Dengan nama
Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,
Segala puji
hanya bagi Allah, kerana pada pagi yang indah lagi barakah ini, Allah swt masih
lagi sudi memberi kita peluang untuk bernafas buat sehari lagi. Subhanallah,
nafas itu merupakan sebuah ruang dan peluang untuk kita terus melaksanakan
ketaatan kepadaNya, memohon rahmatNya, meminta keampunan kepadaNya dan semoga
kita semua terselamat daripada azab api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga,
itulah sebenar-benar kejayaan bagi seorang manusia, seorang muslim, seorang
mukmin dan seorang muttaqin.
Oleh yang
demikian, marilah sama-sama kita berlumba-lumba ke arah kebaikan (fastabiqul
khairat) di dalam segala medan kita berada. Tidak kira di pejabat mahupun di
rumah, di restoran, di pasaraya, dan sebagainya kerana inilah peluang kita
untuk meraih Mardhatillah, seteruskan melayakkan kita menjadi penghuni di
syurgaNya.
Saya
mendoakan semoga Allah swt melindungi dan memelihara diri sendiri, kedua ibu
bapa dan keluarga, bakal kedua ibu bapa dan keluarga, kedua ibu bapa angkatku, beliau
yang sentiasa dihormati, para sahabat tercinta, para pelajar yang dikasihi, ummi
(Datin Noraini), abah (Dato’ Safaruddin), Pn Norli dan seluruh warga kerja
Langkawi Lite, mereka yang sentiasa mendoakanku dari kejauhan, mereka yang daku
temui setiap hari dan setiap waktu, serta seluruh umat Islam. Semoga kita semua
mendapat rahmatNya, keampunanNya, dan dilimpahi keberkatan dalam kehidupan.
Semoga kita semua juga memperoleh sebaik-baik kematian (husnul khotimah) di
akhir kehidupan kita.
“Sesungguhnya
orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya
kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak
ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada
jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Surah
Al-Hujerat : 15)
Alhamdulillah,
dengan izin Allah, saya baru sahaja selesai menjadi guru pengiring kepada program
cuti-cuti pelajar SMK Kedawang ke Negeri Melaka dan Kuala Lumpur.
Alhamdulillah, musafir ini begitu bermakna bagi saya, kerana saya merasakan ini
merupakan satu-satunya peluang untuk mendekati pelajar-pelajar saya, mengenali
mereka dengan lebih rapat, dan mempelajari sesuatu untuk saya aplikasikan dalam
kehidupan seterusnya.
“Dia lah
yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di
merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah;
dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan
hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).” (Surah
Al-Mulk : 15)
Alhamdulillah,
dalam perjalanan ini, saya mempelajari banyak perkara berharga dan tidak
dinafikan, saya merasakan sedikit kerehatan setelah beberapa minggu terlalu
banyak urusan yang memerlukan tenaga yang banyak, alhamdulillah, saya mendapat
sedikit ruang untuk menenangkan fikiran.
Saat bersama
mereka menggamit kerinduan saya kepada pelajar-pelajar saya di SMK Bukit
Gambir, SMK Convent Greenlane. Walaupun pertemuan kita bergitu sebentar, tetapi
berkat pertemuan itu, Allah hubungkan hati-hati kita sehingga ke hari ini.
Alhamdulillah, cikgu bersyukur mendengar perkembangan kalian semasa ke semasa.
Hajat dan harapan cikgu, semoga Allah akan mempertemukan kita lagi dan lagi.
Semoga Allah temukan kita sama-sama ke destinasi yang abadi, Syurga Allah swt.
4 Satria 2 -SMK Bukit Gambir
4 Satria 1-SMK Bukit Gambir
1 Putra-SMK Bukit Gambir
-I miss all of you, never forget this moment-
Hari Guru -SMK Bukit Gambir
Hari Perpisahan - SMK Convent Greenlane
5 Sains Sukan- SMK Kedawang
2 KRK -SMK Kedawang
2 KAA- SMK Kedawang
Trip Melaka-KL - Pelajar Asrama SMK Kedawang
Adik-adik
yang disayangi lillahitaala,
Semoga
kalian menjadi seorang insan yang Beriman, Berilmu dan Beramal Soleh.
Sama-samalah kita mencipta kecemerlangan di dalam setiap bidang yang kita
ceburi, kerana menjadi pakar itu merupakan satu tuntutan seorang muslim. Belajar
daripada kesilapan, jangan berputus asa, terus melangkah menaiki tangga-tangga
kejayaan. Jangan dilihat kejayaan akademik sahaja, tetapi binalah kejayaan
dalam sudut Aqidah, Ibadah dan Akhlak. In sha Allah, jika kita berjaya membina
Hubungan Dengan Allah, maka Allah akan kurniakan kejayaan kepada kita dalam
segala bidang yang kita ceburi. Manfaatkanlah
kelapangan percutian ini dengan aktiviti-aktiviti yang bisa membina jati diri
seorang muslim. Kalian pasti tidak akan menyesal.
