak skema kata orang, mungkin disebabkan saya dibesarkan dalam kehidupan begitu, dan saya kurang boleh menerima perbezaan. Rasanya semua orang sama kut. Hehe. Saya juga telah terbiasa dengan peribadi seorang guru yang hidupnya berperaturan, atau mudahnya ikut step. Tetapi, dijodohkan pula dengan seorang programmer yang budaya kerjanya dengan robot/komputer, cara fikirnya, tindakannya, masyaAllah. Di situ ada pertembungan yang sangat hebat antara kehidupan manusia dan robot. Tahun-tahun pertama perkahwinan pada saya, sangatlah menguji kesabaran, kerana itu adalah proses mengenali pasangan dan mengetahui perbezaan. Tetapi tahun demi tahun berlalu, alhamdulillah, dengan kehadiran Ahmad Faqih, subhanallah, pelengkap kehidupan. Pada waktu itu, saya mula cuba untuk merendahkan keegoan diri dan cuba memahami suami. Alhamdulillah, sehingga hari ini, kami mula mencapai keseimbangan. Tetapi, nak katanya, setiap hari adalah proses belajar. Belajar untuk menjadi pasangan terbaik tanpa membandingkan pasangan kita dengan sesiapapun. Belajar untuk menerima seadanya. Banyak lagi fasa yang perlu dilalui selepas ini.
Ujian adalah lumrah kehidupan. Ketika kita bujang, kita juga diuji. Ketika kita berkahwin, kita juga akan diuji. Setiap orang ada ujian yang berbeza. Tiada perkahwinan yang tidak diuji. Tetapi semuanya berbalik kepada kesedaran diri kita sendiri, sama ada, kita hendak melayan perasaan / kehendak kita, ataupun kita hendak selamatkan perkahwinan kita. Ada masanya kita perlu luahkan apa yang terpendam untuk kebaikan bersama, ada masanya kita perlu telan mengelakkan mudharat, dan biarkan masa mengubati, barulah ada keseimbangan. Tetapi perlu kita sedar, bukan kita yang memberi bahagia atau derita, semuanya dari Allah. Hubungan Dengan Allah itu penentu segala. Dalam kehidupan berumahtangga ini, hubungan dengan Allah adalah yang paling utama. Allah pemberi kebahagiaan. Sentiasa bergantung kepada Allah dalam apa sahaja.
Saya tertarik dengan perkongsian seseorang di FB yang saya rasa ingin simpan di sini nasihatnya sebagai iktibar untuk diri sendiri supaya saya selalu bersyukur dengan pasangan :
"Aku salah sorang yang tak update pasal Mira Filzah kahwin. Kita yang dah kahwin ni takda teruja sangat bila artis dah kahwin.
Biasa yang up pasal suami
dia dok tenung muka Mira Filzah tu ramai yang belum kahwin. Korang tahu tak
makna romantik sebenar walaupun suami korang jarang-jarang tenung korang.
Suami romantik bila..
1. Dia bagi duit belanja
tiap-tiap bulan. Belanja personel okey bukan termasuk belanja rumah. Belanja
rumah tu dah memang tanggungjawab suami. Ini sah memang paling romantik.
2. Dia rajin tolong basuh
baju, sidai baju, angkat baju, basuh pinggan, cuci bontot anak berak, tolong
mandikan anak, tolong jaga anak masa kau tengah sibuk buat kerja.
3. Dia sabar melayan
segala karenah birokrasi dan isu politik dalam keluarga yang penuh suka duka.
4. Dia jadi pak turut je
bila kita nak ke sana sini, melayan kehendak nak shopping baju, shopping
handbag, shopping kasut, masuk kedai emas sebab dia faham nafsu orang perempuan
ni macam mana. Kadang kalau online shopping minta OTP/TAC akaun bank suami.
5. Dia kadang tak beli
apa pun untuk diri sendiri. Beli pun setahun sekali sehelai dua baju dan
seluar. Pakai barang buruk, benda lama kadang masih pakai yang koyak-koyak lagi
sebab seronok berkorban duit belikan isteri dan anak-anak barang berjenama.
6. Dia tak pernah soal
bila kau membeli kat Shopee sampai bertimbun parcel setiap bulan. Tak tanya pun
barang-barang lain masih guna ke tak tapi asyik membeli je.
7. Dia sanggup berkorban
masa rehat drive jauh-jauh dua hingga tiga jam ke rumah untuk berjumpa dengan
kau dan anak-anak tiap minggu.
8. Ada suami yang buat
2-3 kerja sebab nak senangkan hidup isteri dan anak-anak sebab sedar gaji pun
tak banyak so kena buat kerja lain.
9. Dia bagi kau pakai
kereta yang dia bayar bulan-bulan sedangkan dia tak guna pun kereta yang dia
bayar supaya senang nak pergi ke mana-mana. Ada yang pakai motor je pegi keje
berhujan berpanas.
10. Dia tak kisah dulu
kau size XS sekarang dah XXL pun dia tak kisah dan terima je sebab semua itu
normal dan jarang nak tegur atau komen sebab takut kau kecik hati.
11. Dia tak pernah kata
tak sedap bila kau masak walaupun kau rasa masakan kau tak sedap pon dia cakap
sedap sebab menghargai usaha isteri memasak.
12. Dia selalu ajak
jalan-jalan pada hujung minggu sambil belanja makan luar sebab tak nak kita
letih memasak. Selalu suruh isteri yang pilih tempat makan walaupun hakikatnya
dia nak makan biasa-biasa je. Biasa isteri nak makan tempat-tempat best western
food bagai.
13. Dia lagi suka
menghabiskan masa dengan isteri dan anak-anak berbanding lepak dengan member
dia.
Itulah definisi romantik
buat ramai wanita yang telah berkahwin. Lagi satu yang ditenung tu Mira Filzah.
Mira Filzah dik.
Masa aku kahwin dulu laki
aku tak tenung aku macam Emir tenung Mira pon. Sebab aku Mitta Arfita. Kahkah.
Tapi yang aku tahu laki aku praktis lafaz akad nikah dan khatam semua buku-buku
pendidikan Islam lagi-lagi bab munakahat sebelum nikah. Sekali tok kadi tak
tanya soalan apa pon terus akad nikah. Siap bawa buku yang kita dapat masa
kursus kahwin tu pi Sabah. Nampaklah effort dia tu. Haha
Moga kita dapat jodoh
yang baik-baik yang sanggup berkorban susah senang bersama. Saling memahami dan
saling melengkapi.
Paling penting punya
sifat redha terhadap pasangan masing-masing. Bila kita ada sifat redha inshaa
Allah akan sentiasa bahagia. Saling menerima kelebihan dan kelemahan
masing-masing."
Saya rasa, setiap senarai semak yang disebut tu, sudah cukup untuk saya syukuri. Apa lagi yang kita hendakkan dalam hidup ini. Banyak rumahtangga yang rosak kerana kita tidak mensyukuri pasangan kita dan kita sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya kita nak dalam hidup ini. Kita kena selalu semak diri kita sendiri, cukupkah apa yang kita telah beri untuk kita dapat apa yang kita mahukan. Sama ada suami atau isteri, sama-sama kena sentiasa muhasabah diri dan perbaiki diri untuk mencapai kebahagiaan bersama di dunia dan di akhirat. Insha Allah.
Titipan ini adalah untuk peringatan diri sendiri supaya selalu bersyukur dan memperbaiki diri serta memberi yang terbaik untuk keluarga. Insha Allah. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan