Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah,
dengan limpahan rahmat dan keizinan dari Allah swt, penulis digerakkan hati dan
diberi peluang untuk menghidupkan semula ruangan sesawang ini untuk mencoretkan
kisah pengalaman kehidupan penulis sendiri sebagai satu perkongsian yang
bermanfaat harapnya dan sebagai rujukan penulis sendiri untuk menilai semula
diri ini agar selalu menghargai kehidupan yang dianugerahkan Yang Maha
Menghidupkan serta mengambil pengajaran dari peristiwa yang berlaku dalam
setiap hari dalam hidupku. Semoga kita selalu menjadi hamba yang bersyukur.
Bermula cuti
sekolah yang panjang bagi tahun 2015, penulis bersama suami tercinta yang baru
sahaja pulang dari menamatkan pengajian sarjananya telah merancang untuk
mencari tempat untuk bercuti dan menerokai alam ciptaan Allah serta dalam
proses untuk menyuburkan semula cinta dan kasih sayang yang telah lama terpisah
antara dua benua. Maka, pilihan tempat percutian kami kali ini ialah Brunei
Darussalam serta Negeri di bawah bayu iaitu Sabah.
Kami memilih
untuk membawa kereta sendiri bagi memudahkan perjalanan dari satu tempat ke
satu tempat dan menjimatkan kos perbelanjaan. Walaupun apabila dilakukan survey terhadap rakan-rakan guru yang
pernah mengunjungi tempat tersebut, rata-rata menyatakan lebih baik untuk
menggunakan penerbangan daripada letih memandu kereta, tetapi kami memilih
untuk memandu kereta memandangkan kami tidak berkejar masa, dan lebih kepada
ingin menghayati perjalanan ini, dalam masa yang sama kami juga dapat berhenti
di beberapa destinasi lain yang tidak pernah kami jejaki sepanjang perjalanan.
Perjalanan ini mengambil masa selama 8 hari 7 malam bermula dari 30 November hingga
7 Disember 2015.
Sebelum
perjalanan bermula, kami terlebih dahulu merancang perjalanan seperti tempoh
perjalanan, tempat-tempat menarik yang ingin dilawati, anggaran kos perbelanjaaan,
dan kenalan-kenalan yang boleh kami ziarahi untuk mengeratkan sillaturrahim. Kelihatan
seperti mudah, tetapi tidak begitu mudah sebenarnya kerana kami mengggunakan
masa seharian untuk melakukan penelitian agar perjalanan ini menjadi satu
perjalanan yang bermanfaat, tidak membazir, dan yang paling utama ialah sampai
kepada tujuannya iaitu Jaulah Tarbiyah. Kami
sangat mengharapkan kami tidak lalai dari mengingati Allah dalam perjalanan
ini, kerana sesuatu perkara yang dilakukan tanpa mengharapkan keredhaan Allah,
tanpa disertai oleh keberkatan, maka ia hanyalah seperti debu-debu yang
beterbangan. Berjalan sambil berzikir dan berfikir akan kebesaran Illahi
merupakan satu seruan Allah ke atas para hamba. Menerusi firmanNya dalam surah
Al-Mulk (67:15) :
“Dialah yang memjadikan bumi untuk kamu yang
mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian
daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.”
Subhanallah,
indahnya Islam, mudahnya Islam. Allah swt mengetahui keperluan hamba-hambaNya.
Dalam kesibukan kita bekerja mencari rezeki sebenarnya kita juga perlukan masa
untuk menghargai diri kita sendiri, berhenti seketika untuk merehatkan minda,
bermuhasabah diri sebelum meneruskan perjalanan yang lebih mencabar. Dalam masa
yang sama, kita juga diseru untuk membina masa-masa yang indah bersama anggota
keluarga, supaya dapat menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang antara ahli
keluarga, serta bermuhasabah semula mengenai peranan dan tanggungjawab
masing-masing. Subhanallah, semoga kami sekeluarga juga dikurniakan rahmat,
berkat serta keredhaan dari Allah swt, diberikan kebahagiaan dalam bentuk
sakinah, mawaddah wa rohmah. Amin Ya Robbal Alamin.
Antara
persediaan sebelum berjalan jauh ialah memastikan kenderaan dalam keadaan baik.
Alhamdulillah, terlebih dahulu kami telah melakukan servis kereta 2 hari
sebelum bertolak, menyediakan bekalan minyak hitam dan air di bonet kereta
untuk segala kemungkinan, car charger, car holder. Bagi menjimatkan kos
makanan, kami telah membawa bersama beberapa bekalan makanan seperti air
mineral, roti, mee segera, kicap, gula, 3 in 1 coffee dan milo. Sandwitch baker, Egg Maker, Bekas-bekas untuk makan dan minum. Oleh kerana
perjalanan ini merentasi negara jiran, passport jangan dilupakan. Sabah dan
Sarawak juga mengamalkan penggunaan passport untuk memasukinya walaupun
negeri-negeri tersebut terletak di dalam Malaysia. Jika tidak, anda akan
berpatah balik sahaja.
Sekian dahulu coretan pembuka dari penulis. In sha Allah, penulis akan menyambung lagi nukilan tavelog ini pada coretan akan datang. Doakan penulis agar terus dikurniakan kelapangan jiwa dan ruang masa untuk meneruskan coretan perkongsian ini. Sekian segala yang baik itu daripada Allah swt, serta yang tidak baik itu adalah daripada diri penulis sendiri, hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah swt.
Penawarhati90
7.45 am
4 Rabiulawal 1437H bersamaan 16 Disember 2015
Langkawi, Kedah