Sabtu, 9 Januari 2021

Cinta Remaja

 Assalamualaikum, 

Pernah tak terbaca satu hantaran di Facebook ada satu komik yang berkisar tentang seorang lelaki yang menolak lamaran seorang perempuan dengan alasan si perempuan terlalu baik untuk dia?. Hantaran komik tu jadi viral pula di kalangan remaja-remaja. Macam-macamlah komen netizen, ada yang setuju, ada juga yang tak setuju, macam-macam juga kritikan, penjelasan. Ada juga terbaca komen pelukis komik juga tentang apa maksud atau mesej yang nak disampaikan daripada komik tersebut. Tak kisahlah, sebab fahaman atau tafsiran setiap orang tu berbeza. Dalam coretan saya kali ini pun, adalah sedikit yang ingin dikaitkan tetapi bukan kritikan, sekadar perkongsian untuk pedoman diri saya sendiri dan adik-adik atau mungkin pelajar-pelajar saya sendiri yang diuji dengan ujian keremajaan. Kadang-kadang datang sekolah, muka broken, sembang apa pun tak mau, ajar apapun tak masuk, nak melayan ja kecewa cinta monyet tu. 😁 Cikgu tak gelak pun, cuma kadangkala lucu bila fikirkan alam remaja yang tak matang.  


Saya percaya setiap orang ada cerita-ceritanya yang tersendiri. Dalam soal mencari pasangan hidup, mungkin kita pernah melamar atau dilamar. Kalau semuanya berjalan seperti yang kita inginkan, dah tentu kita rasa gembira. Tetapi bila berlaku situasi kita mungkin menolak atau ditolak dengan pelbagai sebab dan alasan. Pada waktu itu, pelbagai rasa yang kita hadapi. Sebab apa? Sebab apa yang berlaku tak seperti yang kita telah atur dan rancang untuk hidup kita. Betul tak? 


Sebenarnya kita selalu dengar tetapi selalu juga lupa bila ujian itu tiba. Betul tak?

"Ajal maut, jodoh pertemuan itu di tangan Allah" 

 

Jadi, apa kita kena buat bila berhadapan dengan situasi begitu?


Rileks, tenangkan diri, ambil masa untuk pulih.... Bukan saling menyimpan rasa-rasa tidak berpuas hati, marah atau berdendam. Cuba cari sesuatu yang boleh pulihkan semangat kita, perkara yang menggembirakan kita. Banyak mendekatkan diri kita kepada Allah dan cuba hayati hakikat jodoh. Jangan fikir apa-apa yang negatif. Ambil masa selama mana yang kita boleh untuk pulih. Hakikatnya, diri kita sangatlah berharga. Tiada orang yang akan ambil berat tentang kita melainkan diri kita sendiri. Yang penting kita sendiri kena hargai diri kita dan jangan sia-siakan masa kita dengan kecewa yang tiada berpenghujung. Kecewa ni lagi dilayan lagi bahaya dan merosakkan. Boleh juga jadi membahayakan apabila kita mula bercakap-cakap dengan ketidakpuasan hati kita. Semua ini akan jadi penat, letih, parah, dendam, nak balas dendam. fuhh! 


Sebenarnya macam ni. Kita sebenarnya dalam pencarian untuk mencari jodoh. Dalam proses atau perjalanan itu, kita masing-masing mencari keserasian. Tiada siapa bertanggungjawab ke atas sesiapa. Kalau kata orang itu jodoh kita, bila kita sudah buat keputusan, dan Allah mudahkan perjalanan untuk kita mendapatkannya. Barulah dia jodoh kita. Tetapi, kalau orang itu bukan jodoh kita, akan datanglah peristiwa-peristiwa sebagai petunjuk bahawa dia bukan jodoh kita. Peristiwa-peristiwa yang menunjukkan tiada keserasian antara kita. 



Mungkin dari rasa hati kita, dia bukan tercipta untuk kita. Boleh juga dari halangan-halangan dari pihak keluarga. Boleh jadi, konflik untuk isu-isu yang kecil sahaja, jadi besar. Apabila berhadapan dengan masalah, kita mahupun dia tidak mampu mencari titik penyelesaian.  Boleh jadi sebab kita rasa rendah diri sebab kita rasa dia lebih baik dari kita. Semua itu mungkin petunjuk-petunjuk yang membawa kepada ketidakserasian antara kita. Pada saya, jangan ambil risiko bila nampak seperti tiada keserasian. Jangan nak mencuba-cuba juga untuk bernikah atau senang kira gigih juga. Kerana perkahwinan itu bukan boleh cuba-cuba ya!. Bila kita dah berkahwin, kita dah masuk ke fasa tanggungjawab. Sendiri nak tanggung, sendiri kena jawab. 


"Melepaskan itu lebih baik daripada terus berharap"


Jangan biar diri kita berlama-lama dengan keadaan sedemikian supaya kita boleh hidup dengan aman damai. Ambil jalan yang paling baik untuk kedua-duanya. Tak kira siapa yang mulakan dulu. Terima sahaja apa alasan yang diberi jika kita ditolak, mungkin orang itu dah fikirkan alasan terbaik agar kita tidak terlalu disakiti, kalau kita dengar ayat yang jujur sangat pun, takut kita tak mampu terima dan tak dapat tidur malam sebab tak puas hati. Hehe. Kalau kita hendak menolak pun, berilah ayat yang paling baik yang kita boleh bagi supaya tidak menyakiti. Jangan saling ungkit mengungkit. Apa yang lepas biarkan masa mengubati dan lepaskan, Jangan sesali apa yang berlaku, jangan bermusuhan dan jangan membenci. Kerana kita tiada tanggungjawab ke atas satu sama lain pun, tiada ikatan apa-apa yang perlu kita tanggung dan jawab. Terus melangkah ke hadapan dan ikut haluan masing-masing. 


Jangan Ada Benci


Bila masuk ke alam perkahwinan itu barulah fasa kita bertanggungjawab ke atas satu sama lain. Bila kita sudah berjumpa dengan jodoh kita, adakah tidak akan berlaku konflik? 


Ha..... kena tau suatu perkara... Dunia adalah ladang ujian... Tiada bahtera yang tidak pernah dilanda badai. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Faham.....😂 Tapi kena ingat satu perkara, kita kahwin bukan untuk bercerai. Kita perlu serius terhadap rumahtangga kita. Apa ujian pun, kita kena main tarik tali. Kalau sorang tengah berapi, jangan tambah minyak, jadi ais yang menyejukkan. Macam-mana nak buat. Kena kreatif, kena belajar, kena lalui, kena jadi problem solver. Faktor siapa lebih dominan itu bukan satu masalah besar pun. Cuma bagaimana cara nak uruskan dominan itu kena belajar. Jangan sampai melebihi had yang ditetapkan syariat. 


Ujian hidup kita ni tidak akan pernah berakhir sampailah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Sebab apa? Sebab Allah nak uji keimanan kita dan mematangkan kita tentang kehidupan. Justeru itu, setiap fasa yang kita lalui dalam hidup ini ada ujiannya. Ingat orang yang pilihan hatinya menjadi suri rumahtangganya dengan smooth je tidak diuji? Bila masuk fasa perkahwinan, mulalah pula kena berhadapan dengan kerenah pasangan dan anak-anak. Kalau kita rasa keremajaan kita teruk diuji, sebenarnya, bila kita masuk ke fasa perkahwinan, lebih dahsyat lagi. Macam kita main game, bila dah lepas satu tahap, naik lagi satu tahap yang lebih mencabar. Sebab apa? sebab Kemenangan itu Mahal nilainya. Kemenangan sebenar bagi seorang muslim adalah apabila dia berjaya meraih Redha Allah dan memasuki Syurga yang Tertinggi. 


Hikmah apabila diuji ini, kita akan dapat lihat, apabila setiap ujian yang kita lalui telah selesai,kita akan menjadi sedikit matang dengan cara kita melihat dunia. Kita akan menjadi lebih cekal dan tabah. Jiwa tidak mudah rapuh dengan isu-isu kecil. Malah, kita akan lebih mengutamakan hak-hak Allah kerana jiwa kita telah mula kembali kepada fitrah dengan kesedaran-kesedaran, taufiq hidayah yang Allah berikan semasa diuji. 


Dalam hidup ini, kita takkan dapat semua yang kita inginkan dalam masa yang sama. Kadang-kadang Allah tak bagi atau ambil sesuatu yang kita betul-betul nak. Kadang-kadang Allah tarik yang ini, untuk beri yang itu, Sebab Allah nak beritahu, kita manusia yang tidak sempurna dan kita tidak boleh memiliki semuanya. Kita tak tahu pun apa yang terbaik untuk kita. Kita boleh mengatur dan merancang, tetapi kena ingat, ketentuan hanyalah daripada Allah. Bila jadi begitu, barulah kita beringat selalu perlu memohon segala yang terbaik daripada Allah. Di situlah Allah menunjukkan Kebesaran dan KesempurnaanNya.


Perlu kita sedar bahawa, matlamat hidup kita bukan cinta manusia. Matlamat hidup kita bukan untuk berjodoh ataupun pelajar sekarang ni selalu didoktrin dengan belajar untuk bekerja. Rendahnya matlamat hidup kita kalau sebab itu kita hidup. Sebenarnya, tujuan kita diciptakan ni lebih jauh daripada itu. Kita diciptakan untuk meraih Redha Allah dan kita hajat sangat Allah berikan kita syurga pada kehidupan kita yang abadi. Sebab itu Allah mahukan kita buat yang terbaik dalam hidup kita, jadikan apa sahaja yang kita lalui itu ladang untuk kita mendapatkan matlamat kita itu. Buat bersungguh-sungguh dan jadi orang yang bermanfaat untuk umat. Kita hidup bukan untuk diri kita, tetapi untuk kebaikan semua orang. Diri kita biar jadi manfaat. Maka, baiklah untuk diri kita dan baik juga untuk orang lain. 


Oleh itu, janganlah terlalu broken sangat. Kalau rasa down, ambillah masa untuk pulih, kembali bermuhasabah diri dan bergaullah dengan orang-orang yang positif. Insha Allah, kita akan reda cepat. Jangan bermurung sorang diri, sayang masa dan sia-sia hidup untuk melayan kekecewaan. Let it go and Move on!!! 


Penawarhati90

6.17pm

9 Januari 2021

Selangor


Tiada ulasan:

Catat Ulasan