Jumaat, 27 Ogos 2021

SOBAHANNUR

 


Sobahnnur....Pagi yang Indah



Sobahannur..



Mencari kekuatan Ruhiyah



Mencari mutiara di dasar lautan...


Khamis, 19 Ogos 2021

KENANGAN APC 2020


Kita seringkali menangisi akan kehilangan,

Kita seringkali merungut tentang apa yang tiada, 

Tetapi, 

Pernah tak kita merenung sejenak, 

Tentang apa yang kita dapatkan,

Tentang apa yang kita ada,

Betapa itulah yang terbaik untuk kita,



Apa yang kita kehilangan, 

Mengajar kita erti SABAR,

Apa yang kita dapatkan,

Mengajar kita erti SYUKUR,

Jangan berhenti Bersyukur, 

Jangan berhenti Bersabar, 

Suatu Saat Kita Pasti Bertemu Hikmah,

Di Sebalik Semua Ketentuan ini.


Hidup tak selalunya Indah,

Langit tak selalu Cerah,

Namun di Sebalik Gelapnya Malam,

Akan ada Terangnya Siang.



Nikmat & Ujian datang silih berganti,

Untuk mengingatkan kita,

Tentang Ketidaksempurnaan kita,

Tentang betapa SempurnaNya,

Yang Maha Mengatur, 

Untuk Mengingatkan Kita,

Kita tidak akan dapat semua yang kita inginkan,

Tetapi, kita akan dapat apa yang kita perlukan,

Sebagai musafir yang singgah di dunia ini,

Dalam perjalanan menuju ke negeri abadi.


Anugerah ini satu motivasi, 

Untuk terus tabah bertahan,

Di atas jalan ini, 

Dengan memikul amanah Seorang Pendidik,

Sebagai satu tanggungjawab Seorang Khalifah,

Menjadikan Dunia Ladang menuju Negeri Akhirat,

Terima Kasih Ya Allah,

Atas Anugerah ini.

Syukur Alhamdulillah.  💕

#kenanganAPC2020#19OGOS2021#


Penawarhati90

12.16pm

20 Ogos 2021

11 Muharram 1443H 

Kuala Lumpur


Rabu, 11 Ogos 2021

Salam 1 Muharram 1443H

 

Salam 1 Muharram 1443H
10 OGOS 2021

Alhamdulillah, kita masih dipinjamkan nafas untuk melangkah ke tahun baharu 1443H. Pelbagai khabar sedih yang kita terima satu persatu menandakan dunia ini sememangnya berada di penghujungnya. Pelbagai tanda telah Allah tunjukkan untuk sentiasa mengingatkan kita akan hakikat kesemtaraan kehidupan ini, hakikat kebesaran dan kekuasaan Allah swt yang tak mampu ditandingi. Dengan ujian Covid19 yang Allah datangkan ini, benar-benar menginsafkan kita bahawa selama ini kita lalai dengan kehidupan kita, kita lalai dengan tanggungjawab kita kepada Allah, malah lebih dahsyat apabila kita mula mencabar kekuasaan Allah swt. Hanya dengan satu makhluk kecil yang sangat halus dan tak mampu terlihat oleh mata kasar, Allah tunjukkan kekuasaanNya dengan musibah ini, kita terduduk, kekayaan kita tak mampu membeli nyawa kita sendiri, ilmu dan segala kecanggihan teknologi tak mampu mengekang virus ini dari terus merebak dengan dahsyatnya. Begitulah apabila Allah menunjukkan kekuasaanNya, kita tidak akan mampu menyelesaikan semua ini, melainkan kembali kepadaNya dengan hati yang penuh keinsafan. Satu persatu korban Covid19. Tak terungkap kesedihan melihat anak-anak yang kehilangan ibu atau bapanya, ibu bapa yang kehilangan anak-anaknya. Masya Allah, Ya Allah, La hawlawala quwwatailla billah. Astaghfirullahal azim, waatu builaik.  





Sempena 1 Muharram 1443H ini, marilah sama-sama kita mohon taubat daripada Allah swt di atas segala dosa yang telah kita lakukan pada masa lalu, berazam meninggalkan dosa-dosa, dan berjanji tidak mahu melakukan dosa-dosa kepada Allah swt, mohon dijauhkan daripada segala dosa dan kemaksiatan, dan dijauhkan daripada Azab Api Neraka. Semoga Allah swt memimpin kita, memandu kita ke jalan kebaikan, jalan yang diredhaiNya, jalan para Nabi dan Rasul, jalan yang membawa kita ke SyurgaNya. Bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redhai Ya Allah. Bantulah kami untuk memanfaatkan seluruh kehidupan kami dan kehidupan kami yang masih berbaki ini untuk melakukan Amar Ma'ruf dan Nahi Mungkar. Bantulah kami untuk menjadi Umat yang terbaik dengan bersungguh-sungguh mengikuti sunnah Rasulullah saw, serta bantulah kami untuk berkumpul bersama-sama dengan insan-insan yang kami sayangi di SyurgaMu, bersama Para Nabi dan Rasul, Para Sahabat dan Solihin, ibu bapa dan ahli keluarga kami, suami dan anak-anak kami, zuriat keturunan kami, sahabat-sahabat kami dan seluruh Umat Nabi SAW. Amin Ya Allah. 



Semoga Allah memandu kita mengurus dan merancang kehidupan kita agar kita sentiasa berada di atas landasanNya walau sedetik dalam kehidupan kita. Amin. 






Penawarhati90

2 Muharam 1443H

4.38pm

Kuala Lumpur


Isnin, 9 Ogos 2021

DOA AKHIR TAHUN 1442H DAN DOA AWAL TAHUN 1442H







 


9 Ogos 2021 bersamaan 30 Zulhijjah 1442H, seluruh Malaysia telah dikhabarkan berita duka mengenai pemergian selebriti terkenal, Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin. Saya kongsikan kata-kata dari Ustazah Siti Nor Bahiyah :

Pemergianmu Duhai Siti Sarah, dijemput Illahi pada pagi Isnin dengan Husnul Khatimah iaitu pengakhiran yang sungguh indah dalam redha Allah SWT dan diimpikan oleh semua.

Hijrahmu ke jalan Allah untuk menjadi hamba Nya yang terbaik, Ibadah Qurbanmu yang engkau rahsiakan untuk seisi keluargamu dan setelah dikau pergi baru kami tahu, indahnya Infaqmu ke jalan Allah, kesetiaanmu berbakti sebagai Isteri yang Solehah, sabarnya dirimu sebagai Ibu yang hebat kepada anak-anakmu, pengorbanan sucimu dalam berjuang hingga syahid dalam melahirkan anak solehmu,keikhlasanmu dalam berjuang melawan sakit hingga syahid… 

Ternyata semuanya ini adalah amal solehmu yang sungguh indah dan mendapat kesudahan yang terindah kurniaan Allah.Sesungguhnya semua ini menyentuh hati kami dan mengajar kami untuk terus memburu redha Allah. Allahu 😭😭 Betapa dikau dicintai Allah, dicintai suamimu Shuib Sepahtu anak-anakmu, keluargamu dan kami juga menyayangimu hingga terasa benar kehilanganmu 😭😭


Berkesempatan mengikuti detik-detik perjalanan terakhir Allahyarhamah...Masya Allah, Ya Allah.



"Ya ALLAH.. ampunkanlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya. Muliakan kedudukannya, luaskan tempat tinggalnya, mandikan dia dengan air salji dan air sejuk. Bersihkannya daripada kekotoran dosanya sebagaimana dibersihkan pakaian yang putih dari segala kekotoran. Dan gantikan rumahnya dengan rumah yang lebih baik dan pasangan yang lebih baik. Masukkan dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur dan ujiannya serta jauhkan dia dari azab neraka."


Semoga Allah memberi ketabahan kepada Syuib dan keluarga untuk menghadapi ujian yang berat ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Namun, janji Allah itu pasti, bahawa Allah tidak akan menguji seseorang melainkan dalam kemampuanNya. Insha Allah, semoga Allah permudahkan jalannya, dan semoga kalian sekeluarga akan bertemu di syurgaNya di mana tiada lagi kesedihan dan perpisahan yang sangat menyakitkan...Insha Allah, amin, Ya Allah.


Saya bukan peminat artis, tapi pada saya berita kematian itu merupakan satu pengajaran besar untuk kita yang masih hidup. Beliau yang kita kenali dan ikuti bagaimana siri penghijrahan beliau daripada kehidupan popularitinya ke arah yang lebih baik, sentiasa menyokong dan mendokong usaha suami di saat pelbagai ujian dan tohmahan, setia seorang isteri, kasih seorang ibu hingga ke hujung nyawa, sahabat yang baik, hidupnya sentiasa menceriakan orang lain. Masya Allah, mulianya Allah mengambilmu, semoga syurga tempatmu saudaraku. 


Buat yang masih hidup, Nyawa kita satu pinjaman, semoga kita sama-sama dapat berbakti mencari keredhaan Allah, selagi mana nyawa masih dipinjamkan kepada kita. Bila saat kita dipanggil pulang, semuanya kita akan tinggalkan melainkan bekalan amal soleh sahaja. Sesungguhnya kematian itu sangatlah hampir kpd kita semua dan kematian itu PASTI. Cuma kita tak tahu bila akan tiba giliran kita pula. 


Bingkisan dari Ustazah Asma Haron



Semoga di akhir tahun 1442H ini, berita kematian menjadi satu titik hidayah untuk kita sama-sama berubah, berhijrah ke arah yang lebih baik, semoga Allah mengambil kita dalam keadaan yang Dia Redha dengan kita, dan kita Redha denganNya. Amin. Ya Allah. Saya simpankan memori ini untuk peringatan dan iktibar diri sendiri dan motivasi untuk menjadi hamba yang lebih baik setiap hari. Amin. 


Salam 30 Zulhijjah 1442H bulan penuh pengajaran... 

9 Ogos 2021

4.21 pm

Kuala Lumpur

Sabtu, 31 Julai 2021

Sambut AidilAdha di Pusat Vaksinasi

 


20 Julai 2021 bersamaan 10 Zulhijjah 1442H,  kami menyambut AidilAdha tahun ini di Pusat Vaksinasi. Nak dijadikan cerita, saya memang dah dapat tarikh vaksin dos kedua selepas dos pertama, suami pula mendapat tarikh vaksin sehari sebelum vaksin. Alhamdulillah, Allah izin kami dapat tarikh yang sama di tempat yang sama dengan dos yang berbeza. 


Dos Pertama & Dos Kedua


Dari sehari sebelum raya, saya agak hilang semangat, sendu pun ada. Rindukan kampung. Rindu sangat. Semua orang pun macam itulah. Cuma, saya tak ada buat persediaan pun nak raya, tak masak makanan special, dengan kerja yang bertimbun banyaknya. Di pagi hari raya, saya masih lagi tegak di depan laptop menyiapkan kertas kerja. 


Kebetulan pula kami berdua mendapat tarikh vaksin yang sama dan tak berani nak bawa Ahmad Faqih ke Pusat Vaksin, kami menghantar Faqih sekejap di rumah saudara. Dapatlah Faqih bermain dengan anak saudara. Mereka pulak menyediakan menu raya yang sedap-sedap masa kami menghantar Faqih. Syukur sangat dapat juga kami merasa menu raya. Memang kagumlah saya dengan biras sebab sediakan menu raya yang sedap-sedap. Selepas sehari dua, barulah saya sendiri cuba memasak menu raya. Punya lama mood nak sampai, akhirnya sampai juga. Alhamdulillah.  


Bihun Sup Tulang Daging Korban. Alhamdulillah. Dapat juga daging korban tahun ini. Syukur. 


Sup Tulang


Nasi Tomato (Kali kedua buat selepas 7 tahun berkahwin) Ada la juga rasa tomatonya...Hehe.



p/s : menu tiada dalam gambar : Rendang Daging. 


Salam EidulAdha dari kami
Taqabbalallahu minna waminkum 





Sabtu, 10 Julai 2021

Sanah Helwah Husband


Assalamualaikum wbrt, 

Alhamdulillah, tanggal 4 Julai 2021 yang lalu, genaplah usia En. Suami yang ke-31. Sedikit hadiah tanda penghargaan diberikan sekadar melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana kami masih dipinjamkan masa-masa bersama, pahit manis, suka duka tetap selalu bersama melayari kehidupan berumahtangga. Saya memang seorang yang agak sentimental, suka meraikan dan diraikan biarpun sederhana sahaja kerana bagi saya, itu satu tanda penghargaan bagi setiap pengorbanan yang dicurahkan. Hidup bersama ini bukan terlalu mudah dan bukan juga terlalu sukar. Tetapi ia menuntut pelbagai pengorbanan. Demi sebuah kebahagiaan, kita kena korbankan pelbagai perkara. Kalau sebelum ini, kita hidup dalam dunia bujang kita, komitmen kita hanya tertumpu kepada memenuhi hak kita sahaja. Tetapi bila kita berkahwin, kita perlu belajar untuk memenuhi hak kita dan hak orang lain, di situ kita belajar berkongsi, bertolak ansur, bersabar, dan buat apa-apa bersama. Kalau dulu kita rasa kita nak buat apa sahaja yang kita suka, kita buat, tetapi sekarang lain, kita kena berbincang dan mendapat persetujuan bersama, belajar untuk menghormati antara satu sama lain. Semua itu perlukan pengorbanan. Sebab ada kalanya kita kena korbankan rasa hati kita, demi menjaga hati orang lain, ada pula masanya kita kena rendahkan sedikit keegoan kita, bersikap lebih terbuka, beri laluan kepada orang lain untuk menzahirkan pendapat dan rasa hatinya, supaya kasih sayang terus terbina sampailah ke akhir usia. Ada masa kita kena tunjukkan penghargaan kita dengan meraikan mereka, kerana kita kena selalu ingat, bukan mudah untuk menjumpai insan yang ikhlas bersama kita, melalui susah dan senang bersama, menerima diri kita seadanya, dan mereka sebelum ini adalah orang asing bagi kita. Tetapi mereka sentiasa setia bersama kita walau dalam apa keadaan sekalipun. Sebab itu ada masa-masa kita perlu meraikan segala pengorbanannya, maka di situ akan hadirnya kebahagiaan. 


Kalau orang tanya, mana lebih saya suka, kehidupan sewaktu zaman bujang ke berumah tangga? Jawapan saya adalah berumahtangga. Walaupun zaman bujang itu kita rasa lebih bebas, tak banyak komitmen, dan alam perkahwinan ni kalau nak kata ujian itu, ya, lebih berat kita rasa. Tetapi, dalam kepahitan ujian itu, kita rasa nikmatnya bersama. Kita ada teman berkongsi rasa. Perselisihan itu akan sentiasa berlaku, tetapi kita kena sedar peranan kita di mana, dan apa kita patut lakukan, dan kita kena tahu apa yang kita inginkan dalam rumahtangga. Awalnya kita nak berkahwin sebab nak bersama atau bercerai?. Kita kena ada jawapan untuk selalu bermuhasabah diri. 


Buat suamiku, 


Terima kasih atas semua pengorbanan yang dicurahkan dan komitmen yang diberikan sepanjang hampir 7 tahun bergelar suami. Terima kasih kerana banyak bersabar dengan isteri yang banyak songehnya. Terima kasih kerana menjadi ayah yang baik untuk Ahmad Faqih. Terima kasih untuk semuanya. Semoga Allah sentiasa redha dengan abi, mengampuni segala dosa, memberkati kehidupanmu dengan menjadi hamba Allah yang lebih baik setiap hari. Tiada harapan yang lebih baik daripada selalu mendoakan 'Semoga syurga buatmu'.

 

💓💓

Setiap sambutan itu merupakan satu memori yang akan dikenang pada suatu hari nanti. Semoga kita dapat menghargai detik-detik kebersamaan, kerana kita tidak tahu, antara kita, siapa yang akan pergi dulu. Semoga Faqih juga sentiasa menghargai umi dan abi. Umi sayang semuanya. 💓


Harapan saya juga, saya hanya ingin menjadi isteri yang bersyukur. Tidak mahu membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Hanya ingin hidup dalam dunia kita sendiri walaupun sederhana. Kita nikmati kehidupan yang sementara ini bersama yang tersayang agar kita tidak mensia-siakan masa yang ada, memanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan perkara-perkara kebaikan, dan meninggalkan keburukan. Tiada penyesalan di penghujung usia dan bersama hingga ke Syurga. Amin. 


💕💕Abah, Umi, Tiya, Adik 💕💕

Oh ya, tidak dilupakan untuk bufday gurl, sepupunya Ahmad Faqih, Atiyyah Nafeesah yang sebaya dengan Faqih. Selamat Hari Lahir Tiya yang ke-4. Semoga Tiya terus membesar menjadi anak yang baik buat umi dan abah, dan kakak yang terbaik buat Fiya dan adik-adik nanti. Insha Allah. 


Ada budak nak juga tumpang  potong kek bufday.. 😁




Macehh..Moga lagi rajin masak...😍





Penawarhati90

10 Julai 2021

6.07pm

Kuala Lumpur


Selasa, 29 Jun 2021

Alhamdulillah, Selesai Vaksin 1 Dos


Alhamdulillah, 29 Jun 2021, hari ini dalam sejarah. Saya telah selesai divaksinkan dengan vaksin jenis Sinovac Dos Pertama. Syukur, Alhamdulillah. 

Memori untuk dikenang. Sekali seumur hidup. Alhamdulillah. 

Sepanjang hari ini, dari pagi sampai ke tengah hari tak mampu nak jenguk langsung mesej-mesej di fon disebabkan perlu mengelolakan mesyuarat Pusat Sumber Sekolah. Ketarnya lain macam, walaupun AJK Kerja semuanya kawan-kawan sahaja. Tapi, ketuanya jenis yang sempoi dan bersahaja, kena pula kawan-kawan jenis yang cemerlang, gemilang, terbilang, sekali nak kena jadi pengelola memang dahsyat. 


Selesai menyiapkan slide isu-isu yang nak digoreng, tiba-tiba kawan call mengatakan nama saya tersenarai untuk divaksinkan petang ini. MasyaAllah, jarang sekali saya tidak menatap fon, hari ini memang terbuai dengan asyiknya menggoreng isu yang nak dimesyuaratkan, kena pula tak terbaca nama naik, sedangkan paginya dah beberapa kali semak mysejahtera. Alkisah. Tengok-tengok nama saya diseru dalam beberapa group whatsapp, Allah, bagus sungguh la kawan-kawan ni, ambil berat sungguh pasal kawan-kawan. Mana nak cari kawan sebaik mereka. Hehe. 


Lagilah berdebar dibuatnya. Tetapi memikirkan boleh saja datang bila-bila masa asalkan hari ini (siapa suruh bagi nama lambat kan) maka, mesyuarat diteruskan juga. Berdebar biar sekali, jangan banyak kali. 😁 


Setelah asar, terus bergegas ke Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Alhamdulillah, terima kasih buat En. suami yang sudi menemani walaupun tengah stres  dan anakda Akih. Akih bangun saja dari tidur tanya uminya : "umi, kita kat terowong mana ni?" (padahal basement parking). 😁😂  Sabar jelah. hehe. Sedihnya nama abi tak tersenarai sekali, semoga cepat giliran abi pula. Jom kita balik kampung. 



Vaksin bukan boleh mengelakkan kematian, tetapi ianya satu ikhtiar. Kematian setiap orang telah tertulis, tetapi kita perlu tahu nak meletakkan keutamaan. Mana lebih banyak mudharat dan mana yang lebih banyak manfaat. Insha Allah kita akan faham. Sama-sama kita capai herd imunity supaya kita boleh kembali kepada kehidupan sediakala, rasanya dah tak larat nak berada di norma baharu ini. Moga-moga Allah angkat virus Covid19 ini ke tempat yang sepatutnya. Amin. 

#syukurselalu#nakbalikkampungsangat#


Penawarhati90

10.30pm

29 Jun 2021

Kuala Lumpur





Rabu, 10 Mac 2021

Ulangtahun Kelahiran Ahmad Faqih Ke-4

Sanah Helwah Ahmad Faqih
09 Mac 2017- 09 Mac 2021
4 Tahun


Alhamdulillah, genap sudah usia permata hati kami, Ahmad Faqih yang ke-4. Pada setiap tahun, umi tak akan lupa untuk meraikan hari lahir Faqih secara sederhana, sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Illahi, kerana telah menganugerahkan cahaya hati pelengkap kehidupan umi abi. 



Doa umi abi untuk Ahmad Faqih, "Semoga Ahmad Faqih membesar sebagai hamba Allah yang diredhaiNya, dikurniakan kefaqihan menjadi pakar dalam bidang ilmu dan bermanfaat buat masyarakat. Semoga Allah terus membimbing umi dan abi yang penuh kekhilafan ini, memberi taufiq dan hidayahNya kepada kami, untuk membesarkan dan mendidik Faqih seperti kehendakNya,". 


Sungguh, setiap hari terasa bimbang, mampukah umi abi mendidik Ahmad Faqih menjadi seorang hamba Allah yang terbaik di zaman yang penuh cabaran ini? kerana umi sendiri yang berada di dalam bidang pendidikan ini terasa mencabar dalam mendidik generasi hari ini. Tetapi, terus yakin, terus tawakkal, dan teruskan langkah menjalankan amanah dan tanggungjawab ini. Biarkan perasaan bimbang ini menjadikan kami lebih berwaspada dan bertawakkal serta selalu bermuhasabah diri. 


Anugerah anak-anak ini sebenarnya menjadikan ibu bapa selalu membuat penilaian diri, lebih berfikir untuk memperbaiki diri sendiri, agar mampu memberi contoh yang terbaik buat anak, menjadi sahabat terbaik untuk anak-anak, insha Allah. Harapan ini menggunung tinggi, moga mereka membesar menjadi hamba Allah yang taat, sentiasa berakhlak mulia, anak- anak yang baik yang hidup dalam kerendahan hati, tidak melupakan diri, namun, menjadi pakar dalam bidang ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk masyarakat. Allahumma amin. Dalam masa yang sama, ibu bapa juga sentiasa cuba untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik, agar kembali kepada Allah, dalam Husnul Khotimah. 

Islah Nafsaka, Wad'u Khoiruka. 


Allahumma amin Ya Allah.   

Spageti Carbonara untuk kawan-kawan Faqih


Nasi Tomato untuk Cikgu-Cikgu Tadika Faqih



Menu-menu sempena Hari Lahir Ahmad Faqih


Alhamdulillah, best tengok kawan-kawan Faqih makan dan tambah.


Gelagat budak 3 orang. hehe. 




Penawarhati90
12.10pm
11 Mac 2021
Selangor




Khamis, 21 Januari 2021

Guru & Pandemik Covid19

 

Kenangan Guru Bertugas Hari Pertama Persekolahan 2021
20 Januari 2021

Sedihnya rasa, sejak PKP tahun lepas macam-macam tohmahan orang cakap tentang cikgu BDR. Saya baca dan cuba hadam satu per satu, sy diam sebab tidak mahu ikut campur. Sebenarnya dalam hal ini, gurulah yang paling memahami kerana kami memakai dua kasut dalam waktu yang sama (baca bagi yang mempunyai anak bersekolah). Kami pakai kasut ibu-bapa dan dalam masa yang sama kami juga memakai kasut pendidik.

 

Ada yang complaint, katanya penggunaan teknologi tinggi seperti Google Classroom dan Google Meet tidak dapat dilaksanakan di rumah terutama bagi golongan miskin dan tinggal diluar bandar. Selain itu, faktor ibu-bapa yang bekerja di luar sedangkan dalam masa yang sama, anak-anak perlu belajar di rumah tanpa bantuan orang dewasa. Ok! part ni pun cikgu dah cuba tapi sudahnya adalah dalam 3-4 org murid terlibat dlm satu-satu masa. Apatah lagi bagi kelas pada waktu awal pagi sebab murid bangun lewat bila tiada penjaga. Tetap akhirnya guru juga yang dipersalahkan!

 

Ada juga yang complaint bila menggunakan Telegram maka akan jadi lambakan kerja dan guru tidak langsung mengajar. Tertumpu kepada perkongsian links dan bahan secara maya sedang hakikatnya guru-guru yang mengajar menerusi YouTube juga merupakan guru sekolah. Bila guru membuat channel Telegram khas mengikut subjek tetap juga dikatanya susah untuk dipantau kerana terlalu banyak perlu dibuka ketika di rumah. Akhirnya tetap guru juga yang dipersalahkan!

 

Ada pula yg complaint bila guru fotostat bahan dan tinggalkan di sekolah untuk diambil oleh ibu-bapa pada bila-bila masa. Sepatutnya memudahkan mereka yang tiada akses internet dan kurang kemampuan. Sehinggakan ada guru-guru yg menghantar sendiri modul dan latihan ke rumah murid terutama bagi kelas peperiksaan tapi kata mereka; mudah betul kerja cikgu sekarang ni, fotostat dan suruh budak baca atau buat latihan di rumah. Akhirnya tetap guru juga yang dipersalahkan!

 

Ada yg complaint bila guna whatssap tak ramai yang boleh join tapi mudah untuk hantar video pengajaran dan murid boleh belajar pada bila-bila masa sahaja. Tetap ada yang berbunyi bila banyak sangat video akan menyebabkan data digunakan lebih banyak dari biasa. Part ini harus diakui sebab bukan semua parents berkemampuan dan ramai juga yang terkesan. Akhirnya tetap guru juga yang dipersalahkan!

 

Untuk makluman semua, guru-guru ini telah sedaya-upaya mencuba apa juga kaedah yang mereka mampu. Adalah mustahil untuk guru-guru ini mengajar murid-murid sehingga ke rumah masing-masing. Kalau diberikan pilihan, kami juga ingin kembali mengajar di sekolah seperti biasa tapi apakan daya? Semuanya diluar kemampuan kita, guru-guru masih juga bekerja walaupun duduk di rumah. Dalam masa yang sama mereka juga berperanan sebagai ibu bapa yang perlu menguruskan anak-anak, kerja rumah dan sebagainya.

 

Lihat sahaja kerjaya lain diwaktu pandemik begini, mereka cuma ada 2 cara sahaja sama ada bersemuka atau secara maya. Jika clients tidak dapat menyelesaikan urusan, adakah pegawai-pegawai tadi perlu usahakan kaedah lain? Jawapannya tidak sebab suka atau tidak itu sahaja pilihan yang ada dan perlu kita terima dalam norma baharu.

 

Apapun sebagai pendidik, kami telah mencuba mana yang kami mampu dalam membantu murid agar tidak ketinggalan. Selebihnya adalah peranan kerajaan, kementerian dan ibu-bapa sendiri bagi menjamin sistem pendidikan terus berjalan meski dlm situasi begini. Kalau kita saling memahami, in Shaa Allah semuanya dapat diatasi sedikit demi sedikit.

 

Saya juga tidak menyalahkan ibu-bapa kerana saya juga ada anak yang bersekolah. Saya faham bahawa semua kita mahukan yang terbaik utk anak-anak. Apa yg penting, masyarakat perlu tahu bahawa guru bukanlah faktor utama dalam kepincangan pdpr pada waktu ini. Ianya sesuatu yang agak rumit dan memerlukan kerjasama semua pihak. Semoga pandemik cepat berlalu dan vaksin cepat diterima agar semuanya akan kembali seperti biasa.


Kredit to : Cikgu Shah Khan #KamiGuruMalaysia# 


Sahabat-sahabat, 

Pelbagai tohmahan yang diberikan ke atas warga guru saat Pandemik Covid'19 ini melanda. Saya tidak begitu terkejut dengan kecaman-kecaman ini kerana sememangnya, budaya menyalahkan guru atau sikap suka saling menyalahkan ini sudah lama wujud dalam masyarakat kita umumnya. Jadi, isu-isu seperti ini memang sudah dijangka. 


Tetapi... 

Apa gunanya kita saling menyalahkan? Kita betul-betul pasti ke apabila kita meletakkan semua kesalahan itu ke bahu para guru? Betul ke guru memang tak buat apa-apapun untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita sedangkan mereka orang terlatih, orang yang mengikuti latihan sebelum diiktiraf sebagai seorang guru? Apa manfaat yang kita dapat dengan mengecam, mengkritik, menyalahkan? OK ke kita hidup dengan tak habis-habis mencari kesalahan orang lain? 


Sahabat-sahabat, 


Kita semua ada tangan untuk menulis, mulut untuk mengeluarkan pelbagai komen dan pendapat. Tetapi, tulislah atau bicaralah sesuatu yang baik, memberi motivasi dan inspirasi kepada para pembaca atau pendengar terutama dalam keadaan sekarang ini yang semua orang teruji dengan Pandemik Covid'19. Tulislah sesuatu yang Positif. Jika ada yang kita rasa tidak betul, cuba bertanya kepada ahlinya untuk mendapatkan kepastian dan menyelesaikan masalah. Bukan sekadar untuk mengecam. Ingatlah, kita menjadi siapa kita hari ini juga kerana titik peluh seorang GURU walaupun yang kita kecam itu bukan guru kita dahulu. 


Jadilah ibu bapa yang boleh menjadi contoh kepada anak-anak. Mungkin guru juga ada salahnya, tetapi kalau kita rasa ada salah di pihak guru, cuba selesaikan dengan berbincang dan berjumpa dengan orang yang betul dan memang untuk mencari penyelesaikan. Semua-semua masalah di atas, adalah masalah yang BOLEH DISELESAIKAN, tetapi berjumpalah dengan orang yang betul, ceritakan masalah ke pihak sekolah, barulah masalah anak-anak boleh diselesaikan dan mereka pasti akan mendapat hak pendidikan yang sepatutnya. 


Pengalaman saya sendiri, bila ibu bapa sangat mengambil berat dengan anak-anak, mereka berkomunikasi dengan guru dengan cara yang sangat beradab sopan, mereka jujur menjelaskan masalah anak yang dihadapi, berbincang dengan guru secara baik dan terbuka. alhamdulillah, anak mereka memang sangat baik dan cemerlang. Tetapi, janganlah semua masalah kita perlu diselesaikan oleh orang lain, yang penting, kita dahulu berusaha mencari jalan penyelesaian, pasti ada jalannya. 


Guru atau ibu bapa, sama-sama perlu saling menghormati satu sama lain. Para guru juga haruslah menggunakan kebijaksanaan dan bersifat terbuka apabila berkomunikasi dengan ibu bapa. Bukan semua isu perlu kita terlalu beratkan atau layan kerana hanya kita sahaja tahu dan fahami pahit manis dunia pendidikan ini. Teruskan menjalankan peranan kita sebaik mungkin. Lebih ramai ibu bapa yang mengerti daripada yang mengkritik sebenarnya. Pengalaman saya sendiri, apabila kita bersikap profesional dan cuba memahami kehendak ibu bapa, mereka sangat mudah memberi kerjasama sebenarnya. Amalkan sikap selalu berterima kasih dan meminta maaf, insha Allah, semua akan jadi harmoni. Akhit sekali, dengan hubungan baik antara Guru dan Ibu Bapa, barulah kita dapat mencari satu solusi yang baik untuk masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang. Guru juga salah seorang daripada ibu atau bapa. Jangan lupa!


Terima Kasih Kelab Guru KKGK'20
Motivasi Bekerja 2021
#ZPTberpisahtiada#
18.01.2021







Penawarhati90

10.50am

22 Januari 2020

Kuala Lumpur

Sabtu, 9 Januari 2021

Cinta Remaja

 Assalamualaikum, 

Pernah tak terbaca satu hantaran di Facebook ada satu komik yang berkisar tentang seorang lelaki yang menolak lamaran seorang perempuan dengan alasan si perempuan terlalu baik untuk dia?. Hantaran komik tu jadi viral pula di kalangan remaja-remaja. Macam-macamlah komen netizen, ada yang setuju, ada juga yang tak setuju, macam-macam juga kritikan, penjelasan. Ada juga terbaca komen pelukis komik juga tentang apa maksud atau mesej yang nak disampaikan daripada komik tersebut. Tak kisahlah, sebab fahaman atau tafsiran setiap orang tu berbeza. Dalam coretan saya kali ini pun, adalah sedikit yang ingin dikaitkan tetapi bukan kritikan, sekadar perkongsian untuk pedoman diri saya sendiri dan adik-adik atau mungkin pelajar-pelajar saya sendiri yang diuji dengan ujian keremajaan. Kadang-kadang datang sekolah, muka broken, sembang apa pun tak mau, ajar apapun tak masuk, nak melayan ja kecewa cinta monyet tu. 😁 Cikgu tak gelak pun, cuma kadangkala lucu bila fikirkan alam remaja yang tak matang.  


Saya percaya setiap orang ada cerita-ceritanya yang tersendiri. Dalam soal mencari pasangan hidup, mungkin kita pernah melamar atau dilamar. Kalau semuanya berjalan seperti yang kita inginkan, dah tentu kita rasa gembira. Tetapi bila berlaku situasi kita mungkin menolak atau ditolak dengan pelbagai sebab dan alasan. Pada waktu itu, pelbagai rasa yang kita hadapi. Sebab apa? Sebab apa yang berlaku tak seperti yang kita telah atur dan rancang untuk hidup kita. Betul tak? 


Sebenarnya kita selalu dengar tetapi selalu juga lupa bila ujian itu tiba. Betul tak?

"Ajal maut, jodoh pertemuan itu di tangan Allah" 

 

Jadi, apa kita kena buat bila berhadapan dengan situasi begitu?


Rileks, tenangkan diri, ambil masa untuk pulih.... Bukan saling menyimpan rasa-rasa tidak berpuas hati, marah atau berdendam. Cuba cari sesuatu yang boleh pulihkan semangat kita, perkara yang menggembirakan kita. Banyak mendekatkan diri kita kepada Allah dan cuba hayati hakikat jodoh. Jangan fikir apa-apa yang negatif. Ambil masa selama mana yang kita boleh untuk pulih. Hakikatnya, diri kita sangatlah berharga. Tiada orang yang akan ambil berat tentang kita melainkan diri kita sendiri. Yang penting kita sendiri kena hargai diri kita dan jangan sia-siakan masa kita dengan kecewa yang tiada berpenghujung. Kecewa ni lagi dilayan lagi bahaya dan merosakkan. Boleh juga jadi membahayakan apabila kita mula bercakap-cakap dengan ketidakpuasan hati kita. Semua ini akan jadi penat, letih, parah, dendam, nak balas dendam. fuhh! 


Sebenarnya macam ni. Kita sebenarnya dalam pencarian untuk mencari jodoh. Dalam proses atau perjalanan itu, kita masing-masing mencari keserasian. Tiada siapa bertanggungjawab ke atas sesiapa. Kalau kata orang itu jodoh kita, bila kita sudah buat keputusan, dan Allah mudahkan perjalanan untuk kita mendapatkannya. Barulah dia jodoh kita. Tetapi, kalau orang itu bukan jodoh kita, akan datanglah peristiwa-peristiwa sebagai petunjuk bahawa dia bukan jodoh kita. Peristiwa-peristiwa yang menunjukkan tiada keserasian antara kita. 



Mungkin dari rasa hati kita, dia bukan tercipta untuk kita. Boleh juga dari halangan-halangan dari pihak keluarga. Boleh jadi, konflik untuk isu-isu yang kecil sahaja, jadi besar. Apabila berhadapan dengan masalah, kita mahupun dia tidak mampu mencari titik penyelesaian.  Boleh jadi sebab kita rasa rendah diri sebab kita rasa dia lebih baik dari kita. Semua itu mungkin petunjuk-petunjuk yang membawa kepada ketidakserasian antara kita. Pada saya, jangan ambil risiko bila nampak seperti tiada keserasian. Jangan nak mencuba-cuba juga untuk bernikah atau senang kira gigih juga. Kerana perkahwinan itu bukan boleh cuba-cuba ya!. Bila kita dah berkahwin, kita dah masuk ke fasa tanggungjawab. Sendiri nak tanggung, sendiri kena jawab. 


"Melepaskan itu lebih baik daripada terus berharap"


Jangan biar diri kita berlama-lama dengan keadaan sedemikian supaya kita boleh hidup dengan aman damai. Ambil jalan yang paling baik untuk kedua-duanya. Tak kira siapa yang mulakan dulu. Terima sahaja apa alasan yang diberi jika kita ditolak, mungkin orang itu dah fikirkan alasan terbaik agar kita tidak terlalu disakiti, kalau kita dengar ayat yang jujur sangat pun, takut kita tak mampu terima dan tak dapat tidur malam sebab tak puas hati. Hehe. Kalau kita hendak menolak pun, berilah ayat yang paling baik yang kita boleh bagi supaya tidak menyakiti. Jangan saling ungkit mengungkit. Apa yang lepas biarkan masa mengubati dan lepaskan, Jangan sesali apa yang berlaku, jangan bermusuhan dan jangan membenci. Kerana kita tiada tanggungjawab ke atas satu sama lain pun, tiada ikatan apa-apa yang perlu kita tanggung dan jawab. Terus melangkah ke hadapan dan ikut haluan masing-masing. 


Jangan Ada Benci


Bila masuk ke alam perkahwinan itu barulah fasa kita bertanggungjawab ke atas satu sama lain. Bila kita sudah berjumpa dengan jodoh kita, adakah tidak akan berlaku konflik? 


Ha..... kena tau suatu perkara... Dunia adalah ladang ujian... Tiada bahtera yang tidak pernah dilanda badai. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Faham.....😂 Tapi kena ingat satu perkara, kita kahwin bukan untuk bercerai. Kita perlu serius terhadap rumahtangga kita. Apa ujian pun, kita kena main tarik tali. Kalau sorang tengah berapi, jangan tambah minyak, jadi ais yang menyejukkan. Macam-mana nak buat. Kena kreatif, kena belajar, kena lalui, kena jadi problem solver. Faktor siapa lebih dominan itu bukan satu masalah besar pun. Cuma bagaimana cara nak uruskan dominan itu kena belajar. Jangan sampai melebihi had yang ditetapkan syariat. 


Ujian hidup kita ni tidak akan pernah berakhir sampailah kita menghembuskan nafas yang terakhir. Sebab apa? Sebab Allah nak uji keimanan kita dan mematangkan kita tentang kehidupan. Justeru itu, setiap fasa yang kita lalui dalam hidup ini ada ujiannya. Ingat orang yang pilihan hatinya menjadi suri rumahtangganya dengan smooth je tidak diuji? Bila masuk fasa perkahwinan, mulalah pula kena berhadapan dengan kerenah pasangan dan anak-anak. Kalau kita rasa keremajaan kita teruk diuji, sebenarnya, bila kita masuk ke fasa perkahwinan, lebih dahsyat lagi. Macam kita main game, bila dah lepas satu tahap, naik lagi satu tahap yang lebih mencabar. Sebab apa? sebab Kemenangan itu Mahal nilainya. Kemenangan sebenar bagi seorang muslim adalah apabila dia berjaya meraih Redha Allah dan memasuki Syurga yang Tertinggi. 


Hikmah apabila diuji ini, kita akan dapat lihat, apabila setiap ujian yang kita lalui telah selesai,kita akan menjadi sedikit matang dengan cara kita melihat dunia. Kita akan menjadi lebih cekal dan tabah. Jiwa tidak mudah rapuh dengan isu-isu kecil. Malah, kita akan lebih mengutamakan hak-hak Allah kerana jiwa kita telah mula kembali kepada fitrah dengan kesedaran-kesedaran, taufiq hidayah yang Allah berikan semasa diuji. 


Dalam hidup ini, kita takkan dapat semua yang kita inginkan dalam masa yang sama. Kadang-kadang Allah tak bagi atau ambil sesuatu yang kita betul-betul nak. Kadang-kadang Allah tarik yang ini, untuk beri yang itu, Sebab Allah nak beritahu, kita manusia yang tidak sempurna dan kita tidak boleh memiliki semuanya. Kita tak tahu pun apa yang terbaik untuk kita. Kita boleh mengatur dan merancang, tetapi kena ingat, ketentuan hanyalah daripada Allah. Bila jadi begitu, barulah kita beringat selalu perlu memohon segala yang terbaik daripada Allah. Di situlah Allah menunjukkan Kebesaran dan KesempurnaanNya.


Perlu kita sedar bahawa, matlamat hidup kita bukan cinta manusia. Matlamat hidup kita bukan untuk berjodoh ataupun pelajar sekarang ni selalu didoktrin dengan belajar untuk bekerja. Rendahnya matlamat hidup kita kalau sebab itu kita hidup. Sebenarnya, tujuan kita diciptakan ni lebih jauh daripada itu. Kita diciptakan untuk meraih Redha Allah dan kita hajat sangat Allah berikan kita syurga pada kehidupan kita yang abadi. Sebab itu Allah mahukan kita buat yang terbaik dalam hidup kita, jadikan apa sahaja yang kita lalui itu ladang untuk kita mendapatkan matlamat kita itu. Buat bersungguh-sungguh dan jadi orang yang bermanfaat untuk umat. Kita hidup bukan untuk diri kita, tetapi untuk kebaikan semua orang. Diri kita biar jadi manfaat. Maka, baiklah untuk diri kita dan baik juga untuk orang lain. 


Oleh itu, janganlah terlalu broken sangat. Kalau rasa down, ambillah masa untuk pulih, kembali bermuhasabah diri dan bergaullah dengan orang-orang yang positif. Insha Allah, kita akan reda cepat. Jangan bermurung sorang diri, sayang masa dan sia-sia hidup untuk melayan kekecewaan. Let it go and Move on!!! 


Penawarhati90

6.17pm

9 Januari 2021

Selangor