Selasa, 15 Disember 2015

Travelog Brunei - Sabah 2015

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, dengan limpahan rahmat dan keizinan dari Allah swt, penulis digerakkan hati dan diberi peluang untuk menghidupkan semula ruangan sesawang ini untuk mencoretkan kisah pengalaman kehidupan penulis sendiri sebagai satu perkongsian yang bermanfaat harapnya dan sebagai rujukan penulis sendiri untuk menilai semula diri ini agar selalu menghargai kehidupan yang dianugerahkan Yang Maha Menghidupkan serta mengambil pengajaran dari peristiwa yang berlaku dalam setiap hari dalam hidupku. Semoga kita selalu menjadi hamba yang bersyukur.

Marilah kita selalu menjadi hamba Allah yang bersyukur...

Bermula cuti sekolah yang panjang bagi tahun 2015, penulis bersama suami tercinta yang baru sahaja pulang dari menamatkan pengajian sarjananya telah merancang untuk mencari tempat untuk bercuti dan menerokai alam ciptaan Allah serta dalam proses untuk menyuburkan semula cinta dan kasih sayang yang telah lama terpisah antara dua benua. Maka, pilihan tempat percutian kami kali ini ialah Brunei Darussalam serta Negeri di bawah bayu iaitu Sabah.


Kami memilih untuk membawa kereta sendiri bagi memudahkan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat dan menjimatkan kos perbelanjaan. Walaupun apabila dilakukan survey terhadap rakan-rakan guru yang pernah mengunjungi tempat tersebut, rata-rata menyatakan lebih baik untuk menggunakan penerbangan daripada letih memandu kereta, tetapi kami memilih untuk memandu kereta memandangkan kami tidak berkejar masa, dan lebih kepada ingin menghayati perjalanan ini, dalam masa yang sama kami juga dapat berhenti di beberapa destinasi lain yang tidak pernah kami jejaki sepanjang perjalanan. Perjalanan ini mengambil masa selama 8 hari 7 malam bermula dari 30 November hingga 7 Disember 2015.

Keretaku yang sangat soleh dan banyak berbakti sepanjang perjalanan.... Alhamdulillah...

Sebelum perjalanan bermula, kami terlebih dahulu merancang perjalanan seperti tempoh perjalanan, tempat-tempat menarik yang ingin dilawati, anggaran kos perbelanjaaan, dan kenalan-kenalan yang boleh kami ziarahi untuk mengeratkan sillaturrahim. Kelihatan seperti mudah, tetapi tidak begitu mudah sebenarnya kerana kami mengggunakan masa seharian untuk melakukan penelitian agar perjalanan ini menjadi satu perjalanan yang bermanfaat, tidak membazir, dan yang paling utama ialah sampai kepada tujuannya iaitu Jaulah Tarbiyah.  Kami sangat mengharapkan kami tidak lalai dari mengingati Allah dalam perjalanan ini, kerana sesuatu perkara yang dilakukan tanpa mengharapkan keredhaan Allah, tanpa disertai oleh keberkatan, maka ia hanyalah seperti debu-debu yang beterbangan. Berjalan sambil berzikir dan berfikir akan kebesaran Illahi merupakan satu seruan Allah ke atas para hamba. Menerusi firmanNya dalam surah Al-Mulk (67:15) :


“Dialah yang memjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”


Subhanallah, indahnya Islam, mudahnya Islam. Allah swt mengetahui keperluan hamba-hambaNya. Dalam kesibukan kita bekerja mencari rezeki sebenarnya kita juga perlukan masa untuk menghargai diri kita sendiri, berhenti seketika untuk merehatkan minda, bermuhasabah diri sebelum meneruskan perjalanan yang lebih mencabar. Dalam masa yang sama, kita juga diseru untuk membina masa-masa yang indah bersama anggota keluarga, supaya dapat menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang antara ahli keluarga, serta bermuhasabah semula mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Subhanallah, semoga kami sekeluarga juga dikurniakan rahmat, berkat serta keredhaan dari Allah swt, diberikan kebahagiaan dalam bentuk sakinah, mawaddah wa rohmah. Amin Ya Robbal Alamin.



Antara persediaan sebelum berjalan jauh ialah memastikan kenderaan dalam keadaan baik. Alhamdulillah, terlebih dahulu kami telah melakukan servis kereta 2 hari sebelum bertolak, menyediakan bekalan minyak hitam dan air di bonet kereta untuk segala kemungkinan, car charger, car holder. Bagi menjimatkan kos makanan, kami telah membawa bersama beberapa bekalan makanan seperti air mineral, roti, mee segera, kicap, gula, 3 in 1 coffee dan milo. Sandwitch baker, Egg Maker, Bekas-bekas untuk makan dan minum. Oleh kerana perjalanan ini merentasi negara jiran, passport jangan dilupakan. Sabah dan Sarawak juga mengamalkan penggunaan passport untuk memasukinya walaupun negeri-negeri tersebut terletak di dalam Malaysia. Jika tidak, anda akan berpatah balik sahaja.

Passport yang digunakan semaksima mungkin... Terdapat 20 cop sepanjang perjalanan.

Sekian dahulu coretan pembuka dari penulis. In sha Allah, penulis akan menyambung lagi nukilan tavelog ini pada coretan akan datang. Doakan penulis agar terus dikurniakan kelapangan jiwa dan ruang masa untuk meneruskan coretan perkongsian ini. Sekian segala yang baik itu daripada Allah swt, serta yang tidak baik itu adalah daripada diri penulis sendiri, hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah swt.  


Penawarhati90
7.45 am
4 Rabiulawal 1437H bersamaan 16 Disember 2015 
Langkawi, Kedah