Selasa, 31 Julai 2012

Biarkan Allah Menyulam & Mengadun Kehidupanmu Dengan TakdirNya Yang Indah

Seorang ibu sedang menyulam sambil duduk di atas kerusi. Beliau mempunyai ada anak kecil, berumur 5 tahun sedang main-main. Lalu anaknya mendekatinya dari bawah, dan melihat gumpalan benang yang berpintal-pintal. Anaknya seperti bingung melihat ibunya duduk lama di atas kerusi, tetapi membuat sesuatu yang buruk. Lalu anaknya bertanya:

“Ibu sedang buat apa?”

Lalu ibunya menjawab, “ Kamu pergilah main, ibu sedang membuat kerja ibu”.

Lalu anaknya meneruskan main dan datang lagi kepada ibunya, dan melihat benang itu semakin berpintal-pintal. Anaknya hairan melihat apa yang ibunya sedang lakukan. Setelah beberapa ketika, ibunya memanggil.

“Anakku, mari melihat, apa yang ibu buat”

Anaknya pun mendekati ibunya dan melihat satu sulaman yang begitu cantik, tidak seperti sebelumnya. Pada sulaman itu terdapat pokok, bunga, burung dan sebagainya.

Apakah pengajaran dari kisah ini?

Inilah satu gambaran kehidupan dunia ini, kita selalu melihat apa yang Allah takdirkan kepada kita, dari pandangan bawah, seorang hamba yang hina dan tidak mengerti apa-apa, pemikiran yang terhad. Lalu kita merasakan apa yang Allah takdirkan ke atas kita adalah sesuatu yang susah, serabut dan sebagainya. Sedangkan Allah sedang menyulam kehidupan kita dengan suatu takdir yang cukup indah apabila kita melihat dari kacamata Iman, kita akan menjumpai satu HIKMAH.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Seorang anak sedang sangat kecewa apabila menghadapai satu demi satu kegagalan dalam hidupnya, kehilangan orang yang dikasihinya, lalu ibunya menjadi risau melihat keadaan anaknya yang sedang kecewa itu, lalu berfikir, bagaimana untuk merawat kekecewaaan anaknya.

Pada suatu hari, selepas anaknya pulang dari sekolah, ibunya mengajak anaknya makan di dapur. Lalu apabila dibukakan tudung saji, anaknya terkejut kerana apa yang dilihatnya bukanlah makanan tetapi yang ada adalah sepinggan garam, sepinggan gula, sepinggan keju,dan lain-lain. Lalu anaknya bertanya kepada ibunya:

“ibu, macam mana nak makan?”

Maka jawab ibunya:

“Makanlah”

Kata anaknya:

“Tidak, saya tidak boleh makan.”

Lalu kata ibunya dengan penuh kasih sayang, “Anakku , begitulah dalam hidup ini, kalau kita makan garam sepinggan, kita akan rasa sangat masin, boleh kena darah tinggi, kalau kita makan gula sepinggan,kita boleh kena kencing manis, dan kita tak akan tahan dengan kemanisannya begitu juga keju. Sebab itu, bila ibu ambil sikit-sikit daripada semua makanan ini dan gaulkan sekali, akan menghasilkan “cheese kek kek keju”. Ibu itu pun bancuh, lalu anak itu pun makan dan rasa sedap.

Kata ibunya lagi : “Anakku, begitulah hidup ini, apabila dibancuh yang pahit, masin, manis,dan yang lemak akan menghasilkan satu kek yang sangat lazat, hidup kita pun macam tu, jangan nak manis sahaja, atau masin sahaja, atau pahit sahaja, biarlah Allah yang mengadunnya dengan adunan yang sangat lazat, dengan berbekalkan redha dan pasrah daripada kita”

Saudara-saudaraku, apabila kita mendapat satu ujian yang begitu menyulitkan, lalu kita mengamati dengan pancaindera yang sebenar, pendengaran yang sebenar, memahami hidup dengan jiwa yang sebenar, maka Allah akan memberikan hikmah kebijaksanaan yang tidak ada taranya.

Subhanallah, sebuah perkongsian yang begitu menusuk jiwa hamba yang seringkali tenggelam dalam lautan ujian, umpama bekalan oksigen yang sedang membantu tubuhku yang hampir kehilangan nafasnya. Setiap ujian itu hadir bersama hikmah yang begitu tersembunyi, kita hanya akan menjumpainya apabila kita melihat dari sudut pandangan Iman, dan bukan hanya aqal yang begitu terbatas. Moga kesabaran itu sentiasa menghiasi hari-hari dalam hidupku. Tetap tersenyum dalam keperitan. Kadangkala, seseorang itu, dalam kelebaran senyumannya itu tersimpan satu keperitan yang dahsyat, tetapi terus ditelan, kerana dia mengetahui bahawa Allah swt sedang menyulam hidupnya dengan satu sulaman yang indah, dan sedang mengadun kehidupannya dengan sebuah adunan yang begitu rapi, untuk menghasilkan makanan yang begitu enak.

Lalu, aku meyakini, di akhir perjalananku ini, pasti akan kutemui suatu destinasi yang pasti. Asal sahaja, aku seringkali bertanyakan jalannya dalam keadaan penuh perasaan, penuh harapan umpama insan yang tersesat di gurun sahara,bagaimana harus kulaluinya, kepada Dia Yang Maha Mengetahui Segala Sesuatu, lalu akan disingkapkanlah jalannya satu persatu, akan terurailah kebuntuan ini satu persatu. Insha'Allah. Amin. Amin. Amin. Terus bertanya, bertanya dan bertanya.

"Hasbunallah wani'mal wakeel, ni'mal maula wani'mal nasir"


Penawarhati90

12.43 am

12 Ramadhan 1433H bersamaan 1 Ogos 2012

Langkawi, Kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan