Ketika kegagalan mewarnai
kehidupan kita, kitapun menangis dan kecewa namun kejayaan tidak akan
sedikitpun tersenyum pada kita. Ketika kita dipandang hina dan dicerca kerana
kesalahan kita sendiri, kemuliaan pun hanya memandang kita dengan senyuman
sinisnya. Ketika kita tersungkur jatuh kerana kelalaian kita sendiri lalu jiwa
kita sakit dan menderita, kitapun menangis hiba, malangnya kebahagiaan tidak
juga menemani kita hingga keresahan terusir dari jiwa kita. Jadi kenapa kita
perlu menangis? Bukankah tangisan itu akan menjadikan kita semakin resah bahkan
tidak akan mengubah apa-apa. Bukankah kesedihan dan rasa kecewa itu akan memadamkan
sebahagiaan dari kewarasan kita hingga kita mula hilang arah tuju dan teraba-raba
mencari siapa diri kita sebenarnya. Bahkan lebih dari itu, tangisan itu akan
mengikis keimanan kita sedikit demi sedikit hingga akhirnya tiada lagi
keyakinan kita kepada kebijaksanaan dan ksempurnaan Allah swt.
Kenapa kita tidak tersenyum? Kerana bukankah sahabat-sahabat yang merasai kenikmatan dan kebahagiaan beriman itupun
pernah tersungkur hina namun kerana jiwa mereka kuat lalu mereka menjadikan
keinsafan sebagai anak tangga untuk mereka hampir kepada Allah swt. Lihatlah
kehidupan ini dengan jiwa yang tersenyum. Kalaupun kita hidup merempat, ada
pula manusia yang mati hina. kalau kita serba kekurangan ada pula manusia yang
langsung tak memiliki apa-apa. Kalau kita miskin harta, ada manusia yang miskin
jiwa hingga tidak menikmati keindahan hidup walaupun kaya raya. Kalaupun kita
tidak memiliki kenderaan yang baik, ada manusia yang tidak memiliki kaki untuk
berjalan. Memang kita berhak menangis tetapi kita perlu tahu ketika mana dan
untuk siapa tangisan itu. Bukankah jiwa ini ada Pemiliknya. Jadi ketika jiwa
kita lemah mengadulah padaNya maka Dia akan berikan kita satu kekuatan baru
kerana kekuatan itu milikNya. Ketika kita kecewa maka sandarkan harapan kita
padaNya kerana dialah tempat kita tujukan harapan kita. Cuma kadang-kadang kita
lupa diri kita siapa lalu kita meminta kekuatan pada manusia yang juga lemah
lalu kita semakin lemah, kita sandarkan harapan pada bukan tempatnya maka kita pun
kecewa dan hampa.
Senyuman itu akan mewarnai kekelaman dan kegelapan jiwa kita hingga kita akan
melihat kehidupan ini dengan semangat dan keazaman yang baru. Bukankah sahabat-sahabat
Rasulullah SAW yang berjaya itupun pernah gagal namun kerana mereka tidak terlalu
sibuk memanjangkan tangisan dan keluhan jiwa mereka lalu mereka pun ada banyak masa
untuk melakar Harapan.
Mengapa saya memilih untuk berbicara mengenai Harapan pada hari ini?
Hal ini disebabkan, saya benar-benar merasakan Harapan merupakan satu cabang penting dalam menjalani sebuah kehidupan. Lawan kepada harapan adalah keputusasaan. Harapan dan sandaran utama bagi seorang mukmin adalah Harapan kepada Allah, Rabb Pemilik sekalian alam.
Coretan murobbi yang saya kasihi kerana Allah swt ini, iaitu "Bila Kehidupan Berbicara", cikgu Azmi Bahari, benar-benar menyentuh hati biarpun saya membacanya berulang kali, kerana saya yakin benar coretan ini ditulis dari sebuah hati yang ikhlas dan ia berkait benar dengan pengalaman kehidupan saya sendiri, serta perkara yang seringkali saya alami setiap kali berhadapan dengan masyarakat terutamanya para pelajar saya sendiri. Coretan ini bagaikan "heart setting" untuk saya sebagai seorang pendidik yang sentiasa berhadapan dengan manusia-manusia dengan pelbagai keadaan hati.
Oleh yang demikian, haruslah kita sama-sama memperbaharui harapan kita, iaitu kepada Allah swt, sebenar-benar tempat pergantungan. Apabila kita menyandarkan sepenuh harapan kita kepada Allah, maka tidak ada istilah kekecewaan dalam hidup ini. In sha Allah. Hadapilah harimu dengan senyuman penuh ikhlas!!! ^__^
Penawarhati90,
12.39pm
26 Oktober 2013
Langkawi, Kedah
Penawarhati90,
12.39pm
26 Oktober 2013
Langkawi, Kedah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan