Bismillahirrahmanirrahim...
Tanggal 26 September 2020, berakhir sudah tugasan sebagai pengacara Majlis Anugerah Cemerlang anak-anak SMK Seri Tasik, bagi tahun 2020. Ini kali pertama, saya ditugaskan sebagai pengacara majlis untuk majlis besar sekolah. Kali pertama menjadi pengacara majlis ialah pada tahun lepas, hanya untuk program dalaman iaitu program di bawah Pusat Sumber saya sendiri. Jadi, bila didapati nama saya tersenarai untuk majlis besar sekolah pada kali ini, macam-macam konflik dalaman yang berlaku dalam diri ini. Pertanyaan biasa adalah : "ish, kenapa aku pulak ni?", "diorang silap letak nama ke? takkan cikgu matematik boleh jadi mc kot? cikgu bahasa takde ke yang boleh jadi (sebab biasanya tugas-tugas melatih budak bercakap ni guru bahasa)?". Macam-macam persoalanlah yang timbul, sambil rasa down sangat. Waktu saya tahu tu, baru je balik kerja, nak lelapkan mata kejap sebelum pergi ambil anak. Terus tak boleh lelap dan mesej penyelaras tanya, kenapa saya?. Jawabnya : "Insha Allah, yang terbaik". "Yelah tu kan". 😁
Dan hari itu pun tiba.... 26 September 2020.
Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah. Dapatlah kami mengacarakan majlis dengan lancar dan tamat sebelum waktunya. Syukur, alhamdulillah.
"Haza min fadhli Rabbi"
Boleh kata, saya ni selalu ditakdirkan untuk menerima tanggungjawab-tanggungjawab baharu dan penting-penting sedangkan kalau ikutkan pangkat DG41, saya ni boleh dikira sebagai guru baharu dan perlu dibimbing untuk 8 tahun pertama. Masih ingat lagi, sewaktu saya baru sahaja mendapat berita pertukaran, dan saya menghubungi pengetua sekolah baharu (sekolah saya kini) pada waktu itu, katanya, sekolah kami ada lebihan guru, dan saya sama ada ditempatkan sebagai Guru Pendidikan Khas ataupun akan dipostingkan ke sekolah lain. Waktu itu, berdebar juga saya sebab tak pernah lagi mengajar pendidikan khas dan memang pengetahuan saya zero. Tetapi, setelah seminggu saya dipostingkan, saya diminta untuk dikekalkan ke aliran perdana sebagai guru BM dan Sejarah. Alhamdulillah la, semua arahan itu tak menjadi. Maka, kekallah saya di aliran perdana dan di sekolah yang sama pada hari ini, cuma subjek dan posisi sahaja yang berubah, apabila saya dikekalkan sebagai guru mata pelajaran Matematik (memang ada sedikit background dan saya suka), dan fokus tugas saya banyak di bahagian pengurusan iaitu Pengurusan Pusat Sumber Sekolah (tugas yang sangat mencabar dan tidak disukai oleh mereka yang seangkatan dengan saya). Alhamdulillah, Allah Maha Baik, tetapi saya sangat sukakan tugasan dan posisi saya sekarang kerana pengurusan Pusat Sumber adalah sesuatu yang saya memang minat dan ada sedikit bakat yang Allah bagi, saya juga berminat pada kerja-kerja kesetiausahaan. Tetapi, semestinya saya masih belajar untuk mahir tentang semua itu, kerana saya masih guru yang perlu dibimbing, DG41. Tetapi apabila kita belajar perkara yang kita minat dan ada bakat, sudah tentu kita happy dan bersedia untuk belajar.
Berbalik kepada cerita Emcee tadi, maka, bersyukur sangat, dengan bergandingan dengan junior seangkatan, kami dapat kendalikan majlis dengan baik. Alhamdulillah. Maka ada sesuatu pengajaran yang mungkin boleh saya kongsikan untuk renungan diri saya sendiri:
1) Dari kecil, saya banyak berdikari. Antara semua anak, saya antara anak yang paling banyak bersama ibu ayah saya, merasai kesusahan kehidupan mereka. Saya anak peniaga nasi lemak. Banyak perkara yang mencabar yang saya lalui, antaranya, naik motor pukul 4 pagi, pergi hantar kuih dengan mak dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya sendiri merasai dan mengalami cabaran kesusahan bersama ibu ayah. Sampailah remaja. Saya sudah terbiasa dengan perkara-perkara yang mencabar, sama ada fizikal ataupun mental. Mungkin disebabkan oleh cabaran-cabaran itu, menjadikan jiwa kental. Sakit sikit-sikit, jarang sekali saya melayan sakit itu. Asbab kepada kehidupan yang penuh cabaran dan ujian, apabila saya berhadapan dengan perkara-perkara mengecewakan dan perkara-perkara yang menguji saya, saya memang akan kecewa, kecewa sangat, lost n down, tetapi selepas itu, saya akan cuba bangun dari kesedihan. Saya akan cuba handle perasaan itu, supaya saya boleh hadapi dengan baik. Contohnya, apabila saya mendapat tugasan yang diluar jangkaan seperti MC ini. Tambahan pula, barulah saya sedar, semua ujian yang saya lalui rupanya sangat bernilai untuk saya menyelami kehidupan pelajar-pelajar pada hari ini yang juga mengalami episod-episod yang sangat menyedihkan dalam kehidupan mereka.
Masa itu sangat bernilai. Hidup kita sangat tidak lama di dunia ini, jangan persiakan. Manfaatkan dengan baik dan buat yang terbaik yang kita boleh. Beri yang terbaik jika kita diperlukan. Jangan buat sambil lewa.
2) Sebagai guru, kita adalah contoh. Kalau kita bukan guru, kita mungkin sebagai ibu. Kalau kita bukan ibu, kita mungkin seorang manusia. Jadi, kita kena jaga sifat keperibadian kita.
"The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The
superior teacher demonstrates. The great teacher inspires".-William Arthur Ward
Sebagai guru, kita bukan sahaja jadi motivasi, tetapi inspirasi kepada para pelajar. Kita perlu lebih mahir, lebih kental, lebih tabah daripada mereka. Bukan untuk kita banggakan, tetapi untuk kita beri contoh kepada mereka. Jika mereka perlukan khidmat kita, berilah semampu mungkin. Beri nasihat dan tunjuk ajar serta bantuan dalam batas seorang guru dengan seorang pelajar. Berilah sebanyak mana kita boleh membantu dengan penuh hikmah dan ikhlas. Kita perlu kuat dan kita perlu kental. Semua kerja adalah cabaran. Tidak kira apa cabaran pendidikan hari ini, kita kena tahu tugas hakiki kita. Di mana limitasi kita. Bawa peribadi yang baik di hadapan murid, ibu bapa, sesama rakan sekerja dan pentadbir. Bersikap profesional. Kita kena tahu apa yang kita boleh luahkan, apa yang kita perlu simpan. Cuba terima apa sahaja tanggungjawab, walaupun baru bagi kita, cuba belajar untuk handle dengan tenang, sabar, gembira, banyak pujuk diri. Kalau kita bawa diri kita yang positif, hasilnya pun akan jadi positif. Tetapi, kalau kita bawa diri kita yang negatif, tugasan tetap kena jalankan, tetapi, hasilnya akan negatif. Itu hakikat yang kita kena sedar. Apapun, yang bestnya tentang kerja guru ni, semua dalam team. Mesti manfaatkan teamwork. Insha Allah seronok.
Sebagai ibu, kita adalah contoh kepada anak-anak. Jangan biarkan mereka melihat kelemahan kita. Cuba jadi sempurna di mata mereka. Biarkan kita selalu jadi superhero dan superheroin pada mereka. Macam mana caranya? Kena jaga emosi kita, marah dan sayang, letak pada tempat dan masanya. Jangan berhenti berkongsi dan memberi nasihat, berkawan dan ambil berat semua tentang mereka. Moga Allah tutup keaiban kita, dan anak-anak akan terus respect dan sayang kita kerana Allah, jadi tempat rujuk mereka untuk mereka memahami asam garam kehidupan dunia. Dalam hidup kita, kita mungkin pernah buat silap semasa masa lalu kita. Yang penting, muhasabah di mana kesilapan kita dahulu, apa punca kesilapan kita. Banyak bermunajat memohon ampun kepada Allah, dan jangan biarkan anak-anak kita mengulangi kesilapan kita, bantu mereka mencari arah kehidupan yang betul, diredhai Allah, dan membawa ke syurga yang hakiki. Begitu juga kita bantu diri kita sendiri. Selalu ambil pengajaran, supaya kita belajar dari kesilapan. Nasihat Tuan HSK sangat saya sukai.
"Orang yang pandai, belajar dari kesilapan diri sendiri, tetapi orang yang bijak, belajar dari kesilapan orang lain"-Tuan Haji Samsuddin Kadir.
3) Sayangi diri kita. Jika kita tidak menyayangi diri kita sendiri, tak ada orang yang akan sayangkan kita. Jadi, jagalah diri kita sebaiknya. Buatlah yang terbaik dalam hidup kita. Nikmati kehidupan ini dalam tanggungjawab-tanggungawab yang tergalas di bahu kita. Bila kita mendapat cabaran atau masalah, cuba belajar bagaimana nak selesaikan masalah. Cuba kita tenangkan diri dan cuba positif dengan cabaran itu, selesaikan satu persatu, rungkaikan satu persatu dengan sebaiknya. Dan kita akan dapati, insha Allah, ujian itu akan jadi rahmat pula untuk kita. Tetapi, bila kita kata kita sayangkan diri kita, kita kena banyak berhati-hati supaya kita dapat aware dengan segala rintangan-rintangan yang ada di depan, dan kita tidak tersilap langkah. Hati-hati dengan diri kita sendiri supaya kita tidak masuk dalam perangkap diri kita sendiri. Besederhana dalam apa juga perkara. Insha Allah, Allah akan jaga kita.
Antara doa yang terkesan di hati ini yang diungkapkan oleh Tuan Haji Samsuddin Kadir untuk dikongsikan,
"Ya Allah, jadikanlah diri aku kecil di mataku sendiri, tetapi besar di mata orang lain."
Sesungguhnya, kita hanyalah manusia biasa, tiada apa yang kita perlu banggakan dengan diri kita, tetapi perlu hargai diri kita sebaiknya. Namun, biarlah diri kita selalu menjadi motivasi dan contoh kepada orang lain, maka kita perlu berakhlak dengan akhlak yang terpuji. Insha Allah, semampunya. Amin.
Sekian untuk perkongsian kali ini.
Sekitar Majlis Anugerah Cemerlang SMKST 2020....
Perarakan tetamu kehormat masuk ke dewan....
Sekitar majlis berjalan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan