Dengan nama Allah yang Maha Pengampun Lagi Maha Penerima
Taubat, Maha Pencipta Lagi Maha Pencinta. Rabb yang sentiasa dekat dengan jiwa
para hamba. Rabb yang memegang nyawa dan jiwa para hamba. Rabb yang telah
mengatur segala-gala takdir yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku
dalam kehidupan para hamba. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,
Subhanallah, Allahuakbar. Segala puji-pujian hamba panjatkan buat Rabb yang
menciptakan hamba. KepadaNyalah hamba yang penuh dengan kekerdilan, kelemahan,
kejahilan, kemiskinan, dan kehinaan ini kembali.
Daku menyentuh dada kiriku, dimana kurasai degupan jantungku
begitu kencang, lalu kutenangkan ia dengan sentiasa mengulangi sebuah doa:
“ Hasbunallah wani’mal wakeel, ni’mal
maula wa ni’mal nasir”
(Cukuplah Allah menjadi Penolong
kami, dan Allah sebaik-baik Pelindung)
Semoga rahmat, keampunan dan kasih sayang Allah swt sentiasa
mengiringi hidupku, kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa angkatku, adik beradikku,
sanak saudaraku, murobbi-murobbiku, muallim-muallimku, sahabat-sahabatku, bakal
pemilik cintaku setelah Allah & Rasul yang berada di dalam simpanan Allah
menjadi rahsia buatku, dan seluruh sanak saudaraku yang berada di seluruh
pelosok dunia. Moga-moga kita semua berada di dalam kebaikan, kesejahteraan,
dan sakinah imaniyah. In sya Allah.
Setelah beberapa lama, coretan ini terhenti, alhamdulillah,
dengan izin Allah, dengan sedikit kelapangan waktu yang diberikan olehNya,
hamba ini ingin meneruskan langkahnya berjuang di medan penulisan hanya sekadar
berkongsi rasa, berkongsi sedikit ilmu & pengalaman dalam kelemahan &
kekurangan dirinya. Seandainya ada sesuatu yang bermanfaat dalam coretannya,
maka, ambillah ia sebagai ilmu yang boleh diamalkan bersama, tinggalkanlah
segala yang buruk itu di laman sesawang ini.
Baru-baru ini, Alhamdulillah, dengan penyusunan Allah, Allah
hadirkan hamba ini ke sebuah Perkhemahan yang diberi nama Kem Rekreasi
Haluansiswi 2013, RESS’13. Subhanallah, satu susunan Allah yang begitu cantik,
di mana saya menjumpai hikmahnya pada hari ini. Dengan menghadiri kem ini,
rupa-rupanya Allah swt telah menyediakan jiwa saya untuk sebuah berita.
Alhamdulillah. Menghadiri kem ini juga telah mengembalikan jiwa saya kepada
suatu syuur (perasaan) berada di dalam biah solehah yang pernah saya lalui dulu
bersama sahabat-sahabat saya yang saya cinta dan rindu kerana Allah swt. Di
sinilah saya belajar mengenal erti kehidupan.
Alhamdulillah, saya berpeluang berjejak kasih, bertaut hati
bersama sahabat-sahabat karib yang telah lama tidak ketemu, dan bertemu serta
bertaaruf dengan sahabat-sahabat yang baru. Alhamdulillah, demikianlah
dijadikan manusia itu, untuk saling berkenal kenalan, saling menyambung roh.
Sahabat yang solehah selalu menjadi cerminan kendiri, maka, apabila bertemu
mereka, merupakan satu tarbiyah ruhiyah bagi saya. Firman Allah swt,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia
kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang
lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)
Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami juga berpeluang bermukholatoh
bersama murobbi-murobbi yang pernah dulu mendidik kami akan nilai keinsanan.
Mendengar tazkirah pendek dari setiap mereka, menyentap jiwa umpama dicurahkan
air ke tanah yang tandus dan gersang, menghembuskan nafas semangat ke dasar
hati yang hampir jatuh tersungkur. Alhamdulillah, moga-moga setiap ungkapan
yang meniti di bibir mereka bersama tembakan doa sebagai senjata utuh, akan
terus dan terus menjadi pemangkin rohani untuk terus melonjak kearah menjadi insan
yang berkualiti dalam sudut Ilmu, Iman dan Amal Soleh. In sya Allah.
Teringat sebuah kata-kata murobbiku tempoh hari :
“Dalam melalui kehidupan ini, ujian
itu akan datang silih berganti. Jika dalam kehidupan kita ini tiada masalah,
semuanya baik, maka, Allah telah mungkir pada janjiNya, kerana Allah telah
mengatakan bahawa, “Tidak beriman seseorang dari kamu, selagi kamu tidak diuji”,
dan kita sedia maklum bahawa, janji Allah
itu benar dan pasti. Namun, masalah itu bukan sesuatu yang besar, tetapi tindak
balas kita terhadap masalah itu yang akan menjadikan kita insan yang lebih baik
atau lebih kurang baik”.
Alhamdulillah, dengan izin Allah, hari ini, saya telah
berjumpa hikmahnya. Ibu kupeluk seerat mungkin, sehingga hati ini sedikit
tenang. Walaupun berat hati menerimanya, saya sedang cuba belajar erti mengakui
kesilapan diri dan menerima sesuatu takdir itu dengan pasrah & redha.
Dengan takdir yang telah Allah susun untuk saya ini,
1.
Saya bersyukur kerana telah melepaskan seseorang untuk
memilih jalan kebahagiaannya sendiri. Saya merasakan dan sentiasa mendoakan
semoga beliau selalu dan selalu bahagia dengan pilihannya, lepas segala
penderitaan dan kesusahan yang dilaluinya selama ini. Maka, beliau akan selalu
tersenyum bahagia. Allah swt akan selalu menjaganya dan melindunginya. Jika dengan jalan ini bisa membahagiakan hatinya, bisa mengembalikan senyuman dan kegembiraan hatinya, maka saya sepenuh hati redha dengannya. In sya Allah.
2.
Ini adalah peluang untuk saya koreksi diri sendiri,
tidak menyalahkan orang lain melainkan melihat sedalam dalamnya ke dasar diri
sendiri. Saya mengerti bahawa setiap sesuatu yang kita punyai di dunia ini,
adalah satu pinjaman. Peminjamnya telah mengambilnya semula dari yang
dipinjamkan kerna mungkin orang yang dipinjamkan itu tidak pernah menghargai
pinjaman itu, tidak menjaganya dengan baik, tidak bersyukur dengan
keberadaannya, maka Peminjamnya telah mengambilnya semula untuk diserahkan
kepada orang yang jauh dan jauh lebih baik dari sebelumnya.
Setiap yang kita punyai di dunia ini
adalah fana’, begitu juga diri kita. Sama ada cepat atau lambat, kita tetap
akan kehilangannya, kita juga tetap akan kembali ke rahmatNya. Untuk itu, kita
harus mencintai sesuatu itu seadanya dan sekadarnya, dan dalam kesedaran bahawa ia bukan milik
kita. Yang harus kita cintai dan berterima kasih adalah kepada Peminjam atas
pinjamannya itu. Jika saya mula menyedarinya hari ini, maka, saya mengharapkan
saya akan terus menghargai apa sahaja nikmat yang berada di hadapan mata saya.
Terus membahagiakan mereka . Nikmat Iman & Nikmat Islam, nikmat menjadi
hamba Allah, nikmat menjadi umat Rasulullah, Nikmat mempunyai Ibu bapa ,
sahabat-sahabat , saudara-saudara seIslam, pesakit-pesakit, bakal anak murid, muallim-muallim,
dan murobbi-murobbi, serta sesiapa sahaja yang ditemui setiap hari, akademik
& kerjaya, Dakwah & Tarbiyah, semua itu adalah nikmat yang harus
ditumpukan dan diberikan haknya sebaik mungkin. Maka, saya akan bersyukur dan terus
bersyukur dengan keberadaan nikmat ini, dan terus berdoa untuk nikmat yang
telah hilang, moga-moga itu semua menjadi satu kebahagiaan buat saya, sebelum
mengakhiri kehidupan yang begitu singkat ini. In sya Allah.
3.
Untuk kehidupan yang baru, saya meyakini bahawa, Allah
tahu, saya tidak bersedia untuk itu, maka Allah telah menyusun kehidupan saya
dengan tanggungjawab dan tanggungjawab yang lain, yang berada di hadapan mata
saya, harus saya tumpu, bina strategi. rancang dan menggerakkannya dengan lebih
baik. Dengan satu demi satu kehilangan yang saya terima, maka, saya harus teguh
dan utuh untuk berada di bumi Illahi ini, menjalankan misi yang telah diamanahkan
tanpa ada pergantungan dan pengharapan kepada yang lain selainNya. Allah tahu,
pergantungan saya kepadaNya tidak cukup kuat, kerana itu Allah mengambil
apa-apa yang boleh menjadi pengantungan saya selainNya. Ujian Allah itu tanda
kasih dan sayangnya Allah kepada kita, bukan kerana Allah marah, tetapi Allah
tidak mahu kita terus lalai dengan kesementaraan dunia. Di situ saya akan
belajar erti tawakkal. In sya Allah.
