Assalamualaikum wbrt,
Tahun 2020 ini merupakan tahun yang meninggalkan pelbagai sejarah yang tak dapat dilupakan oleh seluruh dunia. Tidak ketinggalan juga, bagi kami warga SMK Seri Tasik, tahun ini ibarat tahun kesedihan kerana beberapa orang daripada rakan guru kami telah meninggalkan sekolah atas sebab pertukaran dan kenaikan pangkat.
Serius, bagi saya sendiri, satu demi satu berita pertukaran ini sangat menyedihkan kerana kami semua telah bekerja bersama sejak sekian lama. Pelbagai memori suka dan duka alam pekerjaan kami telah lalui bersama, kadangkala gembira ketawa, kadangkala sedih menangis.
Masih ingat kenangan pada 5 tahun yang lalu semasa saya mula menjejakkan kaki ke SMK Seri Tasik. Pada hari pertama saya tiba di sini, Puan Hajah Siti Liah, pengetua pada waktu itu memberi arahan untuk saya bertegur sapa dengan semua warga guru di sini. Saya perlu mengambil senarai nama semua orang, dan saya perlu bertegur sapa dan mendapatkan tandatangan bukti saya telah menemui semua orang. Pada waktu itu, saya agak merasa lucu, kerana belum pernah lagi diberi arahan begitu. Yelah kan, saya pun kiranya baru menjejakkan kaki ke dua buah sekolah sejak bergelar guru tetap. Hikmah daripada peristiwa itu, saya hampir mengenali semua orang. Kalau sebut nama pun, saya dah boleh imagine siapa. Setelah beberapa tahun bekerja bersama, boleh dikatakan saya kenal dengan semua orang dan hati budi mereka. Manakan tidak, kami sentiasa diberi tugasan berkumpulan untuk menyelesaikan satu-satu tugasan. Semua itu menjadikan kami selesa bekerja bersama, saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain. Sebab itu, bila mendapat khabar pertukaran seorang demi seorang, sayu rasa hati. Tapi, insha Allah terbaik untuk mereka.
Bermula dengan khabar pertukaran Puan Pengetua, Pn. Hajah Faizah binti Hassan dan K Shahizan pada pembukaan lembaran tahun 2020. Sepanjang bekerja bersama Pn. Pengetua, saya sangat selesa dan mudah berbincang, terutama apabila menjadi guru PSS, Pn. Pengetua banyak membantu saya dan mengambil cakna soal penyelenggaraan PSS. Apabila berjumpa, beliau banyak memberi nasihat sebagai ibu dan berkongsi pengalaman sebagai pendidik yang telah lama berada dalam dunia pendidikan. Orangnya lembut, nasihatnya menusuk hati. Sungguh mengejutkan, hari kami tahu pertukaran beliau, hari itu juga kami mendapat ganti pengetua baharu. Dahsyat. Manakala, K Shahizan atau k Izan pula, merupakan jiran sebelah bilik kerana Pusat Sumber dan Bilik Muzik bersebelahan sahaja. K Izan seorang pendengar setia kerana selalu sahaja datang bersembang di PSS sambil makan aiskrim Malaysia. K Izan jarang bersembang di bilik guru kerana beliau seorang yang sangat komited bekerja dan berdedikasi. Jadi, masa yang betul-betul beliau lapang akan dihabiskan dengan datang ke PSS dan bersembang sehingga lewat petang. Beliau adalah geng stayback sebab memang akan habiskan masa sehingga lewat petang untuk melatih budak muzik. Petang saya tak kesunyian di PSS kerana akan ditemani oleh lagu-lagu yang dimainkan oleh anak-anak murid k Izan yang sedang dilatih di bilik sebelah. Rasa respect dan kagum saya terhadap beliau cukup padu. Rasanya saya pun tak mampu nak mencontohi kesungguhan beliau terhadap pekerjaan. Kehilangan kedua-dua insan ini cukup saya rasai kerana mereka adalah sahabat rapat saya.
Sayu 😢 |
Kenangan majlis perpisahan Pn. Faizah & Pn. Norshahizan. 2 Februari 2020 |
Majlis kecil-kecilan dari warga ZPT. |
Seterusnya, setelah bermulanya sesi persekolahan selepas PKP, kami dikejutkan pula dengan berita pertukaran Pn. Mazira (K Mas) & persaraan Pn. Maizarah (K Mai). Kedua-dua ini merupakan pegawai kewangan dan kerani yang terlalu banyak membantu dan mempermudahkan kerja kami dalam urusan pengkeranian. Mereka ni kawan baik, nama pun dekat-dekat. Kadang-kadang tertukar. 😁 Selalu akan ke kantin bersama. Saya banyak berurusan dengan K Mazira berkaitan hal pembelian dan program. K Mazira seorang yang peramah tetapi tegas. Biasalah, bila melibatkan urusan kewangan. Tetapi, beliau cukup sabar dengan kerenah cikgu-cikgu. Kadang dah pernah buat belian, tapi masih lupa step. Beliau sabar je melayan pertanyaan yang dah 1000 kali. Sebab itu beliau sangat disayangi. Lagi satu, orangnya kemas, bergaya dan lawa sangat. Kalau pergi ke tempat dia, dahsyat, kemasnya ya Allah. Bab tagging, filing memang tip top. Campaklah ke lautan manapun, memang jadi pulau. Rasa kehilangan tak terungkap.. T__T. K Maizarah pula seorang yang lembut, suka senyum, kalau bab surat menyurat ni, memang akan hantar tepat atas meja setiap orang. Tidak pernah merungut dengan kerenah cikgu-cikgu.
Majlis perpisahan Pn. Mazira dan Pn. Maizarah 22 Jun 2020 |
Sebulan selepas itu, kami menerima pula berita pertukaran dan kenaikan pangkat dua lagi rakan sekerja kami iaitu Datin Che Zaviah, Penolong Kanan Hem dan Pn. Norinda. Kedua-dua ini, bertukar atas kenaikan pangkat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan Guru Kanan. Datin Che Zaviah, saya agak kurang rapat memandangkan, saya tidak bekerja di bawahnya. Tetapi, apa yang boleh saya katakan ialah, beliau seorang yang peramah. Kami selalu berjumpa di kantin pada kebanyakan waktu. Manakala, K Norinda juga hampir sama, kami tidak banyak berurusan bersama, kerana bidang kami berbeza. Tetapi, kalau bab sukan, memang kepimpinannya sangat menonjol. K Norinda sorang yang sangat komited bekerja, tegas dan berdisiplin. Arahannya jelas, kerjanya kemas tersusun. Tetapi, nampak sahaja begitu, ketawanya boleh memecahkan suasana menceriakan hari sukan kami. 😆
Majlis Perpisahan Datin Che Zaviah & Pn. Norinda 22 Julai 2020 |
Senyuman manismu sentiasa dalam ingatan kami kakakku...😢 |
Setelah beberapa bulan sunyi dari berita-berita berpindah, pada 30 September 2020, sekali lagi kami mendapat khabar sedih bahawa ketua panitia Pendidikan Seni Visual, Pn. Norshahrizan (K Izan) bakal bertukar atas kenaikan pangkat. Rasa down pun ada mengenangkan jiran tepi dan bawah saya bertukar. K Izan ni kalau nak diceritakan soal komited kerjanya, memang panjang. Tapi cukuplah saya katakan, hampir semua pelajar seni berjaya dengan cemerlang di bawah kepimpinannya. Seorang guru seni yang cukup kreatif, semua tema dan hiasan majlis-majlis besar sekolah kebanyakannya diketuai oleh K Izan. Saya kalau dengan cikgu-cikgu yang komited bekerja ni agak jarang bersembang, kerana biasanya mereka banyak berada di bilik-bilik khas. Tapi kalau sekali kami berjumpa, sampai ke sudah tak habis bercakap. Begitulah gambarannya dengan persahabatan saya dengan K Izan. K Izan kalau sekali pandang nampak garang, tapi bila dah kenal rapat, peramah orangnya. Bab kerja memang tip top.
Majlis Perpisahan Pn. Norshahrizan 30 September 2020 |
Warga SMK Seri Tasik yang sporting... |
Selamat maju jaya di tempat baharu K Izan...😂 |
Sebenarnya, setakat yang saya kenal rakan-rakan guru sekolah saya, bab bekerja memang terbaik, tetapi dalam bidang kepakaran yang berbeza. Semuanya ada bakat dan suka bekerja. Saya pula memang jenis yang suka rapat dengan rakan-rakan yang lebih senior kerana suka dengan cara kerja mereka dan suka mencedok idea mereka, suka berbincang dan mengambil pengalaman daripada mereka. Pada saya, untuk perkembangan kerjaya, kita kena banyak belajar dari mereka yang lebih senior, mereka yang rajin bekerja, mereka yang komited bekerja, mereka yang lebih berpengalaman. Kita akan seronok jadi cikgu. Kita tak akan rasa menyesal jadi cikgu, kita tak ada rasa malas, kita tak rasa nak merungut dengan arahan yang belbagai-bagai, sebab bila perhatikan mereka yang senior ni, mereka sangat matang dalam berfikir, sangat berhati-hati menutur kata, mereka cukup bersungguh dan cemerlang ketika bekerja dan mereka sangat ikhlas. Melakukan pelbagai pengorbanan tanpa minta dibalas. Biar apapun kecaman ke atas warga pendidik hari ini, mereka abaikan sahaja kerana mereka lebih tahu apa yang mereka buat. Guru baharu kena banyak belajar. Tetapi yang saya sayang sangat sekolah ini, junior senior semua boleh masuk dan bekerja bersama. Sebenarnya, adab bekerja memang begitu. Kalau kita nak seronok bekerja, kita kena jadikan pekerjaan itu ladang pahala dan syurga bagi kita, barulah kita gembira hari-hari nak bekerja. Sesungguhnya perjalanan ini masih panjang...... Pilihlah apa sahaja yang membahagiakan kita dan buat yang terbaik. Ingat, niatkan semuanya kerana Allah. Moga-moga jadi kebaikan untuk kita di akhirat nanti.
"Patah tumbuh hilang berganti", setiap yang pergi pasti ada gantinya. Alhamdulillah, setiap yang pergi, Allah gantikan kami dengan rakan-rakan baharu. Tetapi ukhuwah yang terbina akan tetap terus bersemi. Begitulah hidup ini, bertemu dan berpisah adat dunia. Sebab itu, dalam kita menjalinkan ukhuwah, kita perlu buat yang terbaik dalam persahabatan. Bersikap jujur, jangan ada dengki, jangan ada yang tidak berpuas hati. Sudah pastinya, perselisihan faham pasti akan berlaku dalam apa jua keadaan, tetapi meraikan persamaan dan menghormati perbezaan itu lebih baik. Yang penting, bersahabatlah kerana Allah, kita sendiri perlu beri yang terbaik yang kita mampu, dan jangan sesekali fokus atau terlalu banyak melihat sisi yang negatif. Jangan kita lepaskan masa-masa bersama dengan perkara yang negatif, kelak, kita pasti akan merasa kosong dan sunyi bila sahabat kita pergi jauh meninggalkan kita. Dan suatu saat, kita juga akan meninggalkan. Tinggalkanlah memori yang indah-indah untuk dikenang. Saya banyak belajar dari pengalaman-pengalaman yang saya telah lalui dan saya sangat menghargai persahabatan. Wallahua'lam.
Penawarhati90
25 November 2020
9.00 am
Selangor