Rabu, 11 Ogos 2021

Salam 1 Muharram 1443H

 

Salam 1 Muharram 1443H
10 OGOS 2021

Alhamdulillah, kita masih dipinjamkan nafas untuk melangkah ke tahun baharu 1443H. Pelbagai khabar sedih yang kita terima satu persatu menandakan dunia ini sememangnya berada di penghujungnya. Pelbagai tanda telah Allah tunjukkan untuk sentiasa mengingatkan kita akan hakikat kesemtaraan kehidupan ini, hakikat kebesaran dan kekuasaan Allah swt yang tak mampu ditandingi. Dengan ujian Covid19 yang Allah datangkan ini, benar-benar menginsafkan kita bahawa selama ini kita lalai dengan kehidupan kita, kita lalai dengan tanggungjawab kita kepada Allah, malah lebih dahsyat apabila kita mula mencabar kekuasaan Allah swt. Hanya dengan satu makhluk kecil yang sangat halus dan tak mampu terlihat oleh mata kasar, Allah tunjukkan kekuasaanNya dengan musibah ini, kita terduduk, kekayaan kita tak mampu membeli nyawa kita sendiri, ilmu dan segala kecanggihan teknologi tak mampu mengekang virus ini dari terus merebak dengan dahsyatnya. Begitulah apabila Allah menunjukkan kekuasaanNya, kita tidak akan mampu menyelesaikan semua ini, melainkan kembali kepadaNya dengan hati yang penuh keinsafan. Satu persatu korban Covid19. Tak terungkap kesedihan melihat anak-anak yang kehilangan ibu atau bapanya, ibu bapa yang kehilangan anak-anaknya. Masya Allah, Ya Allah, La hawlawala quwwatailla billah. Astaghfirullahal azim, waatu builaik.  





Sempena 1 Muharram 1443H ini, marilah sama-sama kita mohon taubat daripada Allah swt di atas segala dosa yang telah kita lakukan pada masa lalu, berazam meninggalkan dosa-dosa, dan berjanji tidak mahu melakukan dosa-dosa kepada Allah swt, mohon dijauhkan daripada segala dosa dan kemaksiatan, dan dijauhkan daripada Azab Api Neraka. Semoga Allah swt memimpin kita, memandu kita ke jalan kebaikan, jalan yang diredhaiNya, jalan para Nabi dan Rasul, jalan yang membawa kita ke SyurgaNya. Bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redhai Ya Allah. Bantulah kami untuk memanfaatkan seluruh kehidupan kami dan kehidupan kami yang masih berbaki ini untuk melakukan Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar. Bantulah kami untuk menjadi Umat yang terbaik dengan bersungguh-sungguh mengikuti sunnah Rasulullah saw, serta bantulah kami untuk berkumpul bersama-sama dengan insan-insan yang kami sayangi di SyurgaMu, bersama Para Nabi dan Rasul, Para Sahabat dan Solihin, ibu bapa dan ahli keluarga kami, suami dan anak-anak kami, zuriat keturunan kami, sahabat-sahabat kami dan seluruh Umat Nabi SAW. Amin Ya Allah. 



Semoga Allah memandu kita mengurus dan merancang kehidupan kita agar kita sentiasa berada di atas landasanNya walau sedetik dalam kehidupan kita. Amin. 






Penawarhati90

2 Muharam 1443H

4.38pm

Kuala Lumpur


Tiada ulasan:

Catat Ulasan