“ Cukuplah Allah bagiku, ke atasnya
aku bertawakkal, sesungguhnya Dialah (Allah) Rabb, pemilik Arsy Yang Agung”
4.
Saya bersyukur kerana kehidupan saya kini ditemani
oleh air mata dan didoakan semoga air mata keinsafan itu terus mengalir
membanjiri hati dan tubuh saya, moga-moga ia menjadi pembenteng dari azab api
neraka. Menangis itu adalah satu nikmat, namun, sebaik-baik tangisan itu adalah
menangis kerana Allah, menangis kerana begitu cinta & rindu kepada Allah
& Rasul, menangis kerana takut dan sedar akan dosa-dosa lalu, menangis
kerana mengharap akan dapat melihat wajah Allah, mendapat syafaat Rasulullah
swt, di akhirat nanti. Tangisan supaya Allah beri dan kurniakan perasaan Redha
& Pasrah atas segala takdirnya. Moga-moga saya selalu ditemani air mata
yang baik, dan tidak sia-sia.
5.
Saya masih mempunyai waktu yang panjang untuk merawat
segala luka, untuk memulihkan segala kerosakan, untuk belajar ilmu-ilmu baru
dan teknik-teknik baru menjadi seorang Alimah Mujahiddah di bidang saya. Masih
punya waktu yang panjang untuk bersama sahabat-sahabat yang saya cintai,
kroni-kroni HOM, mengambil ibrah dari mereka yang dipenuhi jiwa hamba. Belajar
dan berkongsi ilmu dan pengalaman yang selama ini saya bimbang, kalau-kalau
tidak punya waktu panjang untuk belajar daripada mereka. Alhamdulillah, inilah
waktunya. Saya tidak perlu bimbang lagi jika kelemahan saya mempengaruhi
kehidupan insan lain. Saya tidak perlu menyusahkan kehidupan sesiapa lagi, dan
meneruskan langkah sendirian bersama Peneman Setia yang lebih dekat berbanding
urat leher sendiri. In sya Allah. Alhamdulillah.
Subhanallah, indahnya lukisan alam, dalam setiap ciptaanNya, Dia memperkenalkan diriNya- Berjoging di Taman Lagenda
Alhamdulillah, dengan demikian, berakhirlah coretan saya kali
ini. Mengharapkan redha Allah pada setiap gerakan jari jemari.
Buat para pembacaku yang dicintai kerana Allah,
Doakanlah dan terus mendoakanku. Tiada apa yang lebih saya
harapkan melainkan sebuah doa, agar saya terus kuat menghadapi “Hari-Hari Dalam
Hidupku”. Nasihatku buat diri sendiri, jadikanlah ujian itu sebagai satu
pemangkin untuk kamu menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Belajar untuk
berfikir dan menerima dengan positif. In
sya Allah, segala yang baik itu datangnya daripada Allah, segala yang lemah itu
datangnya daripada saya sendiri. Hakikatnya kedua-duanya datang daripada Allah
swt. Ambillah segala yang baik untuk diamalkan, dan tinggalkanlah segala yang
buruk itu di sini sahaja. Hamba ini masih bertatih dalam mengenal kehidupan
sebenar. Sentuhlah dada kiri dan berkatalah:
“ Wahai Allah, takdir ini bukan
pilihanku, tetapi ini adalah suatu penyusunanMu yang indah dan cantik, lalu,
kurniakanlah kebaikan pada ujian ini, moga-moga aku lebih mendekat denganMu
sentiasa dan sentiasa ”.
p/s : esok hari kelahiran Kekasih Allah swt, Penghulu
Sekalian Alam, kekasih orang-orang mukmin, apakah tindakan yang harus kita
lakukan untuk membuktikan kecintaan kita kapadanya?
Marilah perbanyakkan selawat, membaca dan menghayati sirahnya,
dan mencontohi Baginda dalam melalui kehidupan. Tidak ada contoh yang lebih
baik daripadanya. Wallahutaala a’lam.
Hamba yang mengharapkan Rahmat & Maghfirah,
Penawarhati90,
10.00 am
11 Rabiulawal 1434H bersamaan 23 Januari 2013