Dengan nama Allah Yang Maha
Pengasih Lagi Maha Penyayang, Rabb Yang Maha Pencipta Sekalian Alam. Selawat
dan salam diutuskan buat Rasulullah saw, suri teladan terbaik sepanjang zaman.
Salam sejahtera buat ahli keluarga serta para sahabatnya yang unggul.
Sidang pembaca sekalian,
Semoga ketika ini, saya dan
kalian sentiasa berada di dalam sakinah Imaniyah dalam perjalanan menuju ke
sebuah negeri abadi. Semoga ketika ini, saya dan anda masih bersemangat dan
tersenyum selebar mungkin, walau pelbagai badai dan duri ditempuhi, juga
menanti di hadapan sana, semoga kita terus tabah dalam meniti hari-hari dalam
hidup ini, kerana inilah hakikat keinsanan. Namun, yakinlah bahawa sesungguhnya
Allah tidak memberi ujian melainkan apa yang terdaya dipikul oleh hamba-hambaNya.
Doa Mohon Ketenangan
“Allah tidak memberati
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan
kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau
bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya
dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat
kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai
kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir. (286).”
Pertama dan selamanya saya
memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpahan keizinanNya,
Dia mengatur satu persatu perjalanan kehidupan saya dengan begitu teratur, ada
masanya tersenyum, gembira, berduka dan kecewa. Semuanya silih berganti, musim
demi musim, namun, itulah aturan Allah yang sebenarnya begitu cantik dan indah
seandainya saya menyelaminya dengan mata hati.
Semoga limpahan rahmat serta
keberkatan Illahi senantiasa menaungi kehidupanku, ibu bapaku, bakal ibu
bapaku, ibu bapa angkatku, beliau yang berada di dalam jagaan dan peliharaan
Allah swt, para sahabatku yang tidak pernah sekali-kali menjadi kelupaanku,
anak-anak didikku yang sentiasa segar dalam hati sanubariku, sama ada mereka
yang berada di SMK Bukit Gambir, SMK Convent Greenlane, SMK Kedawang, mereka
yang mendoakanku, mereka yang daku temui setiap hari dan setiap waktu, serta
sanak saudara kita yang berada di bumi Mesir, Palestin, Somalia, Syria, dan di
seluruh pelosok dunia ini. Walaupun kalian jauh di mata, namun kalian sentiasa
dekat di hati ini. In sha Allah.
Pada perkongsian kali ini, saya
sekadar ingin berkongsi sedikit catatan perjalanan ini sehingga pada hari ini,
saya berkhidmat sebagai seorang Pendidik di SMK Kedawang, Pulau Langkawi. Saya
berhajatkan agar perkongsian pengalaman saya ini, sedikit sebanyak menjadi satu
proses untuk muhasabah diri buat diri saya sendiri, buat generasi pewaris saya
suatu hari nanti, serta sidang pembaca sekalian, dan semoga sedikit kebaikan
daripadanya akan terus menjadi satu kekuatan untuk diri ini melangkahi satu
persatu anak tangga kehidupan, maka segala keburukan daripadanya, saya berharap
ia hanyalah ditinggalkan di sini sahaja. Semoga kita semua sentiasa berada di
dalam rahmat dan keampunan dariNya. Saya memohon keberkatan masa dan waktu
daripada Allah swt.
Setelah menamatkan pengajian di
Universiti Sains Malaysia atau Universiti
Sangat Menarik, sebuah terma yang sangat cantik dinamakan oleh sahabat saya
yang sangat kreatif, maka saya memilih untuk terus berkhidmat di Pulau Pinang,
untuk mencari kekuatan sebagai persediaan rohani, emosi dan jasadi untuk
kembali ke tanah air Langkawi. Sebagai seorang manusia, saya memiliki satu
sifat iaitu sukar membuat satu perubahan kepada keputusan saya, tidak kira
bagaimanapun ia, kerana secara metafiziknya, saya manusia bernombor 4. Namun,
manusia itu merancang, Allah juga merancang, dan sesungguhnya Allah sebaik-baik
Perancang. Disebabkan beberapa perancangan saya di Pulau Pinang tidak dapat
saya laksanakan, maka, saya memerlukan masa untuk bersedia menghadapi dan
mengolah perancangan baru. Alhamdulillah, dengan berkat keizinan Allah, setelah
beberapa bulan saya berada di bumi Pulau Pinang, menunaikan satu persatu impian
saya di sana, maka, saya kembali ke Pulau Langkawi dengan hati yang tenang,
semangat yang baru, kekuatan yang baru, azam yang baru, target yang baru di
tempat yang baru bagi jiwa saya, namun, sudah lama bagi jasad saya.
Pada tanggal 21 Ogos 2013 yang
lalu, iaitu 10 hari sebelum kepulangan saya ke Pulau Langkawi, saya mengambil
kesempatan ini untuk menziarahi sahabat-sahabat handal di sekitar Wilayah
Tengah, bagi mengumpul kekuatan dan himmah daripada mereka. Saat bersama mereka
sungguh indah dan menghiburkan hati, kerana mereka adalah sahabat yang sentiasa
menghubungkan jiwa kepada Allah. Saat bersama mereka menyergapkan kerinduan
saya terhadap segala memori yang pernah kami bina ketika di Kolej Matrikulasi
dan sepanjang di USM sendiri.
Jazakumullahukhairan kathira
kepada sahabatku tersayang merangkap kembar tak seibu tak sebapa, Syafiqah
Athirah Abdul Razak dan keluarga, kerana sudi menerima kehadiranku sebagai
tetamu dengan lapang dada. Alhamdulillah, pertemuan pertama kami di Masjid KMK
pada 4 tahun yang lalu menemukan kami kembali sehingga pada hari ini. Bersyukur
mengenali ibu ayahnya yang juga merupakan seorang pendidik, terlalu banyak isu
yang bisa kami bualkan sehingga tubuh begitu berat untuk melangkah keluar.
Walau apapun, semoga pertemuan yang singkat ini mendapat keredhaan Allah, serta
dipertemukan lagi dan lagi. “ Nanti Syafiyah datang lagi bawa family pulak” –
Makcik Rozi (Ibu Syafiqah) –Take Note- ^___^
Bersama Syafiqah & Makcik Rozi- Nasi Ayam Special
I like this place...
Destinasi saya seterusnya adalah
menziarahi “Ex-Roomate” saya dahulu yang merupakan sahabat yang pernah tinggal
sebilik dengan saya semasa di USM, Nur Hayati. Alhamdulillah, hati terasa amat
gembira dan berbunga-bunga ketika bertemunya. Tidak dapat digambarkan betapa
gembiranya hati ini, seorang sahabat yang sentiasa bersama saya ketika susah
dan senang. Segala kenangan kami bersama ketika di Pulau Pinang terbit satu
persatu di ruangan pemikiran ini. Mendengar cerita kehidupannya di KL, saya
mendoakan semoga beliau bisa belajar erti berdikari seperti yang dihajatkan
olehnya. Semoga Allah memurahkan rezeki buatmu ati. ^__^. I love you for the
sake of Allah. Terima kasih kerana terlalu banyak bersabar dengan kerenah
kurang matang saya, dari dulu hingga sekarang. ^_^.
Kenangan ziarah raya bersama nur hayati & sahabat2.
Setelah menginap di rumahnya
selama 1 hari, kami bersama-sama meneruskan perjalanan menziarahi junior kami
di USM dahulu, Nissa’ Karimah Wahid bersama sahabat-sahabatnya. Alhamdulillah,
gembira menemui adik-adik bakal Arkitek harapan Islam. Menziarahi mereka
membuatkan diriku umpama tersedar daripada mimpi. Alhamdulillah, berpeluang
untuk makan bersama, membina memori baru untuk terus disimpan rapi ke dalam
diari hari-hari dalam hidupku.
Pada keesokan harinya, hari yang
istimewa, hari yang bersejarah, hari yang indah, Alhamdulillah, ditemani
sahabat-sahabatku Nur Hayati & Jamilin Rasyida, kami berjaya melaksanakan
misi terbesar yang merupakan salah satu tujuan perjalananku. Alhamdulillah, kalian
sangat bermakna dalam hidupku wahai sahabat-sahabatku. Merekalah sahabat yang
tidak pernah mengharapkan untuk dibalas jasa, tetapi persahabatan yang dibina sungguh
tulus menusuk ke dasar qolbuku, membuatkanku merasa begitu bersyukur kerana
dianugerahi sahabat istimewa seperti mereka sedangkan diriku, hanyalah insan
biasa. Alhamdulillah, Allah Maha Adil.