Sekian sahaja coretan saya kali ini. Memohon doa daripada semua, semoga Allah menerima segala amal kita, menjauhkan kita daripada azab api neraka dan memasukkan kita ke dalam syurga. Bersemangatkan melangkah ke hari hari yang baru, ciptakan kenangan yang indah. Bertebaranlah di muka bumi ini dan sebarkanlah salam mahabbah. Semoga Allah murahkan rezeki kita. ^__^. Ukhuwah fillah abadan abada dan Salam Dhuha.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha
Penyayang, Rabb Yang Pemilik Nyawa setiap insan.
"Segala
puji dan syukur kepadaMu Ya Allah, Engkau telah memberi kesejahteraan kepada
jasadku, ketika aku bangun tidur, syukur ya Allah, Engkau kembalikan rohku
kepadaku, dan engkau pilih aku untuk mengingatiMu, seawal aku bangun daripada
tidur. "
Inteam-Kepastian
Setelah sekian lama tinta ini terhenti, Alhamdulillah,
di pagi yang indah dan barokah ini, Allah swt mengurniakan kepadaku sebuah
nafas dan sedikit kelapangan waktu untuk daku duduk sebentar mencoret sedikit
tinta sebagai iktibar bagi insan-insan yang masih lagi diberi nikmat kehidupan.
Semoga Allah mengampuni segala dosa penulis ini, menerima amalnya, sesungguhnya
tiada yang lebih kita hajatkan di dalam kehidupan ini melainkan keredhaan
Allah. Acapkali kita tersasar haluan dek lemahnya insan bernama manusia.
Mengharapkan taufiq dan hidayah Allah, dan janganlah diriku, keluargaku,
masyarakatku dibiarkan sesat serta mengakhiri kehidupan ini dengan su’ul
khotimah (seburuk-buruk kematian), wanauzubillahimin zalik.
“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”
Tanggal 29 Zulhijjah 1434 H bersamaan 2
November 2013 yang lalu, dunia dikejutkan dengan pemergian seorang pemuda bernama
Ahmad Ammar Ahmad Azam di dalam sebuah kemalangan pada jam 1.30 petang akibat dilanggar ambulan
ketika melintas jalan di Istanbul, Turki . Beliau kembali ke rahmatullah pada
usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara. Subhanallah, pada usia
yang sangat muda, Allah menyayanginya, lalu mengambilnya kembali ke sisiNya.
Pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah
pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu
dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi. Malah catatan
terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:
“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan
kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu,
maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh
makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah
sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam
khidmat dakwah ini.”
Subhanallah, sebuah kematian yang begitu
dicemburui dan dihajati oleh semua insan yang mengharapkan keredhaan Allah,
maka pada hari ini, Allahyarham adik Ahmad Ammar insan terpilih untuk gugur
sebagai syahid dalam perjalanan ke majlis ilmu, taman-taman syurga.
Alhamdulillah, moga Allah menerima kesyahidannya dan segala amal solehnya
ketika hidup.
Ahmad Ammar Dalam kenangan- Wajib Tonton para pemuda.
Allahyarham dikenali dan terkenal setelah
kematiannya dan beliau menjadi inspirasi buat para pemuda khususnya dan seluruh
dunia umumnya untuk turut menjejakkan langkah beliau yang punya misi & visi
yang jelas dalam hidupnya untuk sebuah perjuangan : “Hidup Mulia dan Mati Syahid”
. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
Berita kematian itu silih berganti, pada
tanggal 1 Muharram 1435 H bersamaan 3 November 2013 yang lalu, saya dikejutkan
pula dengan kematian Allahyarham pakcik Abdul Latiff, merupakah ayahanda
seorang pelajar saya ketika di SMK Bukit Gambir, Nur Shahira Syazwani yang
merupakan seorang pelajar solehah dan sentiasa mencari kebaikan di dalam
hidupnya.
" Ayah hantar adik ke program supaya jadi saham akhirat buat ayah"
Benar saya tidak pernah sangkakan, pertemuan
yang begitu sebentar itu, Allah hubungkan, sehingga tertaut hati-hati kami
menjadi sebuah keluarga. Pakcik Abdul Latiff merupakan seorang ayah dan suami yang
begitu penyayang, berdedikasi, dan soleh.
Masih saya ingati, semasa menjadi pengiring
Shahira ke program Teenace 28 Jun 2013 yang lalu, itulah kali pertama saya
berkenalan dengan keluarganya. Ayah dan ibunya mengambil saya di rumah sewa dan
menghantar kami ke stesen bas Sungai Nibong. Semasa menyalami keluarganya, saya
melihat sebuah kasih sayang yang begitu luar biasa antara ayah, ibu dan
anak-anak. Subhanallah, sebuah keluarga yang begitu menyayangi satu sama lain.
Allahuakbar. Melihat air mata Shahira, saya sangat terharu dan berterima kasih
kepada ayah dan ibunya kerana mempercayai saya sebagai pengiring beramanah
menjaga anaknya di saat ibu bapa yang lain takut memberi kepercayaan kepada
orang yang baru sahaja dikenali untuk menjaga anaknya. Semua ini mendidik diri
saya, betapa ibu bapa memainkan peranan besar membangunkan nilai Aqidah dan Akhlak
Islamiyah ke dalam diri anak-anaknya. Maka, saya melihat betapa pakcik Abdul
Latiff memainkan peranan sebagai ayah yang soleh dan menjalankan sistem Islam
dalam pendidikan anak-anaknya. Semasa mengambil kami pulang, pada jam 4 pagi, pada kebiasaannya, saya sampai ke stesen awal pagi, saya akan terus pulang dan melelapkan mata, tetapi pakcik membawa ibu, shahira dan saya pergi makan dahulu di restoran Subaidah. Saya merasa terhibur dan gembira dapat meluangkan masa bersama mereka. Saya masih ingat, semasa di dalam kereta, pakcik membuka sebuah lantunan selawat :
Sehingga hari ini, sekiranya saya mendengar lagu selawat ini, hati menjadi begitu sebak, sentiasa segar di hati sanubari, detik-detik bersama Nur Shahira Syazwani sekeluarga. (betul ya eja nama)
Dipendekkan cerita, pada Julai yang lalu (awal ramadhan) jika tidak silap saya, Allah mentakdirkan pakcik Abdul Latiff
dipercayai menghidap penyakit Kanser tahap 4. Masya Allah, sesungguhnya Allah
melakukan apa yang Dia kehendaki.
Saya melihat satu persatu perkembangan berita
mengenai penyakit pakcik. Namun, sesuatu yang sangat saya kagumi adalah pakcik
tidak memperlihatkan kesakitannya di hadapan orang, wajahnya tenang, dan masih
menjalankan aktiviti-aktiviti masjid. Masih lagi membenarkan shahira bersama
saya pergi ke program Iftar & Qiyamullail Ramadhan di Maahad Islamiyah
Al-Muhammadiyah.
Seminggu sebelum pemergian pakcik, saya
sempat menziarahinya di ICU, namun, Allah takdirkan saya tidak dapat melihatnya
kerana beliau sedang dirawat, serta saya perlu bergerak ke Ipoh bersama
sahabat-sahabat.
Pada tanggal 1 Muharam 1435 H, Allah swt yang
Maha Penyayang telah mengambil pakcik pulang ke sisiNya. Namun, saya bersyukur
kerana diberi kesempatan untuk mengenali dan berbicara dengan pakcik yang
soleh. Saya bersyukur kerana Allah swt telah memberi tempoh beberapa bulan
untuk keluarganya membuat persediaan hati, emosi dan jasadi untuk menerima
pemergian pakcik. Secara hikmah yang dapat saya fikirkan di sini, bukan mudah
untuk kita menerima pemergian orang yang kita sayangi, tambahan keluarga Shahira
yang erat kasih sayangnya. Maka, Allah memberi tempoh, subhanallah, tempoh.
Allahuakbar. Semasa berkunjung dan mendengar detik-detik kematian pakcik dan
pengebumiannya, Allahuakbar, air mata mengalir kerana saya merasakan, begitu
Allah menyayangi insan soleh ini. Allahyarham dimandikan oleh kedua-dua anak
perempuannya.
" Sesungguhnya kepunyaan Allah apa yang
Dia ambil, dan kepunyaanNya apa yang Dia berikan dan segala sesuatu pada
sisiNya sampai waktu yang ditentukan. Hendaklah kamu bersabar dan mengharapkan
ganjaran"
(Hadith riwayat Bukhari dari hadith Usamah)
Kata Shahira:
“ Ayah, kata
ayah hantar saya pergi program sebagai saham akhirat buat ayah.
Ayah dan ibu pernah cakap, cikgu kakak kedua
saya” (maaf ayat edit sikit na)
Kata saya:
“Okay then,
Shahira kena jadi anak alimah solehah dan tunaikan impian ayah, walaupun ayah
tidak bersama kita lagi, teruskan menjadi saham akhirat buat ayah dan ibu,
boleh buli dah adik sorang ni.” Hee…
“Jika
pada hari ini kita hidup untuk diri kita sendiri, nescaya jalan yang kita lalui
amat sempit dan singkat sekali. Namun jika hari ini kita hidup untuk orang lain
demi sebuah aqidah dan perjuangan (Islam), maka jalan yang bakal kita lalui
luas terbentang dan jauh untuk kita lalui….”
::As-Syahid
Imam Hassan Al-Banna::
(copy paste dari blog allahyarham)
Tanggal 4 Safar 1435 bersamaan 5 Disember 2013, saya menerima pula berita
kematian seorang Mantan MPPUSM, Timbalan bendahari PMIUSM, Mohamad Iswandi Ishak, merupakan Graduan USM,
berkonvo pada September 2013, dan
dipanggil pulang menghadap Illahi pada ulangtahun kelahirannya yang ke 23 tahun
(sama umur dengan saya). Subhanallah, benar-benar kematian itu satu peringatan.
Beliau meninggal pada usianya yang masih muda, terlibat di dalam sebuah
kemalangan semasa dalam perjalanan bekerja. Seorang pelajar aktif semasa di
USM.
Walaupun saya tidak pernah mengenalinya,
namun kematiannya benar-benar menggentarkan jiwa saya, menyebakkan qolbu, kerana saya merasakan
kematian itu begitu hampir. Allahuakbar.
Apa yang bisa saya kongsikan dan harap di
fahami dan dihayati oleh diri saya sendiri adalah. Setiap manusia itu akan menemui saat
kematiannya. Namun, kitalah yang mencipta seni kematiannya sendiri. Seandainya
praktis hidup kita berlandaskan Al-Quran dan Sunnah, maka, kita akan menemui
Sebaik-Baik Kematian (Husnul Khotimah), namun, jika praktis kehidupan kita
adalah sebaliknya, maka, ketahuihah bahawa kita akan menemui Su’ul Khotimah. Nauzunillahiminzalik.
Marilah kembali ke Pangkuan Islam.
Firman Allah swt di dalam surah Ali Imran :
185 yang bermaksud :
“ Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati,
dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.
Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka
sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini
(meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
Sedikit
Catatan daripada Puan Nur Azlina, Ibu Ammar
Aku
ingin menjadi “SEJARAWAN PERANTAU”…
Semasa
membelek catatan-catatan tulisan tangan anakanda Ahmad Ammar di dalam buku-buku
notanya yang saya & ayahandanya bawa pulang tempohari, terjumpa catatan
tentang visi & misi beliau:
“1)
Akan menziarah serta mengkaji ketamadunan & kekayaan Sejarah Bangsa, Negara
Turki & kerajaan-kerajaan yang pernah diasaskan oleh mereka.”…ingin menjadi
SEJARAWAN PERANTAU.
2)
Meskipun tumpuan 100% kpd penguasaan akademik, tumpuan kpd ilmu rohani &
agama tidak boleh diabaikan. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan ketenangan
jiwa, hubungan dengan Sang Pencipta dikekalkan, Risalah An-Nur tulisan Ustaz
Badiuzzaman Said Nursi adalah penawar terbaik untuk semua ini.
Maka,
jika aku berjaya memahami dan menguasai kitab RISALAH AN-NUR, aku akan cuba
menyebarkannya ke setiap negara yg akan aku pergi di samping melakukan kajian
sejarah.”
“Ya,
sesungguhnya untuk mencapai kedua-dua matlamat ini, aku sudah tiada masa utk
berlengah-lengah & berehat, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dengan
mengaplikasikan gerak-kerja harian aku kepada tindakan tanpa gagal.”
*Mari ambil iktibar dan bertindak....Subhanallah, masa begitu mencemburui saya. Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak menyentap qolbu kita untuk memanfaatkan masa yang masih dianugerahkan Allah ini untuk melaksanakan "Amar Maaruf, Nahi Mungkar". Semoga segala yang baik dapat dijadikan iktibar, dan segala yang tidak baik, saya mohon keampunan daripada Allah swt dan harap ditinggalkan di sini sahaja. Andai masa saya sudah tiba, dan kematian menjemput, saya mohon dihalalkan segala-galanya, dimaafkan segala salah dan silap dan jika ada hak yang tidak dipenuhi. Jika ada hutang, mohon dituntut. Doakan saya. ^_^.
"Hidup hanya ada 2 pilihan, untuk mengukir sejarah ataupun bernafas sahaja"- Ustaz Syarihan Shahidan. *coffee pun dah sejuk.
*persiapan lawatan sambil belajar bersama pelajar SMK Kedawang. Selamat membuat persiapan rohani, jasadi dan emosi.