Bersama sahabat-sahabatku, maka,
kami menuju pula ke majlis walimatul urus seorang senior kami iaitu Kak ‘Aqilah dan
Akhi Ikrimah Husni. Disebabkan jalan yang begitu sesak, maka, tidak kami
sangkakan bahawa kamilah tetamu terakhir yang menghadiri majlis ini.
Barakallahufikum...
Alhamdulillah, seterusnya, kami
menuju ke Masjid Jamek, destinasi terakhir sebelum ke Pudu Raya. Berkat
keizinan daripada Allah swt, kami dipertemukan bersama sahabat yang terlalu
lama tidak ketemu, Nur Yasmin Ahmad. Beliau merupakan senior dan sahabat kami ketika
di USM dan mengambil jurusan Sains Komputer. Alhamdulillah, Allah mengizinkan
pertemuan kami sebelum beliau melangkah ke alam perkahwinan. Walaupun tidak
bisa memenuhi jemputan dek jarak yang terlalu jauh dan bersekolah, Alhamdulillah,
dapat juga kami bertemunya di Masjid Jamek dan berbual satu dua perkara. Barakallahufikum buat Nur Yasmin Ahmad dan pasangannya Hafizuddin Pirus. ^___^
Jejak Kasih
Dengan itu, berakhirlah sudah
misi ziarah saya bersama sahabat-sahabat, sebelum saya menamatkan perkhidmatan
di Klinik Syifa dan memulakan perkhidmatan di Pulau Langkawi.
Pengalaman dan memori ini
cukup-cukup berharga dalam kehidupan saya, walaupun mungkin tubuh merasa begitu
lelah, namun, kemanisan di hati ini, hanya Allah yang mengerti. Saya tidak pernah merasa menyesal atau usaha yang sia-sia untuk tujuan ini. Apabila
sesebuah ukhuwah itu diikat oleh ikatan Rabbaniyah, maka, segala halangan itu
bisa ditempuhi. Untuk memenuhi hak ukhuwah itu, kita mungkin memerlukan
pengorbanan harta, nyawa, tenaga, namun, yakinlah, apabila kita bersahabat
kerana Allah, semoga segala pengorbanan itu menjadi saksi di hadapan Allah
nanti yang melayakkan kita bertemu di syurga Illahi. Amin.
Bersungguh-sungguhlah berusaha
untuk beroleh kedudukan yang telah Allah janjikan.
“Di
antara hamba-hamba Allah ada manusia yang tidak termasuk para Nabi dan juga
para syuhada’, tetapi pada hari akhirat para nabi dan syuhada’ cemburu kerana
kedudukan mereka di sisi Allah”.
Para
sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahu kami siapakah mereka?”.
Rasulullah
menjawab; “Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah dan
bukan berdasarkan hubungan keluarga dan bukan kerana harta yang mereka saling
berikan”.
“Demi
Allah, muka mereka itu bercahaya. Mereka berada di atas cahaya. Tidak merasa
takut ketika orang lain merasa takut. Tidak berdukacita pada saat orang lain
berdukacita”.
Kemudian
Rasulullah membacakan firman Allah dalam surah Yunus ayat 62: “Ingatlah,
sesungguhnya wali-wali Allah tidak merasa khuatir dan tidak pula bersedih
hati”. (HR Abu Daud, Nasai dan Ibnu Hibban)
Semoga Allah dan Rasul sentiasa
menyayangi dan mengasihiku, kedua ibu bapaku dan sahabat-sahabatku semuanya.
Buat semua sahabatku tersayang,
walaupun kalian jauh di mata, kalian sentiasa dekat di hati ini. Moga jarak
yang memisahkan kita sentiasa kita dekatkan dengan saling mendoakan antara satu
sama lain. Doa kalian daripada kejauhan diharapkan akan terus menyalakan obor
kekuatan untuk kita terus berprestasi sebagai abdullah (hamba Allah) dalam
menggapai MARDHATILLAH. Sesungguhnya akhirat sanalah sahaja pertemuan yang
abadi. "Mari Berlumba Menuju Syurga!!"
*Next Mission in Progressing*
Sahabatmu,
Penawarhati90
8.23am
7 Zulkaedah 1434 H bersamaan 13 September 2013
Pulau Langkawi, Kedah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan